Tarian Bubu atau Luka Menari merupakan salah satu tarian rakyat yang popular di negeri Perak. Kesenian ini dipercayai telah berusia lebih daripada 120 tahun yang berasal di Kampong Tanjong Bidara, Teluk Intan, Perak. Bubu atau lukah merupakan peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dulu. Jenis Bubu yang digunakan dalam tarian ini, adalah Bubu Jantung yang diperbuat daripada buluh dan rotan berukuran empat (4) kaki tinggi dan satu (1) kaki lebar.
Terdapat pelbagai mitos yang berkaitan dengan asal usul tarian Bubu Menari. Salah satu versis mitos yang paling popular ialah kisah mengenai tiga orang pemuda yang tersesat di dalam hutan semasa menjalankan aktiviti membubu di sungai. Dalam keadaan penat dan putus asa mencari jalan keluar, mereka tiba di sebuah kawasan lapang dan terlihat seorang wanita misteri sedang menyanyi di atas pokok berdekatan. Para pemuda itu menghampiri wanita tersebut dan bertanya arah jalan keluar dari hutan berkenaan. Dengan bimbingan wanita itu, mereka akhirnya berjaya menemui jalan pulang.
Sebagai tanda kenangan terhadap peristiwa pertemuan dengan wanita misteri itu, mereka mencipta sebuah bubu yang dihias menyerupai seorang wanita. Bahagian kepala bubu tersebut diperbuat daripada tempurung kelapa yang disolek agar menyerupai wajah wanita. Semasa mempersembahkan bubu itu, mereka turut menyanyikan lagu yang dinyanyikan oleh wanita misteri tersebut. Tradisi ini kemudiannya berkembang menjadi sebuah tarian yang dikenali sebagai Bubu Menari dan terus diamalkan oleh penduduk Kampung Tanjong Bidara sehingga ke hari ini.
Namun begitu, tarian Bubu dipercayai telah diasaskan oleh seorang bomoh bernama Pandak Keladi yang telah telah memperkembangkan tarian ini hingga ke beberapa generasi. Beliau bersama para nelayan terdahulu telah bersepakat untuk menjalankan ritual kesyukuran setiap kali balik daripada menuai hasil Bubu mereka. Ritual kesyukuran ini dimulakan dengan menghias bubu dengan pakaian wanita kerana Pandak Keladi telah menerima bayangan ini melalui mimpinya. Kemudian, mantera dibacakan sambil orang-orang yang memegang bubu menghayun ke kiri dan kanan. Usai mantera dibacakan, dipercayai Bubu tersebut dirasuki semangat makhluk halus dan akan bergerak menari sendiri dengan rancaknya tanpa perlu dipegang oleh orang lain.
Sehingga hari ini tarian Bubu yang asal masih dipraktikkan, namun tarian ini telah diberi nafas baru bersesuaian hukum agama Islam yang tidak memberikan tujuan syirik atau kepercayaan tahyul. Dalam konteks persembahanya pula ia disesuaikan dengan kerangka persembahan moden masa kini agar terus diterima oleh masyarakat.
Suatu ketika dahulu, tarian ini berfungsi sebagai persembahan dalam upacara ritual kesyukuran oleh para nelayan. Ia mempunyai nilai-nilai magis dan mistikal kerana persembahan terarah kepada penyatuan semangat halus ke dalam bubu yang telah dihias cantik menggunakan pakaian wanita. Namun kini, unsur-unsur magis atau mistikal dalam tarian ini telah dikeluarkan sebagai tidak melanggar hukum ajaran Islam. Jampi atau bacaan mantera telah diubah menjadi lagu dan pantun-pantuan yang sesuai dalam konteks persembahan dan selera masyarakat hari ini. Kini, tarian ini berfungsi sebagai hiburan yang bersesuaian dengan tontonan umum masyarakat dan turut dipersembahkan dalam majlis keramaian seperti perkahwinan ataupun majlis-majlis rasmi.
