PERMAINAN TRADISIONAL HENCANG BUAH KERAS
Permainan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Permainan tradisional Hencang Buah Keras dimainkan sejak ratusan tahun yang lampau. Pada asalnya, permainan ini hanya dimainkan oleh golongan istana. Namun, ia kemudiannya diturunkan kepada golongan rakyat biasa sebagai permainan rakyat. Semasa permainan ini diadakan di kawasan istana, golongan istana dapat bercampur dengan golongan rakyat biasa dan ia memberi peluang kepada mereka untuk berkomunuikasi dan beramah-mesra. Permainan ini turut dipersembahkan bersama dengan tarian Gamelan, tarian Labi-Labi, tarian Inai, tarian Piring, silat dan Gendang Silat bagi menambahkan kemeriahan  acara sambutan.

            Bagi golongan istana, mereka tidak terlibat sebagai penghencang buah keras. Penghencang-penghencang buah keras yang handal terdiri daripada pendekar dari golongan rakyat biasa yang dipelihara oleh Sultan. Bagi penghencang-penghencang buah keras yang handal, nama mereka akan menjadi sebutan sebagai tokoh di sesuatu daerah ataupun negeri.   

Permainan Hencang Buah Keras dibawa masuk ke negeri Pahang oleh Keraing Aji (Tok Tuan) atau nama sebenarnya Kraeng Agang Jene Muhammad Naziruddin. Beliau merupakan seorang bangsawan dan pahlawan Bugis dari Makassar, Sulawesi, Indonesia. Orang-orang Bugis berhijrah ke Pahang setelah Belanda menyerang dan menawan Makassar pada tahun 1669. Keraing Aji menentang keras kemasukan Belanda dan turut berperang untuk menghalau penjajah bertapak di Makassar. Oleh sebab penentangan ini, beliau telah ditangkap oleh kerajaan Belanda bersama pengikut-pengikutnya dan dihukum buang negeri ke Capetown, Afrika Selatan.

Dalam pelayaran ke Capetown, beliau dapat meloloskan diri sehingga berjaya melarikan diri ke Muar, Johor. Dari Muar, beliau berpindah dan menetap di Kota Tinggi, Johor. Tidak lama di situ, beliau belayar ke Endau, Johor dan singgah di Endau untuk mengambil bekalan air bersih. Beliau meneruskan pelayaran sehingga sampai ke Telok Kandang, Kampung Pulau Jawa, Pekan, Pahang. Oleh kerana merasakan ia sebuah tempat yang selamat dan sesuai untuk dijadikan tempat berlindung, beliau menetap di situ selama 10 tahun. Pada 1722, beliau berpindah dan membuka penempatan baharu yang diberi nama Kampung Mengkasar, Pekan. Nama kampung ini diambil sempena nama pengasasnya yang berasal daripada Makassar, Sulawesi, Indonesia.

            Penghijrahan orang-orang Bugis membawa pengaruh kebudayaan dan kesenian dalam kehidupan masyarakat di negeri Pahang. Keraing Aji yang juga dikenali dengan gelaran Tok Tuan telah memperkenalkan permainan Hencang Buah Keras di Pekan sehingga permainan ini menjadi popular sebagai salah satu permainan rakyat di negeri Pahang.


 Jenis Buah Keras

a)    Buah jantan – buah yang berbentuk hampir bulat. Buah jenis ini jarang digunakan dalam permainan Hencang Buah Keras kerana ia jenis buah yang ringan dan mempunyai isi yang rapuh.

b)    Buah betina – buah ini mempunyai permukaan yang sama leper. Ia menjadi pilihan utama dalam permainan Hencang Buah Keras kerana permukaannya amat sesuai untuk digandingkan.

c)    Buah gendong – buah yang berbentuk seperti telur ayam. Jenis ini jarang sekali digunakan dalam permainan kerana bentuk dan permukaannya yang kurang sesuai. 

