TARIAN LENGGOK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Lenggok merupakan salah satu tarian tradisional yang berasal dari negeri Perak dan popular di beberapa kawasan seperti Sitiawan, Pasir Panjang, dan Bagan Datoh. Tarian ini berakar daripada tradisi istana dan lazimnya hanya dipersembahkan di dalam Istana untuk majlis-majlis diraja, termasuk sebagai hiburan untuk pembesar istana serta persembahan kepada tetamu-tetamu luar. Pada asalnya, tarian ini hanya ditarikan oleh kaum wanita, mencerminkan gerakan yang gemalai dan lemah lembut. Ciri-ciri ini menjadikan Tarian Lenggok sebagai simbol kesopanan dan kehalusan budaya dalam institusi diraja Perak pada masa lalu.


Menurut catatan sejarah, asal-usul Tarian Lenggok dipercayai berasal dari Aceh. Hal ini berkaitan dengan sejarah seorang anak raja Aceh, Sultan Malek Al Mansur, yang dikatakan telah membuka Kerajaan Melayu Beruas sekitar tahun 1453 yang menjadikan tarian Lenggok sebagai sebuah bentuk hiburan Istana. Setelah itu, beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan asal usul tarian ini di negeri Perak adalah seperti sejarah hubungan rapat antara Perak dan Aceh dapat dikesan melalui pemerintahan Sultan Mudzafar Shah I, Sultan pertama Perak, sehingga pemerintahan Sultan Mukkadam Shah, Sultan keenam. Selain itu, hubungan kekeluargaan antara kerabat diraja Perak dan Aceh melalui perkahwinan dengan puteri-puteri diraja Aceh turut mengukuhkan pengaruh budaya Aceh di Perak, yang sebahagiannya diwarisi hingga kini.


Dari segi ciri dan gaya persembahan, Tarian Lenggok juga mempunyai persamaan dengan Tarian Mensuekat dari Aceh. Namun, perbezaan utama terletak pada konteks dan tujuan persembahan. Tarian Lenggok di Perak khusus dipersembahkan dalam istana untuk majlis perkahwinan diraja, hiburan kepada pembesar, serta sambutan tetamu luar. Sebaliknya, Tarian Mensuekat bercorak keagamaan dan berfungsi untuk menyebarkan ajaran Wujudiah. Walaupun begitu, secara tradisinya, Tarian Lenggok kini dianggap sebagai warisan budaya yang unik kepada negeri Perak, mencerminkan keindahan dan kehalusan seni tradisional tempatan.


Fungsi dan Peranan

Pada asalnya, Tarian Lenggok memainkan peranan penting sebagai bentuk hiburan eksklusif dalam istana diraja Perak. Tarian ini dipersembahkan di hadapan Sultan dan para pembesar sebagai satu bentuk hiburan istimewa, terutama semasa majlis-majlis perkahwinan diraja atau sambutan ulang tahun Sultan. Selain itu, Tarian Lenggok juga menjadi sebahagian daripada tradisi menyambut tetamu kehormat atau jemputan luar negeri yang datang menghadap Sultan. Fungsi ini menjadikan Tarian Lenggok bukan sahaja sebuah seni tarian, tetapi juga simbol kehalusan budaya serta keagungan institusi diraja Perak pada zaman dahulu.


Seiring dengan perubahan zaman, fungsi Tarian Lenggok telah berkembang melangkaui tembok istana. Kini, tarian ini tidak lagi terhad kepada golongan diraja sahaja, tetapi telah menjadi sebahagian daripada warisan budaya yang dapat dinikmati oleh masyarakat umum. Tarian Lenggok sering dipersembahkan dalam pelbagai majlis seperti perkahwinan rakyat biasa, acara kebudayaan yang diadakan untuk komuniti setempat, dan juga sebagai daya tarikan kepada pelancong. Dalam konteks yang lebih moden, Tarian Lenggok turut diintegrasikan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, menjadikannya simbol budaya negeri Perak yang melambangkan keindahan seni tradisional.


Fungsi dan peranan Tarian Lenggok yang telah berkembang ini menunjukkan keupayaannya untuk beradaptasi dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan nilai tradisi. Keunikan gerakan gemalai dan penuh kelembutan dalam Tarian Lenggok bukan sahaja terus melestarikan warisan seni tempatan, tetapi juga berfungsi sebagai medium untuk memupuk semangat kebanggaan budaya dalam kalangan masyarakat.


Busana/ Aksesori

Sebagai sebuah tarian yang eksklusif oleh wanita yang asalnya dipersembahkan di dalam istana, busana dan aksesori yang dipakai juga turut mencerminkan keanggunan serta kehalusan budaya Melayu. Dalam tradisi asalnya, penari Lenggok memakai baju kurung pesak yang sederhana tetapi elegan, dipadankan dengan kain lipat di hadapan. Material kain pula lazimnya menggunakan kain songket yang ditenun menambahkan lagi kesan autentik dan estetika tinggi buat penari. Busana ini dipadankan dengan Selendang bersulam yang digunakan sebagai penutup kepala, menyerlahkan kesopanan dan keanggunan penampilan mereka. Untuk melengkapkan rias penampilan, aksesori seperti rantai atau dokoh turut dikenakan sebagai perhiasan diri bagi menambahkan elemen kemewahan yang sesuai dengan suasana istana.


