Muzik
tradisional Caklempong dikatakan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh masyarakat
Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia yang menetap di Negeri Sembilan
seawal kurun ke-14. Masyarakat Minangkabau memanggil Caklempong sebagai
Taklempong.
Caklempong
ialah alat muzik tradisional dari keluarga idiofon yang menggunakan skel
diatonik. Muzik Caklempong memainkan
peranan penting sebagai muzik rakyat dalam kalangan masyarakat Minangkabau.
'Cak' bermaksud bunyi paluan gendang. Manakala 'Lempong' bermaksud bunyi paluan
bonang.
Dalam amalan tradisi zaman dahulu, selain daripada
bertujuan sebagai hiburan acara keramaian, Caklempong turut memainkan peranan
penting dalam kehidupan seharian masyarakat Minang seperti menyatupadukan
penduduk setempat.
Pada masa dahulu,
terdapat lima nada Caklempong iaitu do, re, mi, so dan la. Walau bagaimanapun,
bermula tahun 1970, permainan muzik Caklempong di Negeri Sembilan dikembangkan
menjadi enam nada iaitu, do, re, mi, fa, so , la, ti, dan do.
Persembahan Caklempong kini sering dipersembah dalam
majlis dan acara rasmi kerajaan dan juga dalam majlis-majlis tertentu yang
melibatkan keramaian rakyat.
Semoga keunikan Caklempong yang juga merupakan muzik
tradisional Negeri Sembilan ini akan terus kekal sebagai warisan seni budaya
Negeri Sembilan dan terkenal di peringkat antarabangsa.
Ensembel Caklempong terdiri daripada alat-alat berikut:
• Gereteh
Terdiri daripada 24 biji maksimum gong kecil yang
dipanggil bonang. Alat ini disusun mendatar di atas tepak. Gereteh berperanan
memainkan melodi I dan II.
• Tingkah
Terdiri daripada 12 biji bonang yang disusun mendatar di
atas tepak. Tingkah berperanan memainkan kod.
• Sauwa/sawo
Terdiri daripada 12 biji bonang yang disusun mendatar di
atas tepak. Saua memainkan ostinato melodi.
· Canang
Terdiri daripada 12 biji bonang yang berperanan sebagai
bass.
Bonang gereteh, tingkah, saua dan canang diperbuat
daripada tembaga. Alat-alat ini adalah dalam klasifikasi idiofon yang diketuk
dengan pemukul kayu yang berbalut. Antara alat muzik tambahan yang sering
dimainkan bersama Caklempong ialah gendang, gong, serunai dan bangsi.
Tokoh untuk kesenian Caklempong ini adalah Encik
Yuzaimuddin bin Md Yusof. Beliau merupakan penerima Anugerah Seni Budaya bagi
tahun 2023 daripada JKKN Negeri Sembilan dan dianugerahkan Tokoh Caklempong
bagi tahun 2015 oleh Akademi Seni Budaya
dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
i. Bahan Bacaan
ii. Tokoh : Encik Yuzaimuddin bin Md Yusof