MARHABAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Marhaban adalah salah satu bentuk persembahan kesenian Islam yang popular di negeri Perak. Perkataan ( بحرم) “Marhaba” berasal daripada perkataan kata kerja bahasa Arab ( بحر) “Rahaba” yang bererti lapang dan luas. Ia membawa maksud ucapan selamat atau hormat  yang  diucapkan  bagi  mengalu-alukan seseorang  ketika  bertemu  juga  ada  yang menterjemahkan ungkapan ini kepada “selamat datang”.

Marhaban merujuk kepada sebahagian bacaan yang terbit daripada Rawi (bab) keempat dalam kitab Majmu’ah Maulud Sharaf al-Anam. Ia bermula pada rangkap kelapan, khususnya ketika tiba pada ayat yang menyebut tentang kelahiran Rasulullah SAW iaitu “Baginda dilahirkan”. Pada bahagian ini, para pendendang dan hadirin akan berdiri bersama-sama untuk melantunkan nyanyian yang dikenali sebagai Marhaban. Lagu nyanyian tersebut terkenal sehingga ke hari ini iaitu; 


Thala'al Badru 'Alayna, Min Thaniyyatil Wada'

Wajabash Shukru 'Alayna, Ma Da'a Lillahi Daa'


Tradisi ini popular dalam kalangan masyarakat Melayu, kerana ia melambangkan penghormatan dan kegembiraan terhadap peristiwa kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menjadikannya elemen penting dalam pembacaan kitab tersebut.


Fungsi dan Peranan

Marhaban memainkan fungsi dan peranan penting kerana ia merupakan tradisi Islam yang sering diamalkan dalam pelbagai acara keagamaan seperti menyambut kelahiran bayi, pernikahan, khatam Al-Qur'an, dan perayaan Maulid Nabi Muhammad SAW. Tradisi ini berfungsi sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui lantunan pujian, selawat, dan doa. 


Selain itu, marhaban juga menjadi bentuk syiar Islam yang mengukuhkan nilai-nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat. Ia berperanan sebagai media dakwah yang berkesan, kerana sering kali disertai dengan penyampaian pesan-pesan keagamaan yang mendidik dan memberikan nilai spiritual kepada para pendengar. Dengan cara ini, Marhaban tidak hanya berfungsi sebagai amalan ibadah tetapi juga sebagai medium pendidikan rohani yang menginspirasikan umat untuk memperbaiki diri.


Bukan itu sahaja, Marhaban mencerminkan akulturasi budaya yang tetap berlandaskan nilai-nilai Islam, menjadikannya selari dengan prinsip syariat. Dalam konteks spiritualiti, Marhaban mengajak umat Islam untuk merasakan kedekatan dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW melalui lantunan doa dan pujian yang mendalam. Khususnya dalam perayaan Maulid Nabi, Marhaban memegang peranan penting sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah dengan menceritakan keutamaan, perjuangan, dan sifat-sifat mulia baginda. 


Di samping itu, Marhaban juga dapat berfungsi sebagai hiburan berunsur keagamaan yang tetap mematuhi nilai-nilai keislaman, bebas daripada unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat. Keseluruhannya, Marhaban bukan sahaja menyatukan elemen spiritual dan budaya tetapi juga berfungsi sebagai medium dakwah, pendidikan, dan pengukuhan identiti Islam dalam kalangan masyarakat.


Busana/ Aksesori

Kesenian ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dilakukan. Namun begitu, atas inisiatif kumpulan yang menjalankan persembahan ini di dalam sesuatu majlis, mereka lazimnya akan bersepakat untuk memakai baju sedondon mengikut kesesuaian majlis yang diadakan. Selain itu, cara pemakaian yang indah adalah simbolik untuk meraikan kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW. 


Bagi kumpulan Marhaban wanita, mereka akan memakai Baju Kurung atau Jubah panjang yang lengkap menutup aurat. Bagi kumpulan lelaki pula, lazimnya mereka akan memakai set Baju Melayu lengkap bersongkok sebagai kaedah untuk mempamerkan identiti budaya Melayu yang ekslusif.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Secara tradisional, kesenian Marhaban tidak mempunyai sebarang iringan alat muzik. Sebaliknya, paduan suara nyanyian secara beramai-ramai itulah yang membentuk alunan irama Marhaban. Antara irama lagu Marhaban adalah seperti Syira, Rakbi, Nahwan, Ras, Babri, Masri, Hajaka dan Haiya. Manakala, lagu  yang paling popular di negeri Perak adalah Marhaban Ya Rabbi’.


