LAGU BERPUKONG (MENIDURKAN BAYI)
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Berpukong atau berpokong merupakan salah satu adat tradisional menidurkan bayi dalam masyarakat Melayu Banjar yang sarat dengan nilai budaya dan keagamaan. Dalam amalan ini, bayi ditidurkan dalam posisi duduk dengan badan diikat kemas menggunakan kain hingga ke paras tengkuk, manakala kedua-dua kakinya dibiarkan terlunjur keluar dari buaian. Semasa buaian diayun, ibu-ibu akan mengalunkan Lagu Berpukong dalam dialek Banjar, diselang-seli dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.


Lagu Berpukong adalah salah satu bentuk tradisi lisan yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu Banjar. Lagu ini tidak ditulis dalam bentuk teks, tetapi hanya disampaikan secara lisan, menjadikannya elemen penting dalam warisan budaya yang bersifat oral. Liriknya bukan sahaja mencerminkan kehidupan masyarakat masa lampau tetapi juga berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan pujian, hasrat, dan doa. Dalam tradisi ini, ibu-ibu mendoakan agar anak-anak mereka kelak menjadi individu yang beriman, berbakti kepada ibu bapa, serta berguna kepada bangsa dan negara.


Adat Berpukong dan Lagu Berpukong menggambarkan keunikan nilai budaya masyarakat Banjar, di mana elemen keagamaan, seni, dan tradisi digabungkan untuk menyemai kasih sayang, nilai moral, dan identiti budaya dalam kalangan generasi muda. Amalan ini menjadi bukti warisan budaya yang kaya, menghubungkan masyarakat Banjar dengan akar sejarah dan identiti tradisional mereka.

Fungsi dan Peranan

Lagu Berpukong memainkan peranan yang signifikan dalam kehidupan masyarakat Melayu Banjar sebagai warisan budaya lisan yang sarat dengan nilai moral, agama, dan kasih sayang. Berikut adalah fungsi dan peranan utama Lagu Berpukong:


Fungsi Sebagai Media Informasi

Lagu Berpukong berfungsi sebagai media penyampaian informasi, terutamanya berkaitan dengan sejarah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. dan nilai-nilai kehidupan yang mencontohi akhlak Baginda. Lirik lagu ini menyampaikan panduan dan nasihat tentang bagaimana masyarakat harus berperilaku dalam kehidupan seharian berdasarkan ajaran Islam.


Fungsi Ekspresif

Sebagai karya sastra berbentuk puisi, Lagu Berpukong menjadi ekspresi pikiran, perasaan, sikap, dan pengalaman hidup orang tua. Liriknya mencerminkan hasil perenungan mendalam terhadap cabaran hidup, yang diterjemahkan menjadi nasihat dan doa yang penuh makna. Dengan ini, lagu tersebut menjadi medium untuk meluahkan kasih sayang dan harapan kepada generasi seterusnya.


Fungsi Pedagogis

Lagu Berpukong memainkan peranan mendidik dengan menanamkan nilai-nilai moral dan agama kepada anak-anak sejak usia dini. Nasihat yang terkandung dalam lirik lagu menekankan pentingnya mematuhi pesan dan wasiat orang tua, berbakti kepada mereka, serta mengamalkan ajaran Islam. Dengan cara ini, ia membantu membentuk keperibadian anak yang berbudi pekerti dan beriman.


Peranan dalam Ritual Keluarga

Lagu ini merupakan tradisi lisan yang diwarisi dalam kalangan keluarga Melayu Banjar, dinyanyikan oleh ibu atau nenek kepada anak atau cucu ketika menidurkan mereka. Aktiviti ini disertai dengan sentuhan penuh kasih sayang, seperti menepuk perlahan atau mengelus punggung dan kepala anak. Peranan ini memperkukuh ikatan emosional antara ibu bapa dan anak, serta mencipta suasana tenang dan selesa sebelum tidur.


Peranan sebagai Warisan Budaya

Lagu Berpukong adalah simbol identiti budaya masyarakat Banjar, memelihara nilai tradisional dan agama yang diwarisi turun-temurun. Sebagai tradisi lisan, ia memperkuatkan rasa kebersamaan dalam keluarga dan komuniti, serta memastikan warisan budaya ini terus hidup dalam generasi masa hadapan.


