KOMPANG PERAK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Kompang adalah alat muzik pergendangan yang dikategorikan dalam kumpulan membranofon iaitu gendang satu muka. Ia dipercayai berasal dari Timur Tengah berdasarkan lirik lagu dalam bahasa Arab yang berfungsi dalam memainkan alunan selawat dan puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. 


Sejarah kemunculannya di Tanah Melayu dipercayai telah dibawa masuk ketika zaman Kesultanan Melaka pada kurun ke-14 oleh pedagang India Muslim sebagai alat penghibur dan tanda ketibaan kapal mereka di perairan Selat Melaka. Seterusnya ia dimainkan kepada sultan sebagai hadiah dan persembahan khusus menanda kehadiran mereka di Melaka pada waktu itu.  Terdapat fakta sejarah lain yang mengatakan, muzik kompang telah dibawa masuk oleh masyarakat dari Tanah Jawa yang berlayar ke Johor pada kurun ke-13. Kemudian, ia berkembang ke seluruh pelosok nusantara melayu termasuklah negeri Perak sebagai salah satu persembahan kepada Sultan. Bermula daripada itu, permainan  kompang diajar kepada para pembesar istana dan akhirnya diajarkan kepada rakyat jelata.


Di negeri Perak, permainan kompang memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara yang masih giat dipersembahkan dalam acara seperti perkahwinan, perarakan, dan majlis-majlis keagamaan. Alat muzik ini amat signifikan di sekitar daerah Kuala Kangsar hingga ke selatan di daerah Bagan Datoh. Kebanyakan pemain-pemain mzuik Kompang berasal daripada daerah-daerah ini kerana ia telah diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang mereka. 


Persembahan kompang masih aktif dipelihara oleh pelbagai pihak di negeri Perak, termasuk persatuan kebudayaan dan institusi pendidikan, sebagai usaha memastikan seni tradisional ini terus relevan dalam arus pemodenan. Sebagai warisan tidak ketara yang diiktiraf di bawah Akta Warisan Kebangsaan (2005), kompang Perak menjadi bukti hidup kekayaan tradisi dan warisan seni budaya masyarakat Melayu yang terus dijunjung di negeri ini.


Fungsi dan Peranan

Pada zaman dahulu, kompang digunakan oleh pedagang Arab untuk menarik perhatian pembeli dengan mengalunkan irama dan rentak melalui pukulan kompang. Ia juga berperanan sebagai medium untuk menyampaikan selawat dan puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W., menjadikannya sebagai alat muzik yang sering dikaitkan dengan nilai-nilai keagamaan.


Dalam arus pemodenan, fungsi kompang telah berkembang untuk digunakan dalam pelbagai acara bagi memeriahkan suasana. Muzik kompang sering dimainkan untuk mengiringi nyanyian solo atau berkumpulan seperti nasyid dan marhaban, terutamanya dalam majlis-majlis tradisional dan keagamaan. Acara seperti mengarak pengantin, berkhatam Quran, dan upacara rasmi yang melibatkan kehadiran tetamu kehormat sering disemarakkan dengan iringan pukulan kompang. Ini menunjukkan peranan kompang yang bukan sahaja berfungsi sebagai elemen hiburan, tetapi juga sebagai lambang penghormatan dan keindahan tradisi Melayu.


Selain itu, kompang turut berperanan dalam memperkukuhkan identiti budaya dan menyatukan komuniti. Irama yang dihasilkan mencipta suasana ceria dan harmoni, menjadikannya elemen penting dalam pelbagai perayaan dan majlis keramaian. Peranannya juga melangkaui hiburan semata-mata, kerana kompang digunakan sebagai alat untuk mendidik dan menyampaikan nilai-nilai tradisional serta keagamaan kepada generasi muda. 


Busana/ Aksesori

Seni persembahan ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dimainkan. Namun begitu, dalam sesuatu majlis yang bersifat rasmi, pemain Kompang Perak lazimnya akan mengenakan baju seragam Melayu Lengkap bersamping dan dipadankan bersama Songkok ataupun Tanjak bagi lelaki. Bagi pemain kompang wanita pula, kebiasaanya mereka akan Baju Kurung dengan tona warna yang sama.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Pembuatan kompang melibatkan beberapa langkah penting yang memastikan alat muzik ini dapat menghasilkan bunyi berkualiti serta memenuhi keselesaan pemainnya. Proses ini bermula dengan pemilihan saiz kompang yang sesuai mengikut umur pemain. Saiz kompang biasanya berbeza mengikut kumpulan umur: 30 cm untuk pemain berusia 12 tahun ke bawah, 32.5 cm untuk usia 13 hingga 14 tahun, 35 cm untuk usia 15 hingga 16 tahun, manakala 37.5 cm dan 40 cm sesuai untuk orang dewasa. Pemilihan saiz ini penting untuk memastikan keselesaan pemain serta menghasilkan paluan yang berkualiti.


