Ghazal Party adalah gabungan persembahan muzik, nyanyian, tarian dan lawak jenaka yang mendapat pengaruh dari Timur Tengah. Lagu-lagunya berunsurkan irama padang pasir dengan liriknya dalam bahasa Arab atau Melayu. Perkataan ‘Party’ bermaksud ‘kemeriahan persembahan ghazal’. Di Pulau Pinang, muzik ghazal telah wujud selewat-lewatnya pada tahun 1870 berdasarkan kepada catatan Munsyi Ibrahim dalam karyanya Kisah Pelayaran Ibrahim Munsyi (1980: 114). Di dalam satu persinggahan di rumah kepunyaan Tuan Haji Muhammad Nor, Munsyi Ibrahim melihat masyarakat India Peranakan bersuka ria. Mereka bernyanyi, memukul dol iaitu sejenis gendang dan menggesek biola. Lagu-lagu yang dinyanyikan pula adalah lagu-lagu Hindustan.
Kesenian ini berkembang di negeri-negeri utara Semenanjung iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Ghazal Party sering dipersembahkan dalam majlis-majlis perkahwinan di kampung dan dalam majlis-majlis rasmi di bandar. Dalam majlis perkahwinan, persembahan bermula dari awal malam hingga ke tengah malam dan ada ketika sehingga ke awal pagi. Persembahan di majlis perkahwinan diadakan di dalam balai jamuan yang menghadap anjung rumah pengantin supaya keluarga pengantin dan tetamu dapat melihat persembahan ini.
Perbezaan bagi ghazal biasa dan ghazal party ialah, ghazal biasa membariskan 8 hingga 12 orang pemuzik, bergantung pada peralatan muzik yang ada, iaitu akordion, dua buah biola, gambus, seruling, gitar bass, dram, rebana, bongo, tamborin, dan marakas. Penyanyi-penyanyi pula mempunyai latar belakang pendidikan bahasa Arab; ada yang belajar di madrasah atau sekolah agama rakyat. Lagu-lagunya ialah lagu-lagu Arab berirama masri dan sika yang berasal dari Mesir. Bagi ghazal party, alat muziknya sama, cumalah penari wanita akan bergelek mengikut irama lagu Hindustan serta lagu-lagu Arab yang dimainkan para pemuzik.
Pada peringkat awal ketika ghazal party ditubuhkan, para penari ialah lelaki yang berpakaian wanita memakai tudung, kain batik dan baju kurung berserta solekan yang nipis, kerana wanita tidak dibenarkan menjadi penari. Pada tahun 1950-an muncul penari-penari dalam golongan pondan atau ‘mak nyah’. Melihat kepada itulah kemudiannya wanita yang memainkan peranan membawa watak asli sebagai wanita. Satu lagi komponen dalam Ghazal Party ialah lawak jenaka yang berfungsi mengisi masa rehat para pemuzik dan penyanyi. Dalam sesuatu persembahan, mereka berehat dua hingga tiga kali dan pada waktu inilah ruang diisi oleh pelawak yang membawakan tema berkisar hal-hal semasa.
• Berfungsi mengisi masa rehat para pemuzik dan penyanyi
• Sebagai alat berjenaka
• Pada peringkat awal, penarinya ialah lelaki yang berpakaian wanita memakai tudung, kain batik dan baju kurung berserta solekan yang nipis.
• Pada tahun 1950-an muncul penari-penari dalam golongan pondan atau ‘mak nyah’.
• Akhirnya wanita mengambil alih peranan sebagai penari wanita.
• Akordion
• Biola
• Seruling
• Gitar bass
• Dram
• Rebana
• Bongo
• Marakas
• Terdapat 8 hingga 12 orang pemuzik, bergantung pada peralatan muzik yang ada, iaitu akordion, dua buah biola, gambus, seruling, gitar bass, drum, rebana, bongo, tamborin, dan marakas. Penyanyi-penyanyi pula mempunyai latar belakang pendidikan bahasa Arab; ada yang belajar di madrasah atau sekolah agama rakyat. Lagu-lagunya ialah lagu-lagu Arab berirama masri dan sika yang berasal dari Mesir.
-
i. Bahan Bacaan:
https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/09/80509/evolusi-ghazal-parti
2006. Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas. Pulau Pinang: JKKN Pulau Pinang.
i. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz