TARIAN RONGBANG CHETTI
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Etnik Chetti adalah golongan minoriti yang wujud hasil daripada perkahwinan campur antara pedagang India dengan masyarakat tempatan. Etnik ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi (Hashim et. al, 2017).Penempatan etnik ini adalah di Perkampungan Chetti di Kampung Gajah Behrang, Melaka. Etnik Chetti turut mengamalkan dan berasimilasi dengan budaya tempatan, antaranya daripada segi pemakaian seperti pakaian kebaya, masakan Melayu dan kesenian tarian joget.

Tarian Chetti yang popular adalah tarian joget dengan iringan lagu-lagu yang bersesuaian dan menggunakan dialek bahasa Chetti, antaranya seperti Joget Ronggeng. Tarian Rongbang Chetti adalah tarian joget yang berasaskan tarian Joget Ronggeng Chetti yang telah diolah menjadi satu karya kreasi baharu yang beridentitikan etnik Chetti di Melaka. Rongbang Chetti bermaksud Ronggeng Bangsa Chetti. Tarian ini diilhamkan daripada kemeriahan suasana kehidupan kaum Chetti Melaka. Gerak tari joget yang sangat digemari oleh etnik ini telah diangkat sebagai gerak tari dalam Rongbang Chetti ini

Fungsi dan Peranan

Tarian Rongbang Chetti adalah sebagai pelantar dalam mendidik masyarakat tempatan menghargai warisan budaya etnik Chetti ini supaya tidak hilang ditelan zaman. Persembahan tarian  ini sering mengiringi persembahan kesenian dalam majlis-majlis keramaian. 

Busana/ Aksesori

Busana yang digunakan adalah pakaian tradisi atau pakaian adat kaum lelaki Chetti di Melaka iaitu baju potongan kot berkolar tinggi atau disebut juga sebagai kolah Nehru. Baju ini dipadankan dengan kain pelikat dengan ikat gombang seperti yang dipakai untuk kegunaan harian. Kelengkapan busana yang selainnya ialah kain selempang yang disangkut dibahu dan di songkok atau blangkon Jawa. Manakala bagi kaum wanita Chetti, mereka selalunya memakai kebaya pendek. Selain daripada kebaya sulam, mereka juga gemar memakai baju kebaya pendek tanpa sulam dengan fabrik berbunga-bunga sebagai pakaian untuk aktiviti seharian. 

Tokoh dan Pencapaian

S Kanagalingam Pillay merupakan antara tokoh etnik Chetti di Melaka. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Sri Poyatha Venayagar Moorthy Temple & Melaka Chetti Community. Beliau berpengalaman luas dalam bidang seni dan budaya masyarakat Chetti. 

Sumber Rujukan

      i.        Bahan Bacaan

Hashim, S. N. I., Ab Hamid, N., Rawi Nordin, N. R. M., & Fadzil, M. F. M. (2017, November). Kelangsungan Budaya Masyarakat Chetti Melaka Era Globalisasi. In PROCEEDING OF 2ND INTERNATIONAL ISLAMIC HERITAGE CONFERENCE (ISHEC2017) (p. 209).

Katalog Artis Budaya Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Melaka. (2020).

    ii.        Tokoh 

S Kanagalingam Pillay. (2023). Ahli Jawatankuasa Sri Poyatha Venayagar Moorthy Temple & Melaka Chetty Community. Temubual pada 19 September 2023.

Lokasi