Busana/ Aksesori

Pemain-pemain dan penghencang buah keras akan memakai pakaian kebangsaan baju Melayu lengkap, bersamping dan bersongkok. Begitu juga apabila dimainkan di kawasan istana, pemain-pemain dan penghencang-penghencang buah keras memakai pakaian yang sama. Oleh kerana peredaran zaman, sekarang permainan ini dimainkan dengan berpakaian busana Melayu lengkap bersamping dan bertanjak.   

 

FABRIK

Fabrik yang sering dipakai oleh penghencang buah keras adalah kain jenis kapas atau kain tenun Pahang.

 

WARNA

Warna mengikut kegemaran pemain-pemain dan penghencang-penghencang buah keras. Tidak ada keseragaman warna dalam permainan ini.

Peralatan/ Bahan-Bahan


Pengapit Buah Keras

 

Pengapit buah keras diperbuat daripada kayu yang keras dan liat. Lazimnya kayu yang menjadi pilihan ialah kayu dari pokok sena, merawan dan meranti. Terdapat dua lapisan kayu digunakan dalam permainan hencang buah keras ini. Kayu di bahagian bawah dinamakan ‘penggalas’. Ia diperbuat daripada jenis kayu keras dan liat, manakala kayu di bahagian atas pula dinamakan ‘pengapit’. Ia diperbuat daripada kayu nibung yang mudah dilentur. Bahagian-bahagian penting pada pengapit buah keras disalut dengan logam seperti tembaga dan timah.

            Seterusnya, di bahagian tengah pengapit buah keras, terdapat satu lubang yang disaluti tembaga. Lubang tersebut berfungsi untuk meletakkan kedua-dua buah keras yang hendak diapit atau dilagakan. Buah keras diletakkan dalam keadaan bertindih antara satu sama lain, iaitu satu di bahagian atas dan satu lagi di bahagian bawah. Pengapit buah keras perlu diletakkan dalam posisi yang betul supaya tidak patah atau pecah apabila dihencang.  

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

PERSEMBAHAN

Permainan ini dimainkan antara dua pasukan yang terdiri daripada dua orang penghencang. Ia juga boleh dimainkan antara individu-individu. Menang atau kalah dalam permainan ini bergantung kepada kekuatan atau kekerasan buah kerasnya. Bagi pihak yang menang, buah kerasnya tidak pecah dan bagi pihak yang kalah, buah kerasnya akan pecah setelah dihencang oleh penghencang buah keras.

 

BERBALOK ATAU BERBANDING

 

Kedua-dua pasukan atau kedua-dua pemain akan bertukar-tukar buah keras yang hendak diapit atau dilagakan. Mereka akan memeriksa dengan terperinci buah keras antara satu sama lain agar saiz buah keras sama sepadan untuk dilagakan. Jika terdapat kecacatan kepada buah-buah keras tersebut atau tidak seimbang, pemain perlu menukarkan dengan buah keras yang lain. Mereka juga akan memeriksa dengan teliti kerana dibimbangi terdapat unsur-unsur penipuan dilakukan. 


 UNDIAN

 

(i)      Setelah kedua-dua pihak bersetuju, undian akan dijalankan dengan cara melambung buah keras bagi menentukan di pihak mana buah keras tersebut akan diletakkan, sama ada di bahagian atas atau di bahagian bawah di dalam pengapit dan pengalas pelapik laga buah keras. Lambungan dilakukan dengan memegang kedua-dua buah keras dalam genggaman tangan kanan dan kiri, kemudian digoncang dan dilemparkan ke  atas tanah. Buah keras yang jatuh terlentang akan diletakkan di bahagian bawah manakala buah keras yang jatuh terlungkup akan diletakkan di bahagian atas.

 

Pemain-pemain selalunya berharap agar buah keras mereka diundi dan jatuh terlentang dan diletakkan di bahagian sebelah bawah kerana lazimnya buah keras yang diletakkan di sebelah bawah tidak pecah dan akan memenangi permainan tersebut.


 

(ii)   Undian juga dijalankan dengan cara meletakkan buah keras ke dalam sekoi, digoncang dan dicurah ke dalam nyiru. Undian begini dilakukan di Kampung Padang Rumbia, Pekan di awal tahun 1960-an. Mengikut peraturan yang ditetapkan, buah keras yang terlentang diletakkan di bahagian bawah dan yang terlungkup diletakkan di bahagian atas pengapit dan pengalas buah keras.  


