KETUPAT SOTONG
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Ketupat Sotong atau pun sotong sumbat juga dikenali dengan nama ‘tuppat sotong’ atau ‘sotong sumbak’ mengikut dialek tempatan. Makanan tradisi ini merupakan antara hidangan yang sangat terkenal di Kelantan dan Terengganu, dengan dua versi yang sangat berbeza, namun dengan keenakan yang sama mengikut citarasa masing-masing. Ketupat sotong, atau nama lainnya sotong bersumbat pulut, dimasak dengan cara merebusnya dalam kuah santan. Ia adalah hidangan tradisional yang menggunakan sotong dan beras pulut sebagai bahan utamanya. Beras pulut perlu dimasak terlebih dahulu sebelum diisikan di dalam sotong berkenaan. Ketupat Sotong merupakan hidangan asli masyarakat Melayu di pantai timur, yang tidak terdapat di negeri-negeri pantai barat yang lain.

Pada asalnya, ketupat sotong adalah sajian yang sering menjadi pilihan para penduduk di perkampungan nelayan di perairan Terengganu dan Kelantan. Apabila musim mencandat sotong tiba, sotong boleh didapati dengan begitu banyak sekali di laut Terengganu dan Kelantan. Malah, para nelayan juga menghadapi masalah lambakan sotong yang terlalu banyak dan tidak habis untuk dijual. Untuk mengelakkan lambakan sotong ini menjadi busuk dan dibuang begitu sahaja, masyarakat nelayan ini telah mencipta suatu hidangan berasaskan sotong dan beras pulut yang direbus bersama santan.

Perbezaan antara versi Ketupat Sotong di Kelantan dan Terengganu ialah penggunaan gula melaka atau nise di dalam kuah santan bagi ketupat sotong versi Kelantan. Manakala, bagi ketupat sotong versi Terengganu, kuahnya hanyalah santan yang telah diperasakan dengan sedikit garam, gula, bawang dan rempah ratus lain iaitu halba dan halia. Pada masa kini, Ketupat Sotong boleh dinikmati pada bila-bila masa sahaja terutamanya ketika hari perayaan Aidilfitri di negeri Terengganu dan Kelantan.

 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahan:

·         2 ekor sotong

·         2 biji bawang merah

·         1 inci halia

·         1 sudu kecil halba

·         2 helai daun pandan

·         1/2 cawan santan

·         Segenggam pulut (untuk 2 ekor sotong). Rendam pulut selama setengah jam.

·         1 cawan air

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara penyediaan

1.    Sotong dibersihkan. Kulit boleh dibuang tetapi kuah akan nampak lebih cantik jika kulit tidaj dibuang.

2.    Bawang dan halia dihiris. Daun pandan disimpul.

3.    Campur santan sedikit dengan pulut.

4.    Masukkan pulut dalam sotong. Masukkan separuh saja sebab lidi akan dicucuk di bahagian depan kepala sotong supaya tidak terkeluar. Jangan masukkan terlalu banyak pulut untuk elak lambat masak.

5.    Masukkan ke semua bahan-bahan tadi.

6.    Masak sehingga pulut cukup masak. Masukkan garam. Jika mahukan rasa manis masukkan gula atau gula keret. Masak sehingga kuah pekat. Siap untuk dihidang.

Sumber Rujukan

      i.        Bahan Bacaan

    ii.        Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Puan Junaidah binti Tahar @Mohd Noor

Nama kedai: Warung Ketupat Sutong

Alamat: T145, Kampung Mengabang Telipot, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu.

No. Tel: 017-901 8103

Nama kedai: Restoran Lempeng Rusila

Alamat: Lot 414 Kampung Rusila, 21080 Marang, Terengganu Darul Iman.

Pemilik: Puan Khatijah Mohammed

No. Tel: 013-928 3414

Lokasi