MAK YONG
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Mak Yong ialah satu bentuk seni persembahan tradisional yang dimainkan di Kelantan dengan gabungan unik lakonan, nyanyian, tarian, dan muzik. Mak Yong telah mendapat pengiktifaran UNESCO pada 2005 sebagai salah satu daripada Warisan Tidak Ketara. Mak Yong berakar umbi dalam budaya Melayu, khususnya di negeri Kelantan, di mana ia berkembang sebagai hiburan istana dan masyarakat setempat.


Persembahan Mak Yong menyerlahkan adab-adab Melayu, gerak yang anggun, bahasa yang puitis, mencerminkan kehalusan warisan budaya Melayu. Lazimnya, semua watak dimainkan oleh Wanita selain daripada watak pengasuh dengan peranan utama dilakonkan oleh watak Pak Yong. Rajah 1 menunjukkan susana persembahan Mak Yong yang masih dimainkan di kampung.


Kini, kesenian Mak Yong menghadapi kepupusan kerana beberapa faktor termasuk kaedah penyampaian ilmu melalui oral yang memerlukan tempoh masa yang panjang. Namun demikian, pelbagai inisiatif seperti program latihan dan persembahan telah diusahakan untuk memelihara seni ini bagi memastikan ia kekal menjadi sebahagian penting identiti seni dan budaya Malaysia. Mak Yong bukan sahaja simbol warisan tradisi tetapi juga mencerminkan falsafah dan kehalusan jiwa masyarakat Melayu.


Cerita Mak Yong biasanya berasaskan mitos, legenda, dan hikayat lama yang penuh dengan unsur magis dan nilai moral. Antara cerita popular yang sering dipersembahkan ialah Hikayat Dewa Muda, Anak Raja Gondang, Raja Tangkai Hati, Raja Besar Maha Gading dan Dewa Pechil. Kisah-kisah ini mengisahkan perjalanan raja-raja, perjuangan mereka menentang kuasa jahat, pencarian cinta, dan pengembaraan untuk mencapai kesejahteraan. Tema cerita selalunya menyampaikan nilai kehidupan seperti kesetiaan, keadilan, dan kebijaksanaan.

Watak-watak yang terdapat dalam cerita Mak Yong adalah bergantung kepada cerita yang disampaikan. Antara watak-watak yang terdapat dalam cerita Mak Yong ialah Pak Yong, Mak Yung, Peran, Inang, Tok Wak, Betara guru dan Gergasi.


Mak Yong dipentaskan dengan iringan muzik dan secara asasnya, hanya Rebab, gendang ibu dan anak serta gong dimainkan ketika persembahan Mak Yong. Walau bagaimanapun, selari dengan masa, alat muzik yang digunakan ditambah dengan gedombak, canang, kesi dan geduk. 

Busana/ Aksesori

Busana persembahan Mak Yong bergantung kepada lokasi persembahan dijalankan. Sekiranya persembahan dijalankan di kampung, para pelakon mengenakan kostum dan aksesori yang sederhana manakala sekiranya pementasan komersial yang dijalankan, pelakon-pelakon mengenakan kostum yang berwarna-warni dan dihiasi dengan perhiasan mewah seperti tanjak, pending, dan kain songket. Setiap kostum melambangkan status watak dalam cerita, contohnya raja atau permaisuri. 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Teater tradisional seperti Mak Yong mempunyai struktur yang perlu dipatuhi. Berikut adalah struktur sesebuah persembahan Mak Yong.

  1. Bertabuh

  2. San Gendang (Pelakon masuk ke pentas)

  3. Lagu Mengadap Rebab

  4. Lagu Sedayung Makyung

  5. Lagu Sedayung Pakyung

  6. Lagu Pakyung Muda / Kesah Barat

  7. Raja memanggil peran

  8. Pecah cerita

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

  • A.S. Hardy Shafi (2015). The Historical Journey of makyung. Dalam A.S. Hardy Shafi,  Jason Tye Kong-Chiang, Shanti Balraj Baboo (Eds.), Makyung: Perspectives on Malaysia’s Traditional Theatre (pp. 1-19). Dewan Bahasa dan Pustaka.


  • Mohamed Ghouse Nasuruddin (2009). Traditional Malay Theatre. Dewan Bahasa dan Pustaka.

  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)


Lokasi
Pautan Google Maps :