MEMASANG

 

Memasang adalah proses memasukkan kedua-dua buah keras yang hendak diapit atau dilagakan ke dalam pengapit buah keras. Setelah dimasukkan pelapik secukupnya barulah kedua-dua buah keras itu diletakkan dalam keadaan menindih antara satu sama lain, yang mana bahagian dada buah keras ditemukan dengan bahagian dada buah keras yang di bahagian bawah dan atas. Setelah kedua-dua pihak berpuas hati, besi penahan dipasang atau dikunci di bahagian hujung pengapit tersebut. Sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati kerana buah-buah keras tidak digandingkan dengan betul, besi penahan terpaksa dibuka dan buah keras itu akan digandingkan semula.   


Setelah kedua-dua pihak bersedia, penghencang buah keras akan melaksanakan tugas dengan menghentak bahagian tengah pengapit buah keras dengan berlangkah silat, iaitu membawa langkah tiga gaya tersendiri dengan menggunakan kekuatan kaki dan tumit. Penghencang akan menghencang dengan sepenuh tenaga disertakan dengan tempik soraknya. Penghencang buah keras juga boleh menggayakan pelbagai langkah, gerak dan tari dalam ilmu persilatan mereka sebelum menghencang, kerana mereka akan memperagakan identiti perguruan mereka kepada umum. Secara tidak langsung masyarakat dapat mengetahui bahawa penghencang buah keras itu datang daripada perguruan Seni Silat Cekak, Seni Silat Terlak, Seni Silat Pulut, Seni Silat Pencak, Seni Silat Sendeng dan sebagainya.


Sekiranya buah keras di bahagian atas pecah, ia dipanggil ‘menyambut’ dan sekiranya buah keras di bahagian bawah pecah ia dipanggil ‘menyelam’. Manakala sekiranya kedua-dua buah keras itu pecah ia dipanggil ‘baloi’. Penghencang akan dipersalahkan jika kedua-dua buah keras itu baloi. Seterusnya jika kedua-dua buah keras itu tidak pecah pula ia dipanggil ‘galang’. Jika galang berlaku, penghencang lain akan menggantikan tempat penghencang sebelum ini. Sekiranya berlaku galang sekali lagi, penghencang itu akan digantikan sekali lagi dengan penghencang baharu. Penghencang itu juga akan disalahkan dan dianggap sebagai kurang berkemahiran, kurang bertenaga atau kurang persediaan mental dan fizikal untuk bertanding.

Nilai estetika permainan ini terletak pada peranan penghencang buah keras. Hal ini kerana mereka menggayakan pelbagai tari, gerak dan langkah seni silat untuk menghencang buah keras. Ia menunjukkan bahawa seni silat adalah salah satu elemen yang tidak dapat dipisahkan dalam permainan tradisional oleh masyarakat Melayu di negara ini.


PENYEDIAAN BUAH KERAS

 

Buah keras yang hendak digunakan dalam permainan hendaklah dipilih daripada jenis pokok yang berbaka baik. Pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan buah keras itu tahan lasak agar tidak mudah pecah apabila dilagakan.

 

Terdapat dua cara dilakukan agar buah keras tidak mudah pecah dan tahan lasak: 

i.       Buah keras akan direndam terlebih dahulu di dalam air lembah (air bertakung yang mengalir dari dapur rumah semasa membasuh pinggan atau selepas aktiviti kerja rumah yang lain). Ia perlu direndam selama beberapa hari sehingga warnanya bertukar hitam. Setelah melalui proses ini, buah keras akan dicuci dan disimpan sebelum dimainkan. i.       Buah keras akan direndam terlebih dahulu dalam air buah asam gelugur selama seminggu. Ia kemudiannya akan dibersihkan dan dijemur sehingga kering di tempat yang teduh. Setelah kering, buah ini akan digoreng bersama pasir dengan api yang sederhana agar buah tidak pecah. Selain itu, ia juga boleh dipanggang bagi tujuan yang sama. Setelah buah keras itu sejuk, ia akan disapu dengan manisan kabung. Setelah mengalami proses tersebut, warna buah keras akan bertukar menjadi merah. Buah ini akan disimpan sebelum dimainkan. 

