NASI DAGANG
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Pada masa dahulu di Pantai Timur, ramai nelayan membawa bekal Nasi Dagang untuk turun ke laut kerana ia mengenyangkan, tahan lama dan enak dimakan pada bila-bila masa. Nasi yang dimasak dengan santan dan dimakan dengan kuah gulai ikan ini bertujuan untuk memberi tenaga kepada nelayan yang bekerja di bawah terik matahari dalam jangka masa yang panjang.

Nasi Dagang adalah hidangan tempatan istimewa yang terkenal di Terengganu. Sejak tahun 2009, Nasi Dagang telah tersenarai sebagai salah satu daripada hidangan tradisional yang menjadi makanan warisan kebangsaan. Kebiasaannya, Nasi Dagang diperbuat daripada campuran beras biasa dan beras pulut serta dimasak bersama santan kelapa (dikukus). Ia dihidangkan bersama kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ialah ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar dan dipotong-potong. Selain itu, acar timun juga disediakan. Pada hari biasa, Nasi Dagang Terengganu menjadi hidangan sarapan pagi bagi masyarakat Terengganu dan juga hidangan istimewa bagi acara-acara tertentu. Mengikut cara tradisi, Nasi Dagang dibungkus menggunakan daun pisang yang dibentuk seperti kon dan diikat dengan lidi. 

Fungsi dan Peranan

Hidangan harian / sebagai makanan rutin bagi rakyat terengganu.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahan memasak nasi: 

·         2 pot beras

·         2 sudu beras pulut

·         Halia (dihiris halus)

·         Bawang merah (dihiris halus)

·         1/2 kotak santan

·         Garam dan gula

·         2 sudu halba


Bahan-bahan gulai ikan:

·         Ikan aye / tongkol

·         11 ulas bawang merah

·         1 labu bawang putih

·         1 inci halia

·         1 genggam cili kering (direbus)

·         1 paket kecil rempah kari ikan

·         1 paket kecil rempah gulai bunga ros

·         2 kotak kecil santan

·         Air secukupnya

·         Asam keping

·         Gula nisan / kerek / melaka

·         Garam

·         Cili api merah dan hijau


Bahan-bahan acar timun:

·         Timun

·         Lobak

·         2 biji bawang merah

·         1 biji lada besar

·         3 sudu besar gula

·         1 sudu kecil garam

·       3 sudu besar cuka

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara memasak Nasi Dagang:

1.    Kukus beras dan beras pulut sehingga separuh masak.

2.    Letakkan beras dan beras kukus yang sudah dikukus separuh masak di dalam besen besar. Ketepikan.

3.    Di dalam mangkuk lain, masukkan santan, halia, bawang, halba, gula dan garam. Kacau sebati.

4.     Masukkan ke dalam besen tadi dan gaul sebati. Gaul perlahan untuk elakkan nasi patah.

5.     Kukus lagi sekali hingga masak.

Letakkan di dalam bekas yang dialas daun pisang, tekan sedikit biar mampat. Tutup nasi dengan daun pisang dan sedia untuk dihidang.


Cara membuat gulai ikan:

1.    Rebus ikan sehingga tenggelam ikan bersama asam keping dan garam.

2.    Rebus sehingga air sedikit kering dengan api perlahan.

3.    Kisar bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering.

4.    Panaskan minyak agak banyak dan tumiskan bahan kisar, rempah-rempah, sedikit air bersama gula. Tumis sehingga pecah minyak dan kering.

5.    Ulang tumis ini sebanyak 3 kali dan ketepikan.

6.    Dalam periuk lain, masukkan santan dan sedikit air. Kemudian masukkan bahan tumisan tadi dalam periuk berisi santan. Buka api dan kacau sebati.

7.    Masukkan garam, asam keping, ikan yang direbus dan cili padi. Masak sehingga kuah pekat dengan api perlahan. Siap.


Cara buat acar timun

1.    Buang biji dan hiris halus timun dan lada besar.

2.    Hiris halus lobak merah dan bawang merah.

3.    Gaul sebati semua bahan dan sedia untuk dihidang.


Sumber Rujukan

i.        Bahan Bacaan

ii.        Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Puan Junaidah binti Tahar @Mohd Noor

Nama kedai: Mok Ngoh Nasi Dagang

Alamat: C-140 Kampung Masjid Raja Chendering, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu

Tradisi turun-temurun sejak 1957

No. Tel: 019-744 5211

Nama kedai: Kak Pah Nasi Dagang

Alamat: Gerai 30, Jalan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu

No. Tel: 013-977 4639

Nama kedai: Nasi Dagang Atas Tol (Kg. Atas Tol)

Alamat: Hadapan Surau Tanah Lot, Kg, 21070 Kuala Terengganu, Terengganu

Pemilik: Tuan Saidatul Jamilah Tuan Zainuddin

No. Tel: 013-984 7846

Lokasi