Kentrong diperkenalkan oleh pedagang dari Indonesia ke Tanah Melayu dan kemudiannya berkembang di Malaysia, terutamanya di Selangor dan Johor. Prof. Dr. Ding Choo Ming, Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam tulisannya yang bertajuk Perdagangan dan Penghijrahan Membuka Jalan Kepada Penyebaran Karya Sastera Melayu Tradisional, menjelaskan bahawa ramai tokoh seperti penulis, tukang salin, tukang cerita, dan tukang kentrong di Jawa, jurupantun di Sunda, serta penglipur lara sering berulang-alik mengharungi lautan dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain di daratan untuk menghibur dan mendidik masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa penghijrahan serta perkembangan aktiviti sastera, seni, dan budaya berlaku akibat pengaruh serta perubahan politik yang positif di Malaysia.
Muzik Kentrong sering dimainkan dalam majlis perkahwinan pada waktu malam sehingga subuh.
Dalam persembahan muzik kentrong, pemuzik biasanya mengenakan kostum yang menggambarkan budaya tradisional dan suasana tempatan. Berikut adalah elemen utamanya:
Pakaian Tradisional
Pemuzik memakai pakaian seperti kebaya, baju batik, atau baju koko untuk mengekalkan unsur tradisi.
Sarung atau Batik
Kain sarung atau batik menjadi pelengkap pakaian, menambah elemen budaya dalam persembahan.
Ikat Kepala atau Tanjak
Pemuzik lelaki sering memakai ikat kepala, melambangkan keberanian dan tradisi etnik.
Aksesori Etnik
Gelang, kalung kayu, atau manik sering dipakai, memberikan sentuhan lokal dan alamiah.
Selendang atau Samping
Selendang atau samping yang disangkutkan di bahu menambah keanggunan, terutama bagi wanita.
Warna Pakaian
Warna seperti coklat, hijau, dan hitam mencipta suasana tenang dan serasi dengan alam.
Kasut atau Tanpa Kasut
Pemuzik kadangkala memilih tidak memakai kasut atau hanya sandal tradisional untuk keselesaan.
Muzik Kentrong sering dimainkan dalam majlis perkahwinan pada waktu malam sehingga subuh. Bilangan minima anggota semasa persembahan adalah tujuh orang. Alat muzik terdiri daripada peralatan gendang yakni jidor, kempor, gendang, kempol, kempeleng, dan ecek-ecek. Bahasa Jawa digunakan dalam persembahan namun Bahasa Melayu digunakan sekiranya ada permintaan
Persembahan Kentrong membawa lagu yang berbentuk moden seperti lagu versi nasyid ditukar menjadi irama Kentrong yang perlahan dan seolah-olah sedang bersyair. Namun begitu semuanya masih bergantung kepada situasi dan masa yang ada. Kini, Kentrong boleh dipersembahkan di mana-mana ruang acara asalkan bersesuaian dengan kehendak majlis tersebut. Terdapat juga pakej yang menawarkan persembahan Kentrong dalam bentuk Muzikal Kentrong, Marhaban, dan Kompang Asli iaitu “Terbangan” dalam bahasa Jawa.
Bahan Bacaan:
I. Anggia Novita. (2023). Alat Muzik Kentrung. https://www.scribd.com/document/689244338/Alat-Musik-Kentrung
ii. Patricia Matusky & Tan Sooi Beng. (2012). Muzik Malaysia: Tradisi Klasik Rakyat dan Sinkretik. Penerbit Universiti Malaya
iii. Nik Mustafa Nik Mohd Saleh (2009). Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu di Malaysia. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh) - Tiada -