PERMAINAN TRADISIONAL LANSARAN MURUT
Permainan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Lansaran berasal daripada perkataan kaum Murut, iaitu lumasar, yang bermaksud melambung atau berayun-ayun. Tradisi ini merupakan warisan nenek-moyang suku kaum Murut yang diamalkan terutama di sekitar daerah Tenom dan Keningau, Sabah. Pada zaman dahulu, tradisi ini berkait rapat dengan upacara pemujaan roh atau semangat tengkorak manusia yang diperolehi ketika berperang atau ngayau. Dalam amalan turun-temurun kaum Murut, mereka percaya upacara ini merupakan suatu tanda penghormatan kepada kuasa makhluk halus.

 

Permainan ini biasanya dilengkapi dengan tarian  berkumpulan.

Fungsi dan Peranan

Permainan Lansaran ini sering dipertonton dan dijadikan pertandingan semasa penganjuran acara berkaitan seni dan budaya seperti Pesta Kalimaran Murut serta Pesta Kaamatan yang dianjurkan setiap tahun.

Busana/ Aksesori

Busana

Pada zaman dahulu, para pemain lelaki Lansaran yang mendiami rumah panjang tersebut akan memakai pakaian tradisional masing-masing. Pemakaian mengikut cara tradisi suku kaum Murut seperti mengenakan baju kulit kayu, cawat dan topi yang juga dikenali sebagai lalandau  dihiasi dengan bulu-bulu burung ‘Tuou’ yang panjang.

 

Penari wanita akan memakai busana tradisional yang berwarna hitam serta dihiasi manik yang berwarna-warni.  

 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Alatan dan kelengkapan Lansaran

Tempat permainan Lansaran berukuran antara lapan (8) hingga 30 kaki persegi dan dapat menampung lebih kurang 30 orang pemain. Lansaran dibina secara bergotong-royong di ruang khas rumah panjang suku kaum Murut. Beberapa batang kayu bulat yang keras dan liat sebesar lengan orang dewasa dikenali sebagai kayu ’Selangan Batu’ yang diikat dengan rotan saga bagi menampung lantai lansaran yang dibina sekaki ke bawah daripada paras lantai rumah secara tergantung. 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara permainan Lansaran

Ketika pemain mula turun ke permukaan Lansaran, dengan sendirinya badan pemain-pemain berkenaan akan melambung-lambung akibat pergerakan turun naik lantainya. Sementara itu, terdapat hadiah atau kinkilat  yang akan digantung di atas kayu siling agar pemain-pemain mula melambungkan diri untuk mendapatkan hadiah tersebut.

 

Semua pemain ini akan membuat bulatan di sekeliling lantai Lansaran sambil melonjak-lonjak dan menghentak kayu di bawah lantai berkenaan.  Pemain lelaki akan melonjak dengan tinggi untuk mencapai kinkilat ataupun uncang hadiah yang digantung sambil bersorak keriangan.   


Kemuncak untuk acara permainan lansaran ini ialah ketika semua pemain berbalas pantun diantara satu sama lain dalam suasana yang amat harmoni dan mesra.

Tokoh dan Pencapaian

i) ENCIK NASIP@ZULANI B AMPIU
ii) PUAN JOYCE ANDOLOK
iii)    PUAN JUDETH JOHN BAPTIST

Sumber Rujukan

  1. i. PUAN JOYCE ANDOLOK
  2. ii. ENCIK NASIP@ZULANI B AMPIU
  3. iii. PUAN JUDETH JOHN BAPTIST
  4. iv. Min, T. M., & On, L. K. (2019). SIGNIFIKAN BUDAYA MENGAYAU DAN RITUAL DALAM PERSEMBAHAN LANSARAN: MENGAYAU SIGNIFICANT HEAD-HUNTING CULTURE AND RITUAL IN LANSARAN PERFORMANCE. Jurnal Gendang Alam (GA), 9.
  5. v. Sukirman, S. N. (2020). ASAL USUL TARIAN TRADISIONAL PELBAGAI BUDAYA DI LUAR DAN DI SABAH: THE VARIOUS TRADITIONAL ORIGINS OF CULTURAL DANCE OUTSIDE AND IN SABAH. Jurnal Gendang Alam (GA), 10(2).
  6. vi. Min, T. M., & On, L. K. (2021). LANSARAN ETNIK MURUT TAHOL: PERMAINAN ATAU TARIAN TRADISIONAL? MURUT TAHOL ETHNIC LANSARAN: TRADITIONAL GAME OR DANCE?. Jurnal Gendang Alam (GA), 11(1).

Lokasi