Tarian Bubu Menari tidak memiliki busana khusus, dan para penari biasanya mengenakan pakaian harian biasa yang merujuk kepada pakaian-pakaian orang nelayan satu ketika dahulu. Namun, dalam persembahan acara-acara rasmi, penari lelaki lazimnya memakai baju Melayu Teluk Belanga yang lengkap bersamping dan tanjak. Penari wanita ha mengenakan busana dengan identiti Puteri Perak.
Tarian ini mempunyai nyanyian oleh seorang “Khalifah” dan diiringi oleh ensembel alat muzik Gong dan Rebana. Rebana yang digunakan dalam kumpulan muzik ini memiliki rupa dan struktur yang mirip dengan kompang. Alat ini tergolong dalam kategori frame drum dan hanya mempunyai satu permukaan yang dipasang dengan kulit kambing. Dari segi dimensi, rebana ini berukuran 40 cm lebar permukaannya dan 20 cm tinggi. Dalam kalangan sesetengah pemain muzik tempatan, alat muzik ini juga dikenali sebagai gendang.
Seni kata lagu yang dinyanyikan dalam persembahan Tarian Bubu mengandungi mesej yang mendalam, bertujuan untuk mengajak masyarakat agar tidak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Selain itu, lagu-lagu ini juga mampu membangkitkan semangat dan keseronokan ketika bekerja. Seni kata lagu yang mengiringi tarian ini turut diselitkan dengan unsur-unsur keagamaan, mengingatkan bahawa kehidupan seharusnya berlandaskan hukum dan syariat Allah S.W.T.
Seni kata lagu Tarian Bubu Menari
Budaklah budak pergi mengaji,
Lagi mendapat ..eheheh..le..lah lagi terpuji,
Cukuplah Mekah pergi haji,
Dapat berziarah ..eheheh..le..lah di makam nabi.
Dengun dengun kumbang berdengun,
Dengun pulak tangkai buluh minyak,
Apé kené lokah termenung,
Dengun melihat orang yang banyak.
Bi’shahril ngo bil ilah qa,
Badano rohol aq’la,
Payaha ba zal badro’,
Bizaka elmal yujla.
Pada awal persembahan, Khalifah iaitu individu yang menjadi ketua dalam persembahan akan membacakan mantera kepada atas bahan-bahan persembahan yang diletakkan dalam satu dulang khusus dikenali sebagai “Peralatan Khalifah”. Peralatan tersebut terdiri daripada kemenyan, bertih, beras dan air tepung tawar. Setelah selesai membacakan jampi, Khalifah akan menabur-naburkan beras ke atas replika bubu yang telah dihiasi dengan pakaiannya sebelum acara boleh dimulakan.
Kemudian, penari akan memperbaiki pakaian pada bubu lalu mengangkatnya dalam posisi duduk. Dari awal hingga akhir persembahan, bubu akan diangkat dan dihayunkan ke kanan dan ke kiri oleh penari baik daripada posisi duduk sehinggalah berdiri. Penari juga akan melakukan pola gerak dalam posisi bulatan atau melakukan pusingan setempat. Di akhir persembahan, sekali lagi Khalifah akan menyemburkan dan menaburkan beras ke atas Bubu sebelum pakaian Bubu ditanggalkan.
-
Bahan Bacaan
Mizan et al. (2021) Masyarakat Bengkulu Di Malaysia. Jurnal Sejarah Lisan Malaysia. Diambil daripada https://jslim.uitm.edu.my/pdf/517.pdf
Sulong, M. A., Saidon, Z. L., & Hashim, N. S. N. (2013). Muzik Tradisi Tari Rakyat Perak: Suatu Pendekatan Etnomuzikologi:(Music Tradition In Perak Traditional Dances: An Ethnomusicological Approach). Malaysian Journal of Music, 2(1), 72-105.
Raihana Abdullah (24 Dec 1987). Perak perkenal Tarian Bubu sebagai seni budaya Melayu. Diambil daripada petikan akhbar
http://perakgateway.utp.edu.my/repo/346/1/1951_40.pdf
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Mat Rosnan bin Hashim. Pertubuhan Kesenian Tradisional Dabus Tanjung Bidara, Perak.
Fatimah binti Seteh. Pertubuhan Kesenian Tradisional Dabus Tanjung Bidara, Perak.