Busana/ Aksesori

Seni persembahan ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dijalankan. Namun, dalam majlis rasmi atau sambutan adat Berpukong, lazimnya pendendang lagu Berpukong akan mengenakan baju seragam Baju Kurung atau baju jubah panjang dengan tona warna yang sama.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Lagu berpukong tidak mempunyai sebarang alat muzik. Para pendendang akan menyanyi secara beramai-ramai yang diketuai oleh satu orang ketua pendendang. Ritma dan tempoh lagu tersebut lazimnya adalah mengikut cara nyanyian ketua pendendang. Berikut adalah lirik lagu yang biasanya dinyanyikan;


Jadual 1: Lirik Lagu Berpukong

Lirik Lagu

Maksud

Guring, guring 

Antungku guring  

Guring bapajam

Dalam ayunan


Anakku guring,

Guringngakan 

dalam pukungan


Allahu Laillahaillaulah

Muhammadur Rasulullah

Ya Rahman

Ya Tuhanku

Nabi Muhammad

Ya Nabiku


Anakku sayang

Antungku nang maasik

Anak nang baiman

Lakasi guring sayang ngai

Tidur, tidur

Buah hatiku tidur

Tidur berpejam mata

Dalam buaian


Anakku tidur

Tidurlah

Dalam pukungan (ayunan)


Allahu Laillahaillaulah

Muhammadur Rasulullah

Ya Rahman

Ya Tuhanku

Nabi Muhammad

Ya Nabiku


Anakku sayang

Buah hatiku yang menurut kata

Anak yang beriman

Cepatlah tidur oh sayang



Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Lagu Berpukong merupakan satu tradisi yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh sekumpulan wanita dalam majlis adat yang melibatkan bayi. Persembahan ini dipimpin oleh seorang ketua pendendang yang memulakan lagu, kemudian disahut secara serentak oleh ahli kumpulan pendendang yang lain. Kesemua pendendang, yang terdiri daripada kaum wanita, lazimnya duduk dalam barisan atau membentuk bulatan, sama ada berhadapan atau bersebelahan dengan buaian bayi.


Ketua pendendang biasanya mengambil tempat berdekatan dengan buaian, memastikan alunan lagu terus dilagukan kepada bayi yang sedang dibuaikan. Keharmonian suara kumpulan ini bukan sahaja menciptakan suasana damai dan tenang untuk bayi, tetapi juga membawa simbol kasih sayang dan doa daripada komuniti kepada anak kecil tersebut.


Rangkap pertama lirik lagi dinyanyikan seorang oleh ketua pendendang dengan tempo yang lebih perlahan dan mendayu-dayu. Setelah itu, diikuti dengan rangkap kedua dan ketiga akan disahut dan dinyanyikan beramai-ramai oleh rakan pendendang dalam tempoh yang lebih cepat dan tidak mendayu-dayu. Barulah rangkap yang keempat, ketua pendendang sekali lagi akan menyanyi dalam tempo perlahan.

Rangkap lagu ini akan berulang-ulang dinyanyikan dan diselang selikan dengan bacaan Selawat sehingga bayi tertidur. Petanda berakhirnya segmen nyanyian apabila bayi tersebut telah tidur dan ibu bapa bayi akan membaringkan bayi dalam buwaian ataupun diletekkan di atas tilam.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Adeliani, N. (2015). LAGU MENIDURKAN ANAK PADA MASYARAKAT BANJAR: Kajian Bentuk, Makna, dan Fungsi. AL-BANJARI Jurnal Ilmiah Ilmu-ilmu Keislaman, 13(2). https://doi.org/10.18592/al-banjari.v13i2.403 


Ansyari, A. R. (2022). Tradisi bapukung banjar dari sisi kajian budaya dan Islam.


Fatimah, S., Safitri, N. A., Andani, S. M., & Assilviyani, A. R. (2024). PANDANGAN MASYARAKAT BANJAR TERHADAP TRADISI BAPUKUNG. Religion: Jurnal Agama, Sosial, dan Budaya, 3(2), 739-748.


Hussin, N., Mohd Yunus, N. H., Juharei, N. S., & Wan Mohd Saman, W. S. Sosiobudaya masyarakat Banjar di Malaysia. Jurnal Sejarah Lisan Malaysia (JSLIM), 1(1), 47-61.


Lismawati, L. (2022). Representasi Kearifan Lokal aan Filosofi Dalam Syair Lagu Banjar (Representation of Local Wisdom and Philosophy in the Banjar Song Lyric). Jurnal Bahasa, Sastra, dan Pembelajarannya, 12(2), 342-358.


Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Puan Hajah Asmah Ramli, Kampung Banjar, Ayer Tawar, 32400 Perak


Lokasi