Buah keras yang berlainan warna tidak dilagakan. Hanya buah yang sama warna sahaja dilagakan. Buah berwarna hitam akan dilagakan dengan buah berwarna hitam dan buah berwarna merah akan dilagakan dengan buah berwarna merah. Pemain-pemain Hencang Buah Keras akan memberi pelbagai nama atau gelaran pada buah-buah keras mereka. Ianya dijadikan sebagai permainan psikologi bagi menggerunkan pihak lawan.


PENGALAS ATAU PELAPIK

 

Pengalas atau pelapik lazimnya disendalkan kepada kedua-dua buah keras dengan bahan lembut seperti sabut kelapa, ijuk kabung, kekabu dan kapas. Bahan-bahan ini perlu dibersihkan terlebih dahulu dan bahagian jerami yang lembut sahaja akan digunakan.

 

Pengalas atau pelapik akan diletakkan dengan teliti ke dalam lubang pengapit buah keras agar buah-buah keras yang akan dilagakan tidak bergesel antara satu sama lain. Kedua-dua pihak yang bertanding mesti berpuas hati dengan kedudukan buah-buah keras mereka setelah dimasukkan ke dalam pengalas atau pelapik tadi.

Tokoh dan Pencapaian

Tuan Haji Asmat Bin Haji Abdullah

 

Tuan Haji Asmat bin Haji Abdullah atau juga dikenali sebagai Tok Empat Jid dilahirkan pada 15 Julai 1945 di Kampung Mengkasar, Pekan. Beliau bertitis keturunan keluarga Keraing Aji, pengasas permainan Hencang Buah Keras. Beliau menyertai Askar Wataniah pada tahun 1965 dan pernah bertugas di Kuala Kubu Bharu, Sikamat, Seremban, Baling, Kota Samarahan dan Sri Aman di Sarawak. Setelah tamat berkhidmat dalam angkatan tentera pada tahun 1975, beliau bekerja dengan Perbadanan Muzium Negeri Pahang pada 15 Oktober 1976 dan bersara pada 15 Julai 2002. Beliau berpengalaman dalam permainan Hencang Buah Keras sejak dari usia remaja dan sering menyertai pertandingan permainan Hencang Buah Keras di Pekan.


Tuan Haji Salehuddin Bin Yaacob

 

Tuan Haji Salehuddin bin Yaacob dilahirkan pada 10 Oktober 1939 di Kampung Kandis, Chenor, Maran. Beliau menyertai Askar Wataniah pada tahun 1964 dan pernah dihantar bertugas di Kuching, Sarawak. Pada 1975, beliau diserapkan ke dalam pasukan peninjau dan dihantar bertugas di sempadan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak. Beliau tamat perkhidmatan dalam angkatan tentera pada tahun 1984 dengan pangkat Koperal. Beliau berpengalaman dalam permainan Hencang Buah Keras sejak remaja dan sering menyertai permainan Hencang Buah Keras di Chenor. 

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

 

Norazit Selat. (1996). Pahang dahulu dan sekarang. Pahang. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia.

 

Mazlan Hashim, Mohamad Fahmi Che Mit. (2020). Manuskrip Hencang Buah Keras. Kuala Lumpur : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

 

Mohd Mokhtar bin Bakar. (2022). Ekspedisi Berakit Sungai Pahang 2002. Pahang : Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Pelancongan Pahang).

 

Muzium Pahang. (2022). Hencang Buah Keras: facebook: muat turun pada 19 Januari 2022 daripada

https://ms-my.facebook.com/MuziumPahangOfficial/posts/255725163359000

 

Faces of Pahang. (2019). Sejarah Dan Kebudayaan

Permainan Tradisi Pahang – Hencang Buah Keras: facebook: muat turun pada 4 Januari 2019 daripada

https://www.facebook.com/FOPAHANG/posts/sejarah-dan-kebudayaanpermainan-tradisi-pahang-hencang-buah-kerasselain-daripada/2103705133040623/

Lokasi