DENDANG SITI FATIMAH
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Dendang Siti Fatimah merupakan sebuah syair tradisional yang sarat dengan nilai-nilai keislaman dan kemanusiaan. Dendangan ini menjadi amat popular di negeri Perak terutamanya ketika adat Berendoi (adat naik buai)ataupun masjlis cukur jambul. 


Berakar umbi dari Tanah Arab, syair ini dipercayai bermula sejak zaman Rasulullah SAW, dilagukan oleh sembilan bidadari untuk anakanda-anakanda baginda. Syair ini kemudiannya diwarisi oleh Saiyidatina Fatimah az-Zahra, yang mendendangkannya kepada anak-anaknya, Saidina Hassan dan Saidina Hussin, untuk menidurkan mereka. Sejak itu, syair ini dikenali sebagai Dendang Siti Fatimah, melambangkan kasih sayang dan kelembutan seorang ibu.


Seni kata asal syair ini disusun dalam bahasa Arab dan mengandungi puji-pujian kepada Rasulullah SAW. Ia juga menyentuh aspek kehidupan seorang ibu, bermula dari saat kehamilan, kesulitan melahirkan, sehingga kepada pengorbanan membesarkan anak. Dendangan ini turut mengandungi pesan-pesan nasihat yang mendalam, mengingatkan anak-anak tentang kepentingan menghargai ibu bapa serta menjunjung nilai kasih sayang dan rasa syukur.


Di Nusantara, Dendang Siti Fatimah telah melalui proses asimilasi budaya, di mana lirik-liriknya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diolah sesuai dengan budaya setempat. Walaupun mengalami adaptasi, ia tetap mengekalkan intipati keindahan dan pesan moral yang menjadi tunjang warisan seni ini. Kini, Dendang Siti Fatimah bukan sekadar sebuah syair, tetapi simbol warisan seni yang menghubungkan generasi masa kini dengan nilai-nilai tradisi dan agama di negeri Perak.


Fungsi dan Peranan

Dendang Siti Fatimah berperanan besar dalam tradisi masyarakat Melayu, khususnya dalam mengiringi pelbagai majlis adat yang penuh bermakna. Salah satu fungsinya adalah sebagai iringan dalam majlis cukur jambul, di mana dendangan ini mendukung suasana keagamaan dan kesyukuran ketika meraikan kelahiran bayi. Dengan lirik yang penuh kasih sayang dan doa, syair ini melambangkan harapan dan restu untuk kesejahteraan bayi yang baru lahir.

Selain itu, Dendang Siti Fatimah sering dikaitkan dengan majlis naik buai, iaitu adat yang meraikan peralihan bayi kepada penggunaan buaian sebagai simbolik perjalanan awal kehidupannya. Dalam majlis ini, syair ini mendendangkan nilai-nilai nasihat, kesejahteraan, dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Alunan syairnya mencipta suasana damai dan mengingatkan ahli keluarga tentang tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak.

Di samping itu, syair ini kadangkala dilagukan dalam majlis malam berinai, terutamanya untuk menggambarkan rasa syukur dan penghormatan terhadap jasa anak yang bakal meninggalkan keluarganya setelah berkahwin. Dalam suasana ini, dendangan Dendang Siti Fatimah menjadi lambang kasih sayang yang tulus, menghubungkan tradisi dan emosi antara ibu bapa dan anak.

Busana/ Aksesori

Seni persembahan ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dijalankan. Namun, dalam sesuatu majlis, lazimnya penyair Dendang Siti Fatima akan mengenakan baju seragam Baju Kurung atau baju jubah panjang dengan tona warna yang sama.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Dendang Siti Fatimah tidak mempunyai sebarang alat muzik. Para penyair akan mendendangkan secara beramai-ramai yang diketuai oleh satu orang ketua penyair. Ritma dan tempoh lagu tersebut lazimnya adalah mengikut cara nyanyian ketua penyair. Lazimnya, bacaan selawat akan dibacakan secara beramai-ramai. Berikut adalah lirik syair Dendang Siti Fatimah;


Rangkap awal:

Zaman-zaman ya Rasullullah,

Zaman Nabi tanah Mekah,

Wafat Nabi di Madinah,

Meninggalkan anak Siti Fatimah.


Syair

Alib

Bismillah itu mula pertama

Keadaan zat bersama-sama

Dizahirkan sifat tentukan asma

Qidam dan baqa sedialah lama.


Asal daripada Nabi Allah

Asal nawahi Nur Khatam

Dipecah empat akhir qidam

Dipecahnya itu sekalian alam


Rahim bapamu turun ibumu

Empat puluh hari Nadqah namamu

Lapan puluh hari Nadqah namamu

Seratus dua puluh hari Madqah namamu.


Dikandung ibumu sembilan bulan

Lebih dan kurang tiada ditentukan

Beberapa azab kesakitan

Dipantang pula minum dan makan.


Apabila ibumu perutnya sarat

Hendak berjalan tiadalah larat

Hatinya itu terlalu gelorat

Bapamu pantang terlalu berat.


Bapamu itu kerasnya pantang

Siang dan malam pagi dan petang

Tiada berani membunuh binatang

Takut akhirnya cederanya datang.

Hassan Hussin anak cucu Rasulullah

Mati Hassan tinggal Hussin

Mati perang Sabilillah.


Apabila sudah cukupnya hari

Sakitlah ibumu tiada terperi

Bapamu pun turun berlari-lari

Memanggil bidan bawa ke mari.


Bidan pun datang tiadalah lambat

Serta membawa kelengkapan ubat

Dilihatnya penuh saudara sahabat

Bidan pun naik bertempuh rapat.


Sakit ibumu tiada terkira

Berhimpunlah sanak saudara

Sangatlah ramai tiada terkira

Sekeliannya itu duduk berjaga.


Perutnya sakit bagai nak pecah

Bukannya kurang makin bertambah

Dipanggil bapamu disuruhnya langkah

Dipintanya ampun barang yang salah.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Dendang Siti Fatimah lazimnya dinyanyikan secara beramai-ramai oleh sekumpulan wanita yang bertindak sebagai penyair. Persembahan ini biasanya dipimpin oleh seorang ketua yang memulakan dendangan, diikuti oleh sahutan daripada rakan-rakan penyair yang lain. Para penyair duduk dalam barisan atau membentuk bulatan, sama ada berhadapan atau bersebelahan dengan buaian bayi.


Ketua penyair selalunya akan mengambil tempat berdekatan dengan buaian agar alunan dendangan dapat disampaikan terus kepada bayi, menciptakan suasana yang menenangkan dan penuh kasih sayang. Suara harmoni kumpulan ini memberi sentuhan rohani yang mendalam, mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti wanita yang bersama-sama meraikan sesebuah majlis dendangan.



Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Hanafiah, A. R. A. (2002). Communication In Malay Tradition. Dalam academia. edu. Diakses pada, 15 Disember 2024


Siswanto, E. (2012). Kajian Semiotika Budaya terhadap Syair Dendang Siti Fatimah pada Upacara Mengayun Anak Masyarakat Melayu Tanjung Pura (Doctoral dissertation, Universitas Sumatera Utara).

Lokasi