Selain itu, tarian ini juga dipercayai satu ketika dahulu dipersembahkan dengan busana Puteri Perak. Pakaian ini terdiri daripada baju kurung cekak musang, seluar Aceh, dan Samping "Dagang Luar” menggunakan “Ikatan Kembung” iaitu jenis ikatan Samping untuk pembesar-pembesar isteana yang diperkemaskan dengan Pending iaitu tali pinggang. Penari wanita pada masa kini sering melengkapkan penampilan mereka dengan cucuk sanggul ataupun dengan tudung yang menutupi dada, mencerminkan kesopanan dan keanggunan budaya Melayu.


Dalam konteks kontemporari, busana penari Lenggok telah mengalami sedikit penyesuaian untuk memberikan kesan visual yang lebih dinamik tanpa menghilangkan nilai tradisionalnya. Penari moden biasanya memakai baju kebaya labuh yang dipadankan dengan kain songket, simbol kehalusan seni tekstil Melayu. Selain itu, ada juga yang memakai kebaya Nyonya dipadankan dengan kain batik untuk memvariasikan persembahan. Aksesori seperti dukuh dan cucuk sanggul dipakai untuk menambah sentuhan tradisional pada penampilan, sambil mengekalkan elemen elegan dan berkelas. Gabungan busana dan aksesori ini bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni berpakaian tradisional Melayu, tetapi juga menyerlahkan keunikan Tarian Lenggok sebagai warisan budaya yang terus dipelihara dan dipertingkatkan mengikut zaman.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Dalam persembahan tradisional, tarian Lenggok diringi dengan nyanyian serta alat muzik Rebana Perak sahaja. Nyanyian asal tarian Lenggok adalah dalam bahasa Arab dengan dendangan Berzanji dan Zikir. Dalam perkembangan semasa, lirik  lagu Berzanji tersebut telah diubah ke dalam bahasa Melayu agar lebih selari dengan tradisi dan konteks budaya tempatan.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan ini hanya ditarikan oleh golongan wanita dalam bilangan enam (6) hingga dua belas (12) orang dalam satu-satu persembahan. Ia ditarikan dalam posisi duduk dan melutut berlapikkan bantal kapas  tanpa bediri.


Kaedah persembahan dimulakan dengan gerakan “Takzim”, di mana penari memasuki arena sambil diiringi melodi tunggal daripada dendangan Berzanji. Penari tampil dengan posisi badan sedikit tunduk, tangan kanan diluruskan ke bawah, manakala tangan kiri memegang dengan cara mencubit kain baju. Gerakan ini melambangkan kesantunan dan penghormatan kepada penonton, menyerupai adat Melayu ketika melintasi tetamu atau orang tua. 

Setelah itu, penari melaksanakan “Duduk Sembah” sebagai tanda pembukaan rasmi persembahan. Penari menapakkan kedua-kedua tangan  ke atas paha secara kanan melintang lalu membuat geraan tunduk ke samping kiri dan kanan sambil wajah penari diipalingkan ke hadapan. Gerakan ini memberi salam kepada penonton, menzahirkan penghormatan dan keterbukaan dalam persembahan.

Kemudian, persembahan tarian ini dimulakan dengan “Pecah tari”, di mana gerakan menggulung tangan dilakukan secara berselang-seli di hadapan kiri dan kanan, diiringi tepukan tapak tangan yang selaras dengan rentak pukulan Rebana. Tangan yang digulung akan diluncurkan dari bawah menuju ke atas bahu, secara bergantian antara tangan kiri dan kanan. Dalam persembahan ini, turut diselitkan gerakan sembah ampun, di mana kedua-dua tapak tangan dirapatkan dengan ibu jari ditekapkan pada bahagian bawah hidung sebagai tanda penghormatan.


Sepanjang persembahan, rangkaian gerakan ini diulang-ulang mengikut iringan lagu Bezanji sehingga lagu tersebut tamat. Menjelang penghujung persembahan, penari akan bangun dari posisi duduk dengan kaki masih berlipat di atas bantal, sambil mengibas tangan ke kiri dan kanan. Gerakan ini diakhiri dengan sembah ampun sekali lagi sebelum penari berdiri dan berundur keluar pentas. Bahagian akhir ini hanya diiringi oleh ketukan Rebana tanpa nyanyian, menutup persembahan dengan suasana yang penuh adat dan simbolik.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Sulong, M. A., Saidon, Z. L., & Nor Hashim, N. S. (2013). Muzik tradisi tari rakyat Perak: Suatu pendekatan etnomuzikologi. Malaysian Music Journal, 2(1), 72-105.


Rosly, N. S., & Yusop, D. M. S. Analisis Interpretasi Lirik Dabus Yang Diamalkan Oleh Masyarakat Di Bagan Serai Perak.


Nadzri Mohamad & Ahmad Kamal Mohd. Yusop. (2023). Pendokumentasian Rebana Perak Sebagai Satu Warisan Muzik Tradisional Negeri Perak. Jurnal Tuah, 69-75


Nawani, M. F. (2013). Pewarisan Permainan Rebana Perak di Kampung Sungai Air Tawar. UNIMAS. 


Saaid, S. A., & Malek, M. R. (1995). Kesenian dan Hiburan Tradisional. Kuala Lumpur: Penerbit Prisma Sdn. Bhd. 


Salleh, N. M. (1995). Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Malaysia. Selangor: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara


Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Encik Zulkepli Nordin, Kumpulan Intan Terpilih, Perumahan Awam 2, 36200 Bagan Datoh, Perak.


Lokasi