Lirik Marhaban Ya Rabbi’


Marhaban Ya Rabi', 

Marhaban Syahrul Anwar,

Marhaban Ya Syafi', 

Bilrahmah Wal Anwar.



Inilah bulan dinanti-nanti ,

Oleh semua perindu nabi,

Ahlan Wa Sahlan dari kami,

Rabi'ul Awwal yang diberkati.

Rabi'ul Awwal bulan bertuah,

Lahirnya Nabi penuh berkah,

Diutuskan sebagai rahmah,

Menyampai risalah penuh hikmah.



Marhaban Ya Rabi', 

Marhaban Syahrul Anwar,

Marhaban Ya Syafi', 

Bilrahmah Wal Anwar.



Kedatangannya sudah pasti,

Kan menerangi alam ini,

Wajiblah kita mensyukuri,

Atas nikmat dari ilahi.



Marhaban Ya Rabi', 

Marhaban Syahrul Anwar,

Marhaban Ya Syafi', 

Bilrahmah Wal Anwar.

Apakah perihal orang beriman,

Yang tak pernah syirikkan tuhan,

Gembira menyambut hari kelahiran,

Nabi Muhammad Rasul pilihan.



Kami mohon pada Ilahi,

Agar sempurna iman di hati,

Dengan berkat memuji Nabi,

Selawat salam setiap hari.

Marhaban Ya Rabi', 

Marhaban Syahrul Anwar,

Marhaban Ya Syafi', 

Bilrahmah Wal Anwar.



Kurniakanlah dapat melihat,

Wajah mulia Nabi Muhammad ,

Di dalam mimpi walau sesaat,

Agar rindu kami terubat.



Jejakkanlah kaki kami,

Ke bumi berkah tanah suci,

Agar dapat ziarah nabi,

Beribadah di taman syurgawi.



Marhaban Ya Rabi', 

Marhaban Syahrul Anwar,

Marhaban Ya Syafi', 

Bilrahmah Wal Anwar.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Marhaban dipersembahkan secara berkumpulan oleh golongan wanita mahupun kumpulan lelaki. Setiap kumpulan mempersembahkannya dalam formasi sebaris (dua atau tiga baris)  seperti nasyid dengan penuh semangat sebagai tanda hormat kepada baginda Rasulullah S.A.W.


Pada awal persembahan, pimpinan kumpulan akan memulakan dengan bacaan Salawat atau diteruskan sahaja dengan nyanyian lirik lagu Marhaban. Ketua Pimpinan akan menyanyikan lagu rangkap terlebih dahulu secara solo, baru diikuti oleh ahli kumpulan yang lain secara beramai-ramai. Dalam rangkap-rangkap yang tertentu, ahli kumpulan akan menyahut nyanyian solo ketua pimpinan dengan sebutan ”Allah” secara harmoni. Rangkap utama yang akan dinyanyikan secara beramai-ramai oleh ahli kumpulan adalah rangkap lagu dalam bahasa Arab. Sebagai contoh;


Marhaban Ya Rabi', 

Marhaban Syahrul Anwar,

Marhaban Ya Syafi', 

Bilrahmah Wal Anwar.


Nyanyian akan berhenti mengikut kepanjangan lirik dan jenis Marhaban yang dilantukan. Sebagai penutup persembahan, ketua pimpinan kumpulan akan menyebut lafaz,


As-Solatu 'Alan Nabi, Was-Salamu 'Alar Rasul

An-Nabiyyul Ummi, Bir-Ridha Wal Qabul.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Abd Rahman, R., Alias, H., Zakaria, M. H., & Razali, N. W. N. (2024). Development and Usability of the Arabic Language Module “Marhaban” Based on CEFR (A1 & A2 Levels). SIBAWAYH Arabic Language and Education, 5(2), 55-69.


Samat, A. B., Tibek, S. R., & Muhamat, R. (2014). Tahap Pengetahuan dan Minat Remaja Terhadap Seni Barzanji dan Marhaban: Kajian di Kalangan Pelajar SMKA Negeri Johor. Sains Humanika, 66(1).


Samat@Darawi, A. B., Tibek, S. R., Muhamat@Kawangit, R., & Hamzah, A. R. (2015). [History and Contribution of Barzanji and Marhaban Practices in The Main Councils of Society] Sejarah serta Sumbangan Amalan Barzanji dan Marhaban dalam Majlis-Majlis Utama Masyarakat. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 9, 121-132. 


Samat@Darawi, A. B., Tibek, S. R., Muhamata@Kawangit, R., & Hamzah, A. R. (2015). Sejarah Serta Sumbangan Amalan Barzanji Dan Marhaban Dalam Majlis-Majlis Utama Masyarakat. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 9, 157.

Lokasi