Berendoi adalah temasya atau adat masyarakat Melayu bagi menyambut kelahiran bayi. Dalam erti kata lain, berendoi merupakan upacara bercukur rambut atau jambul bayi yang berusia sekurang-kurangnya tujuh hari. Berendoi turut dikenali sebagai aktiviti mengayunkan buaian (adat naik buai), dilakukan setelah bayi dibawa mengelilingi kumpulan marhaban, keluarga dan tetamu untuk dicukur rambutnya. Ketika berendoi, kumpulan marhaban akan menyampaikan maulid atau maulud, iaitu nyanyian-nyanyian berunsur keagamaan. Di Pulau Pinang, temasya ini turut dikenali sebagai Maulud Jawi.
Kebiasaannya, kumpulan endoi terdiri daripada wanita-wanita kumpulan marhaban dan qasidah, yang akan berselawat dengan menyampaikan lirik-lirik lagu memuji Nabi Muhammad SAW. Bait-bait lagu dalam berendoi juga berupa nasihat kepada ibu dan anak agar hidup dengan amalan murni serta mematuhi syariat agama sepanjang kehidupan. Kumpulan nyanyian ini terdiri daripada sekurang-kurangnya empat orang wanita atau lelaki. Di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Kumpulan Naim Hawa terkenal dalam mempersembahkan lagu-lagu berendoi termasuk lagu-lagu aktiviti keagamaan lain iaitu Marhaban dan Berzanji.
“Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.”
Dalam majlis berendoi ini, selain daripada upacara cukur jambul, tahnik atau membelah mulut akan dilakukan oleh bapa atau ahli agama (ustaz) yang diundang khas ke majlis tersebut. Bermaksud, selain daripada temasya, sunnah yang dicontohi daripada Rasulullah S.A.W turut dilakukan, sebagai tanda mensyukuri rezeki kelahiran anak.
Majlis berendoi ini terkenal dalam kalangan masyarakat utara. Selain Pulau Pinang, Kedah dan Perlis memperlihatkan adat yang sama. Sesetengah kepercayaan dahulu-kala menyebut bahawa majlis endoi ini merupakan majlis nazar ibu bapa kerana memiliki anak. Ada juga mengatakan endoi merupakan majlis membayar nazar setelah mendapat anak lelaki atau anak perempuan, seperti dihasratkan. Pun begitu, secara asasnya, endoi atau berendoi sangat akrab dengan didikan Islam, iaitu menyampaikan pesan amanat, pedoman dan memuji-muji Tuhan.
• Upacara cukur rambut atau jambul bagi bayi
• Berselawat menyambut kelahiran dengan hasrat agar bayi yang dilahirkan membesar menjadi insan yang baik
• Upacara tahnik atau membelah mulut bayi (sunah Nabi Muhammad S.A.W)
• Kaum lelaki selalunya memakai baju Melayu, bersongkok atau berkopiah putih, manakala kaum wanita memakai baju kurung.
• Kaum lelaki akan memulakan dahulu majlis dengan alunan Maulud, kemudian membelah mulut bayi. Seterusnya, majlis akan diteruskan dengan qasidah atau berzanji oleh kaum wanita kumpulan marhaban.
• Sekiranya golongan wanita sahaja yang hadir, belah mulut akan dilakukan seorang ustaz, bapa atau datuk kepada bayi, dan seterusnya majlis disambung dengan dendangan qasidah dan berzanji.
• Pada zaman dahulu, buaian akan digantung di tengah rumah.
• Satu jag air dan satu tepak sirih diletakkan berdekatan buaian bayi.
• Manis-manisan atau kurma untuk membelah mulut bayi
• Daun sirih, pinang dan kapur untuk kumpulan endoi/marhaban.
• Bunga telur tanda terima kasih daripada tuan rumah, kepada kumulan marhaban.
• Mengayun buaian bayi diiringi nyanyian zikir dan memuji Nabi Muhammad SAW, serta pantun atau syair nasihat.
• Tahnik atau belah mulut dilakukan, sebelum ibu dan ayah bayi membawanya mengelilingi para jemputan atau para pendendang marhaban, untuk mencukur jambul atau rambut bayi.
-
i. Bahan Bacaan:
https://www.researchgate.net/figure/Malay-custom-of-adat-naik-buai-berendoi-cukur-jambul-of-her-son-and-daughter-in-1986_fig1_363877278
Sakinah Abu Bakar. 2016. Maulud Jawi Sebagai Tradisi Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
https://www.scribd.com/doc/236454954/Adat-Berendoi
i. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md Salleh bin Yaapar
Dr. Sakinah Abu Bakar