MUZIK PERGENDANGAN GORDANG SAMBILAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Muzik Gordang Sambilan adalah salah satu kesenian tradisional yang berasal daripada suku Mandailing dari Sumatera, Indonesia. Pada masa kini, ia telah menjadi sebahagian daripada kepelbagaian sub etnik dalam kalangan rakyat Malaysia di negeri Selangor.

       Bentuk Gordang Sambilan menyerupai gendang besar dan panjang. Bentuknya berbeza-beza satu sama lain dan disusun secara rapi. Gordang Sambilan termasuk jenis alat muzik ritmis yang dimainkan dengan cara dipukul atau ditabuh, biasanya diiringi alat muzik lain seperti gong, alat muzik yang ditiup dan sebagainya. Manakala sambilan pula adalah bermaksud sembilan merujuk kepada jumlah unit gendang yang digunakan

      Gordang Sambilan merupakan salah satu cabang kesenian muzik yang lahir dan popular di Negeri Selangor. Lazimnya gordang sambilan dimainkan oleh sepuluh orang. Alat utama adalah sembilan gendang bersaiz besar dan panjang selain alatan sampingan seperti gong, cak lempong, sesayak dan seruling

Fungsi dan Peranan

Persembahan Gordang Sambilan turut dimainkan pada majlis-majlis rasmi seperti majlis kerajaan negeri, adat-istiadat istana, majlis berkabung (kesedihan), majlis kesyukuran serta dalam majlis perkahwinan. Persembahan Gordang Sambilan ini biasanya akan diiringi dengan tarian sehinggalah ia selesai. Gordang Sambilan telah diterima di Selangor sebagai salah satu daripada muzik tradisional yang kaya dan tinggi nilainya

Peralatan/ Bahan-Bahan

Gordang yang bermaksud gendang yang juga dikenali sebagai beduk, terdiri daripada 9 buah gendang panjang dengan diameter yang berbeza dan menghasilkan nada yang berbeza.  Sembilan buah gendang ini berukuran relatif besar dan panjang, yang diperbuat daripada kayu ingul, batang kelapa atau kayu banir.         

          Sembilan gendang tersebut disusun secara bertingkat mulai daripada yang paling kecil sampai kepada yang paling besar. Tubuh gendang dibuat dengan cara melubangi kayu dengan salah satu hujung lubangnya, iaitu bahagian kepalanya ditutup dengan membran yang diperbuat daripada kulit lembu yang dikeringkan. Kulit lembu yang disebut sebagai jangat ini telah diregangkan dengan rotan dan dipaku, yang sekali gus berfungsi sebagai pengikatnya.

         Muzik pergendangan ini biasanya dimainkan dengan pemukul kayu oleh 5, 6 atau 7 orang dengan nada gendang yang paling kecil iaitu nombor 1, 2 sebagai taba-taba, diikuti gendang nombor 3 sebagai tepe-tepe, kemudian gendang nombor 4 sebagai kudong-kudong, lalu gendang nombor 5 sebagai kudong-kudong nabalik, seterusnya gendang nombor 6 sebagai pasilion dan akhirnya gendang nombor 7, 8, 9 sebagai jangat.


Irama pukulan Gordang Sambilan

          Seperti muzik tradisional yang lain, irama yang dihasilkan oleh Gordang Sambilan adalah berasaskan suara alam. Irama Gondang Tor-tor Sarama atau dikenali sebagai irama pukulan dimainkan ketika menyambut tetamu, memberikan ulos atau sambutan.

          Irama Gondang Aek Magodang amat sesuai dimainkan semasa mengiringi para pembesar kerana irama ini menyerupai suara-suara alam. Irama Gondang Moncak Silat berfungsi sebagai pembakar semangat pahlawan, dan  boleh menjadikan pendengarnya lebih bersemangat apabila hendak mula berperang atau mengadakan pertandingan.

         Secara umumnya, setiap irama yang dihasilkan merupakan irama yang dipilih oleh pemain sehinggalah pemukul gendang memberikan isyarat untuk berhenti.

Tokoh dan Pencapaian

En. Roslan Bin Ahmad

Sumber Rujukan

Sumber: Temu Bual dengan Encik Roslan bin Ahmad pada 27/9/2023 bertempat di Homestay Bourgenvilla Gombak Selangor       

 

Lokasi