Struktur asas kompang terdiri daripada baluh, iaitu bingkai bulat yang diperbuat daripada kayu keras seperti Cengal, Halban, atau pokok nangka, dengan belulang diperbuat daripada kulit kambing betina. Permukaan belulang dipasang pada baluh menggunakan bahan pelekat dan ditindih dengan paku untuk memastikan ketegangannya. Untuk melaras ketegangan permukaan kompang, proses menggunakan sedak dilakukan. Sedak adalah rotan bersaiz kecil atau wayar yang diletakkan di antara belulang dan baluh. Fungsi utama sedak adalah untuk memastikan bahagian belulang tegang secukupnya agar bunyi yang dihasilkan jelas dan sedap didengar apabila dipalu.


Reka bentuk kompang juga memainkan peranan penting dalam kemudahan penggunaannya. Kompang biasanya berukuran 16 inci ukur lilit dengan bukaan cetek pada baluh untuk memudahkan pemain memegang alat muzik ini. Dengan ketelitian dalam pembuatan setiap bahagian kompang, alat muzik ini bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi juga mencerminkan seni kraf tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. Proses ini memastikan kompang dapat terus digunakan dalam pelbagai acara budaya dan keagamaan dengan mengekalkan nilai estetika dan kualiti bunyinya.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan Kompang Perak lazimnya dimainkan oleh kaum lelaki secara beramai-ramai dalam lingkungan 10 hingga 20 orang ataupun lebih. Permainan kompang dimainkan dalam bentuk bulatan dengan posisi duduk bersila, berdiri ataupun boleh sahaja berjalan sambil berarak, mengikut tujuan dan keperluan persembahan. Dalam persembahan kompang moden, kreativiti ditonjolkan melalui pergerakan formasi, di mana pemain bergerak dan membentuk pelbagai rekaan formasi yang menarik perhatian penonton.


Permainan kompang melibatkan teknik memalu atau menepuk permukaan belulang kompang menggunakan jari-jari atau tapak tangan. Pemain biasanya memegang kompang dengan tangan kiri, manakala tangan kanan digunakan untuk memukulnya, walaupun ini boleh disesuaikan mengikut keselesaan individu. Setiap persembahan lazimnya terdiri daripada tiga bahagian pukulan, iaitu (1) pukulan mula untuk memulakan lagu; (2) pukulan lagu itu sendiri; (3) dan pukulan mati untuk mengakhirinya. 
Seterusnya, persembahan kompang memerlukan keselarasan antara para pemain untuk menghasilkan bunyi yang harmoni dan padu. Kejituan ini dicapai melalui pembahagian peranan dalam kumpulan kompang berdasarkan jenis paluan, iaitu paluan Melalu, Menyilang, dan Meningkah. Setiap pemain akan memainkan peranan masing-masing untuk menghasilkan kombinasi bunyi yang berbeza, membentuk kesepaduan dalam persembahan.
Paluan Melalu merupakan pukulan asas yang menjadi tulang belakang rentak kompang. Pemain baru biasanya dilatih dengan teknik ini terlebih dahulu kerana ia adalah asas kepada semua jenis paluan. Paluan Menyilang pula adalah pukulan yang diselang dengan rentak melalu, memberikan irama yang lebih berlapis dan dinamik. Paluan ini bertindak sebagai upbeat kepada paluan melalu, menambah dimensi dalam persembahan. Sementara itu, paluan Meningkah menjadi hiasan utama dalam persembahan, dengan corak pukulan yang lebih rancak dan kompleks. Paluan ini biasanya dimainkan oleh pemain yang berpengalaman atau ketua kumpulan, kerana setiap lagu atau rentak memerlukan corak meningkah yang berbeza, menuntut kemahiran dan tumpuan yang tinggi.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Abdul Wahab, F. A. (2017). Kompang The Malay Drums. UiTM Press Sdn. Bhd.

Ahmad Hakimi Khairuddin, & Zahir Ahmad. (2006). Perkembangan Persembahan Hadrah Di Tiga Tempat: Pelestarian dan Pembangunan Warisan Seni Budaya Melayu. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Erwan Sulaiman. (2011). Kompang. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ketut Wisnawa. (2020). Seni Musik Tradisi Nusantara. Nilacakra.

Matusky, P. A., & Tan, S. B. (2017). Muzik Malaysia: Tradisi, Klasik, Rakyat Dan Sinkretik. Penerbit Universiti Malaya.

Md Jais Ismail, Loo Fung Chiat, & Mohd Sham Kamis. (2019). Koordinasi Menyanyi Sambil Bermain Kompang Kanak-Kanak Menggunakan Pendekatan Euritmik. Jurnal Penyelidikan Sains Sosial (JOSSR),  2, 19 - 31.

Mohd Hassan Abdullah. (2004). Idiosyncratic Aspects of Malaysian Music: The Roles of the Kompang in Malay Society. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia.


Mohd Hassan Abdullah. (2005). Kompang: An organological and ethnomusicological study of a malay frame drum. International Centre for Music Studies, The University, Newcastle upon Tyne, United Kingdom.


Encik Ngah Sidin bin Hamzah, Kumpulan Sewang Ulu Geroh , Kampung Ulu Geroh Gopeng, Perak.

Lokasi