MUZIK TRADISIONAL KOMPANG JAWA
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Kompang Jawa yang juga dikenali sebagai Kompang Tiga adalah salah satu muzik tradisi masyarakat Melayu berketurunan Jawa yang berasaskan paluan kompang. Terdapat perbezaan antara kompang ini dengan kompang lain daripada aspek alatan, paluan dan lagu. Asalnya kompang ini wujud pada zaman Wali Sembilan di Pulau Jawa, yang berfungsi sebagai salah satu cara berdakwah untuk menarik minat masyarakat bagi mendalami agama Islam. Muzik ini telah dibawa oleh pedagang dari Kepulauan Jawa ke negeri Selangor pada awal tahun 1900. Ia dimainkan di masjid, surau, majlis-majlis keramaian seperti khatam al-Quran, berkhatan, perkahwinan, hari kebesaran serta pesta-pesta yang diadakan secara besar-besaran. Antara lagu-lagu yang dimainkan adalah seperti Assolatu, Bissarri, Ya-Solatun dan Sailillah yang liriknya terdapat di dalam Kitab Berzanji.

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, persembahan Kompang Jawa masih dipersembahkan dalam acara keramaian melibatkan rakyat seperti kenduri kahwin, dan juga majlis-majlis melibatkan jemputan kenamaan di Selangor.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Proses dan peralatan untuk membuat Kompang Jawa

 

Peralatan yang diperlukan untuk membuat Kompang Jawa adalah kayu halban, kulit lembu dan kambing, paku payung dan kain baldu.

 

·         Kayu halban dipilih kerana sifatnya yang tidak mudah reput. Kayu halban akan dipotong bulat dan kemudiannya akan melalui proses melarik mengikut saiz yang ditetapkan. Kayu halban yang telah siap diproses dipanggil balo kompang atau bingkainya.

·         Kulit lembu dan kambing yang telah melalui proses pengeringan akan dibawa ke satu sudut dan bulu yang ada di atas kulit lembu dan kulit kambing tersebut akan dicukur bagi melicinkan permukaannya.

 ·         Kulit lembu dan kambing yang sudah dicukur, akan ditekapkan dan ditegangkan di atas balo kompang. Setelah kulit lembu dan kambing ditegangkan, ia akan dibawa untuk dijemur di bawah cahaya matahari sekurang-kurangnya lapan jam. 

·         Permukaan kulit lembu dan kambing akan sekali lagi digilap dengan menggunakan kertas pasir. Setelah itu, paku akan disemat untuk memastikan kulit tersebut sentiasa berada dalam keadaan tegang.

Tokoh dan Pencapaian

Johari Bin Mohd Tamami

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan: Siri Penyelidikan Seni Budaya Selangor Darul Ehsan Kompang Jawa (2010) Penulis Tuan Syed Mahadzir Syed Ibrahim dan Awaluddin bin Md Jahid – Terbitan JKKN 2010

ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh): Temu bual bersama dengan Encik Mohd Lazim bin Bangi telah dilaksanakan pada 25/9/2023 bertempat di Jalan Belimbing Kg Bukit Kapar Klang.


Sumber: Rakaman Video pada 25/9/2023 bertempat di Jeti Nelayan Morib Banting Selangor


Sumber: Temu Bual bersama Encik Johari bin Mohd Tamami pada 25/9/2023 bertempat di Bengkel Kompang, Jalan Belimbing , Kg Bukit Kapar Klang.


Lokasi