ALAT MUZIK KULINTANGAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Kulintangan merupakan alat muzik tradisional yang sangat berakar dalam budaya masyarakat etnik di negeri Sabah kerana alat muzik ini diwarisi oleh hampir setiap kumpulan etnik. Ia terdiri daripada satu set gong kecil yang disusun mendatar di atas rangka kayu dan biasanya dimainkan secara berkumpulan. Kulintangan biasanya mempunyai 8 hingga 9 buah gong-gong kecil yang di susun sebaris dan apabila dimainkan ia akan mengeluarkan bunyi yang berlainan antara satu sama lain dengan menggunakan dua alat pemukul kayu yang kecil.


Terdapat beberapa perbezaan dari segi jumlah kulintangan dibeberapa daerah, contohnya seperti daerah Telupid dan Beluran iaitu suku kaum Dusun Labuk jumlah kulintangan yang biasa digunakan adalah sebanyak 9 manakala etnik dari daerah lain biasanya dalam 6 hingga 7 kulintangan saja. Selain itu, kulintangan yang dimainkan juga mempunyai perbezaan dari segi alat muzik iringan tradisional antara daerah, contohnya di sebelah Pantai Barat biasanya akan hanya menggunakan kulintangan sahaja tanpa sebarang alat muzik iringan tradisional, manakala di Pantai Timur seperti Telupid dan Beluran, alat muzik kulintangan akan diiringi dengan paluan 3 jenis gong yang berbeza saiz. Begitu juga dengan masyarakat etnik Bajau dan Suluk di sekitar daerah Semporna, Tawau dan Lahad Datu, Kulintangan biasanya diiringi oleh alat muzik tradisional Gong Ibu dan Gong Anak, serta Tambul (gendang).

Fungsi dan Peranan

Kulintangan sangat siginifikan sebagai alat muzik tradisional yang memainkan peranan penting dalam upacara adat dan majlis perayaan serta keramaian.Bagi sesetengah etnik seperti Bajau Laut, Kulintangan sangat signifikan sebagai iringan dalam upacara ritual yang melibatkan kepercayaan terhadap alam spiritual. Bunyi yang dihasilkan oleh Kulintangan dipercayai mampu berkomunikasi dengan roh-roh nenek moyang, selain mencipta suasana sakral yang diperlukan dalam upacara.


Selain daripada upacara ritual, Kulintangan juga sering digunakan sebagai iringan muzik dalam acara keramaian, khususnya dalam majlis perkahwinan dan menyambut tetamu kerhormat. Dalam majlis perkahwinan, bunyi merdu dan berirama dari Kulintangan mencipta suasana gembira dan meriah yang melambangkan kebahagiaan dan restu kepada pasangan pengantin. Kulintangan menjadi simbol penyatuan dan kebahagiaan keluarga serta menjadi alat yang memperkuatkan ikatan dalam komuniti. Untuk menyambut tetamu-tetamu kehormat, paluan Kulintangan memberikan rasa hormat dan pengiktirafan. Tetamu yang dihormati, seperti ketua masyarakat atau pembesar, disambut dengan bunyi yang bertenaga dan teratur, yang menunjukkan rasa bangga serta penghargaan terhadap kehadiran mereka.


Busana/ Aksesori

Lazimnya, busana pemain alat muzik Kulintangan adalah berdasarkan kesesuaian majlis yang diraikan ataupun mengikut ras etnik masing-masing. Tiada busana khusus yang dipakai untuk memainkan alat muzik ini dan ia bergantung kepada budaya etnik masing-masing serta tujuan persembahannya.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Kulintangan tradisional lazimnya diperbuat daripada logam seperti besi atau tembaga yang dihasilkan secara manual oleh tukang-tukang mahir tempatan. Namun, perubahan masa telah membawa kepada penggunaan bahan yang lebih mudah didapati dan mampu milik, seperti zink. Zink dipilih kerana ia lebih mudah dibentuk dan harganya juga lebih murah, menjadikannya alternatif yang popular dalam pembuatan Kulintangan moden.


Di Sabah, kawasan daerah Kudat terkenal sebagai pusat pembuatan gong termasuk Kulintangan. Di sana, kilang dan bengkel khas menghasilkan alat muzik ini untuk memenuhi permintaan di seluruh negeri. Gong-gong kecil yang membentuk Kulintangan disusun di atas sebuah rangka kayu, dan setiap gong diukur dengan teliti agar menghasilkan nada yang sempurna apabila diketuk. Pembuatan Kulintangan memerlukan kemahiran tinggi dalam memilih dan membentuk bahan supaya menghasilkan bunyi yang merdu dan sesuai untuk persembahan.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Kulintanganyang terdiri daripada beberapa gong kecil yang disusun mengikut nada tertentu seperti;

1. Persiapan Pemukul: Kulintangan dimainkan menggunakan dua pemukul yang biasanya diperbuat daripada kayu yang tidak terlalu keras agar bunyi yang dihasilkan tidak terlalu membingitkan. Pemukul ini dipegang di kedua-dua tangan pemain untuk memukul Kulintangan secara bergilir-gilir atau serentak.


2. Susunan dan Kedudukan Kulintangan: Kulintangan yang disusun secara mendatar adalah mengikut ketinggian nada di mana, nada rendah di sebelah kiri dan nada tinggi di sebelah kanan (dari perspektif pemain). Pemain biasanya duduk di hadapan kulintangan untuk mencapai kesemua gong dengan mudah.


3. Teknik Memukul: Kulintangan dipukul di bahagian tengah pada lekukannya dengan kekuatan yang sesuai untuk menghasilkan bunyi yang jelas dan merdu. Pukulan perlu dilakukan dengan tepat untuk memastikan nada yang dihasilkan stabil dan tidak bergema secara berlebihan. 


4. Mengikuti Pola Ritma: Pola ritma dalam permainan kulintangan biasanya berulang, dan pemain akan mengikut pola ini untuk menghasilkan melodi yang berterusan. Pola pukulan boleh berubah mengikut jenis lagu atau suasana persembahan.


5. Improviasi dalam Permainan: Dalam beberapa lagu atau persembahan, pemain boleh melakukan improvisasi kecil untuk menambah keunikan pada melodi. Namun, pemain perlu menjaga pola ritma asas dan memastikan tidak mengganggu struktur lagu yang sedang dimainkan.


6. Ensembel gabungan bersama alat muzik tradisional lain: Kulintangan sering dimainkan bersama instrumen lain seperti gong besar (gong ibu), gong kecil (gong anak), tambul (gendang), dan babandil. Pemain kulintangan perlu selaras dengan instrumen lain, memastikan pola ritma dan tempo sesuai untuk menghasilkan muzik yang harmoni dan menyeluruh.


Tokoh dan Pencapaian

Sairullah bin Ibrahim. Kampung Tampi-Tampi, 91308 Semporna, Sabah. 18 Oktober 2024.

Sumber Rujukan

Md. Shafiee Abd. Rahim & Ab. Nasir Roslan. (2012). Warisan Budaya Yang Tidak Ketara. Dalam, Md. Shafiee Abd. Rahim, Sabihah Osman & Ramzah Dambul (Eds). Bajau Pantai Timur. Institut Terjemahan Buku Malaysia.


Miller, T., & Williams, S. (2011). The Garland Handbook of Southeast Asian Music. Routledge.


Performing Arts and the Royal Courts of Southeast Asia, 2. (2024). BRILL.


Lokasi
Pautan Google Maps :