Belotah atau disebut juga sebagai Lotah merupakan salah satu tarian rakyat tradisional yang terdapat di negeri Perak. Kesenian ini lazimnya dipersembahkan semasa musim menuai padi, di mana para penari akan mengelilingi dan 'mengirek' gemal padi sambil menyanyikan lagu Lotah secara beramai-ramai di atas pelantar anjal. Lantai pelantar tersebut diperbuat daripada bilah-bilah batang pinang yang diikat dengan rotan, mampu memuatkan 10 hingga 15 orang dalam satu-satu masa. Mereka yang terlibat akan memijak padi dalam bentuk bulatan sambil berbalas-balas pantun dan diselangi dengan nyanyian.
Sejarah tarian Belota dipercayai telah wujud pada awal kurun ke-19 dan ia dikaitkan dengan legenda keluarga Bilal Batak. Kisahnya bermula apabila Bilal Batak bersama isteri dan dua orang anaknya berpindah dari kampung asal mereka di tepi Sungai Perak ke kawasan pinggir hutan berbukit untuk membuka ladang padi huma. Satu hari, Bilal Batak bersama isterinya bersama-sama membuka lahan dan meminta anak lelaki sulungnya untuk menjaga adik perempuanya yang masih kecil. Namun, si adik hilang tanpa jejak, dan usaha mencari anak kecil itu gagal.
Pada malam berikutnya, Bilal Batak telah bermimpi bahawa anak mereka telah menjadi 'semangat padi' dan diminta membina sebuah pelantar mengirek padi jika ingin bertemu semula dengan anaknya. Mengikut arahan mimpi itu, Bilal Batak membina pelantar, mengeluarkan gemal padi, dan mengirek padi sambil menyanyikan nyanyian Lotah. Setelah itu, mereka mendengar suara anak yang hilang, namun suara itu hanya sementara sebelum berubah menjadi 'semangat padi'. Sejak itu, mereka membuat temasya Berlotah sebagai cara mengingati anak mereka, sambil mendengar suara anak tersebut yang dikatakan hanya akan kedengaran melalui nyanyian dan tarian Berlotah.
Suatu ketika dahulu, tarian ini berfungsi sebagai hiburan ketika tiba musim menuai padi. Para pesawah pada umumnya akan menyanyi nyanyian lotah sambil mengirek padi ataupun selepas selesai memproses padi huma dijadikan beras. Seiring perkembangan zaman, kini tarian Belotah berfungsi sebagai seni persembahan yang menjadi tontonan masyarakat umum.
Tarian Belotah tidak memiliki busana khusus, dan para penari biasanya mengenakan pakaian harian biasa. Namun, dalam persembahan acara-acara rasmi, penari lelaki lazimnya memakai baju Melayu teluk belanga yang lengkap bersamping dan tanjak atau kain pengikat kepala. Kadangkala, penari lelaki akan mengenakan kain sarong untuk dijadikan selempang yang disangkut pada bahu secara melintang.
Penari wanita hanya mengenakan baju kurung Kedah, Kebarung atau Kebaya singkat yang dipadankan dengan kain batik. Hiasan mereka pula , memadai dengan menyisipkan bunga-bungaan pada sanggul kepala jika bersanggul, atau mengenakan kain batik untuk dijadikan penutup kepala. Hiasan tambahan boleh ditambah mengikut dengan kesesuaian acara.
Tarian ini tidak mempunyai sebarang alat muzik. Muzik terhasil daripada bunyi pelantar yang berlaga-laga ketika penari melompat-lompat di atasnya sambil menyanyi nyanyian Lota daripada lagu-lagu pantun tradisi. Nyanyian Lotah lazimnya dinyanyikan oleh seorang penyanyi dan disahut beramai-ramai oleh penari.
Terdapat dua bentuk nyanyian iaitu Lotah Panjang dan Lotah Pendek. Seni kata lagu ini terdiri daripada pantun-pantun tradisi yang dilantunkan secara impromtu oleh penyanyi, dan penari.
Seni kata lagu Tarian Lotah panjang
Amboi aya ya ya ye
Lemah lembut ha hai ha ha
Kayu dan akar le…. Aya ya ya ye….
Ha Hai…
Nak mengikat batang padi
Ha ha ha ha dalam padi
Aya ya ya ye
Amboi lemah lembut le
Ha hai kayu pelanto
Ha ha ha ye
He hai Nak menimpang le padi
Semangat padi le
Aya ya ya ye
Seni kata lagu Tarian Lotah pendek
Ha ha hai, Ha ha hai, Ha ha hai
Lotah lotah de lang le
Lemah lembut akar kayu le
Lotah de lang le
Nak mengikat batang keladi
Lotah lotah de lang le
Lembut kayu pelanto
Nak menimang padi
Semangat padi
Lotah lotah de lang le
Lotah lotah de lang le
Gunung tunggul gunung keramat
Hai ya ya ye
Dapat dilihat dari tebing tinggi
Lotah lotah de lang le
Kami di sini mengucap selamat
Hai ya ya ye
Pada tuan
Yang datang ke mari
Lotah de lang le, Lotah de lang le
Tarian ini boleh ditarikan oleh lelaki dan wanita dalam lingkungan lapan (8) hingga 16 orang dalam satu persembahan. Formasi persembahan dilakukan dalam bentuk bulatan dan berpusing-pusing di atas pelantar sehingga nyanyian Lotah selesai. Gerak asas utama tarian ini berfokus kepada henjutan kaki dan kedua-dua tangan penari akan diletakkan di belakang. Suasana melotah ini penuh dengan kegembiraan dan kemesraan di mana berlakunya usik mengusik terutama di antara teruna dan dara.
-
Bahan Bacaan
Keratan Akhbar (1979). Lotah- tarian tradisi yang telah dibaharui. Diambil daripada
http://perakgateway.utp.edu.my/repo/347/1/1951_41.pdf
Sulong, M. A., Saidon, Z. L., & Hashim, N. S. N. (2013). Muzik Tradisi Tari Rakyat Perak: Suatu Pendekatan Etnomuzikologi:(Music Tradition In Perak Traditional Dances: An Ethnomusicological Approach). Malaysian Journal of Music, 2(1), 72-105.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Mat Rosnan bin Hashim. Pertubuhan Kesenian Tradisional Dabus Tanjung Bidara, Perak.