Wayang kulit adalah satu bentuk teater tradisional yang
memaparkan permainan cahaya dan bayang pada permukaan kelir. Di Malaysia, gaya wayang kulit yang paling
popular ialah Wayang Kulit Kelantan, yang diamalkan terutamanya di daerah timur
laut Kelantan serta di wilayah Patani di
Selatan Thailand. Watak-watak wayang kulit ini dipersembahkan dengan
menggunakan loghat Kelantan. Patung-patung wayang pula diukir di atas kulit
(belulang) lembu.
Persembahan Wayang Kulit Kelantan diketuai oleh Tok
Dalang yang bertanggungjawab memainkan patung-patung wayang kulit dengan cara
menggerak-gerakkannya di permukaan kelir yang disuluh cahaya. Kehebatan Tok
Dalang terletak pada kemahirannya menuturkan pelbagai gaya dan nada suara
mengikut watak-watak yang ada dalam persembahannya.
Umumnya, cerita yang dipersembahkan diadaptasi daripada
Epik Ramayana dan cerita-cerita penglipur lara tempatan. Watak-watak popular
dalam ceritanya ialah Seri Rama, Siti Dewi, Wak Long, Pak Dogol dan Hanuman.
Persembahan Wayang Kulit Kelantan merupakan salah satu
kesenian yang mempunyai keunikannya tersendiri. Berbanding dengan persembahan
wayang kulit di luar negeri Kelantan, ia memiliki identiti yang istimewa dan
mencipta reputasi yang masyhur sebagai sebuah kesenian tradisional negara.
Pada masa kini, persembahan Wayang Kulit Kelantan
sering dipersembah dalam majlis-majlis keramaian sebagai hiburan kepada
masyarakat setempat dan juga di luar Kelantan.
Persembahan Tok Dalang dibantu oleh tujuh hingga lapan orang
pemain muzik. Iringan muzik Wayang Kulit biasanya terdiri daripada gendang, geduk,
gedombak, gong, canang, kesi dan serunai sebagai alat melodi tunggal.
Kelengkapan persembahan yang digunakan adalah seperti:
1) Kelir atau kain layar putih
2) Patung wayang kulit dengan watak-watak seperti:
·
Seri Rama
iaitu seorang raja yang baik.
·
Siti Dewi
adalah isteri kepada Seri Rama.
·
Laksamana
adalah watak adinda kepada Seri Rama.
·
Rawana
(Maharajawana) adalah watak jahat dan musuh ketat kepada Seri Rama.
·
Hanuman
Kera Putih adalah watak anak kepada Seri Rama dan Siti Dewi.
·
Pak
Dogol, Said dan Wak Yoh adalah watak pengasuh kepada Seri Rama.
·
Wak
Long adalah watak teman rapat kepada Pak Dogol.
· Samad adalah watak penghibur raja.
· Pohon
beringin adalah sebagai simbol pembuka dan penutup persembahan.
Persembahan Wayang Kulit mengabungkan dua elemen yang sangat penting iaitu Pendalangan dan tatacara muzik. Persembahan Wayang Kulit dapat dikasifikasikan kepada empat peringkat iaitu:
Peringkat kedua: Penetapan peralatan muzik dan bilangan panjak (pemain)
Peringkat ketiga: Prosedur Perdalangan yang mewajibkan dua orang yang digelar Dalang Muda (Dewa Panah dan Berarak Sri Rama) dan Dalang Tua atau Tok Dalang.
Peringkat keempat: Pemahaman Watak atau Gambar Wayang
Tatacara
Persembahan melibatkan: Bertabuh, persembahan Dalang Muda dan persembahan
Dalang Tua atau dikenali sebagai Tok Dalang.
Mohammad
Hafiza bin Che Ya telah mencipta dua
belas patung watak wayang kulit dan mempunyai sebuah bengkel penghasilan patung
watak wayang kulit di Kampung Lepah, Pasir Putih. Sehingga kini beliau telah
berjaya menghasilkan lebih 200 ukiran patung untuk persembahan, sama ada untuk
dijual atau sebagai cenderamata.
i. Bahan Bacaan:
- Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan (Muhammad Dain bin Othman), 2011.
- Siri Mengenal Budaya 1/2023: Wayang Kulit
ii. Penggiat: Mohammad Hafiza Bin Che Ya