Bharatanatyam merupakan salah satu jenis tarian klasik
India yang berasal dari India Selatan. Teknik tarian Bharatanatyam adalah
berasaskan teks Natyashastra yang dianggap sebagai manual rasmi bagi semua seni
drama, tarian dan muzik tradisional di negara India. Teks Natyashastra ditulis
oleh Bharata Muni lebih 2500 tahun dahulu. Tarian Bharatanatyam secara
tradisinya ditarikan secara solo setelah pelajarnya melalui pembelajaran dan
waktu latihan yang lama untuk memantapkan setiap langkah dan gerak tari yang
diajar.
Terdapat dua bahagian utama dalam tarian Bharatanatyam
iaitu nritta dan nritya. Nritta merujuk kepada gerak-geri
abstrak oleh penari dalam usaha menunjukkan kehebatan dan kemampuan membuat
persembahan Bharatanatyam.
Manakala bahagian nritya adalah bahagian “cerita”
di mana penari menjadi “pencerita” yang akan menyampaikan sebuah kisah kepada
para penonton melalui gerak-geri (abhinaya) yang penuh ekspresif tanpa
suara. Kisah itu akan disampaikan melalui lagu yang dinyanyikan oleh seorang
penyanyi wanita.
Abhinaya yang
digunakan oleh penari Bharatanatyam termasuk mukhabinaya (ekspresi
muka), hastabhinaya (ekspresi tangan; mudra), netrabhinaya
(ekspresi mata) dan angikabhinaya (gerak geri seluruh tubuh).
Pergerakan penari adalah secara semitrikal; iaitu apabila
suatu aksi dilakukan pada sebelah kanan, maka aksi yang sama akan dilakukan
pada sebelah kiri. Penari Bharatanatyam juga mampu menggerakkan setiap bahagian
anggotanya secara berasingan. Ada ketikanya hanya kepala atau mata digerakkan
tanpa melibatkan pergerakan anggota badan yang lain.
Tarian Bharatanatyam sering dipersembah dalam acara
keagamaan Hindu dan juga sempena majlis keramaian berkaitan seni budaya dan
warisan anjuran kerajaan dan pihak swasta.
Penari Bharatanatyam memakai sari yang berwarna terang
dan cantik.Penari juga memakai gelang kaki yang mengandungi loceng di kiri dan
kanan yang dinamakan Salangai atau Ghungroos. Selain itu, perhiasan Bait Suci
yang terdiri daripada rantai panjang dan gelang emas juga dipakai. Aksesori
lain adalah subang telinga dan hidung beserta hiasan di kepala seperti Nethi
Chutti atau Maang Tikka, yang dipakai di tengah kepala dan menjulur ke
dahi. Pottu atau Bindi dijadikan sebagai tanda di dahi dengan
mengenakan solekan tebal terutama di bahagian alis mata.
Terdapat juga beberapa jenis alat muzik penting yang
dimainkan semasa mempersembah tarian Bharatanatyam ini iaitu mridangam,
nattuvangam, serunai dan biola. Mridangam ialah sejenis alat gendang dua muka berbentuk
tong yang dikategorikan sebagai alat membranofon. Walaubagaimanapun,
persembahan tarian Bharatanatyam pada masa kini sering menggunakan muzik yang
dirakam terlebih dahulu.
i. Puan Srimathi MalarSalah seorang tokoh koreografer tarian Bharatanatyam di WP Kuala Lumpur adalah Puan Srimathi Malar. Beliau bermula dengan Hari Ayer Dance School pada tahun 1948 dan kemudian dengan Sivadas-Vatsala Dance Troupe pada tahun 1952. Apabila impian Swamiji untuk mencipta Temple of Fine Arts dikemukakan, Srimathi Malar menjadi salah seorang peneraju dan ahli pengasas institusi cemerlang ini. Kerjaya tariannya meliputi lebih daripada lima dekad dengan melaksanakan persembahan secara aktif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya di Perth, Sydney, Melbourne (Australia), London (UK), Helsinki (Finland), Chicago (U.S), Dublin (Ireland), India, Sri Lanka, Jepun dan Singapura. Pada masa kini, Srimathi Malar berkhidmat di Temple of Fine Arts sebagai Pengarah Tarian Kanan.
ii.
Puan Indira
Manikam
Puan Indira Manikam, yang juga dikenali sebagai
"Nattuva Thilagam," merupakan tokoh penting dalam dunia tarian klasik
India di Malaysia. Beliau bermula sebagai penari Bharatanatyam dan menubuhkan
Sekolah Tarian Tanjai Kamalaa Indira pada tahun 1966 yang menjadi salah satu
institusi utama dalam bidang tersebut. Beliau mengajar pelajar dari semua latar
belakang tanpa mengira umur, warna kulit, atau agama. Selama lebih dari 58
tahun, beliau telah mengadakan banyak pertunjukan tarian untuk tujuan amal. Pada
tahun 2008, beliau juga menubuhkan Persatuan Tarian Bharathanatya Malaysia
untuk menghimpunkan guru tarian dari seluruh Malaysia. Dianugerahkan dengan
pelbagai gelaran di Malaysia dan India, beliau menyebarkan pengaruhnya melalui
pertubuhan-pertubuhan budaya yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan
belia Malaysia. Pada 22 Oktober 2023, beliau menerima Anugerah Negeri yang
tertinggi, 'Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
2023,' di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
·
Di Sebalik Tarian
Klasik Bharatanatyam - Kata Malaysia
https://katamalaysia.my/culture/di-sebalik-tarian-klasik-bharatanatyam/
·
Bharatanatyam,Tarian
Tradisional Tamil
https://uthayasb.blogspot.com/2010/05/bharatanatyam.html
·
Jurnal Sejarah
Lisan Malaysia: Menjejaki Seni Tarian Suku Kaum Masyarakat India: Tarian
Bharatanatyam
·https://jslim.uitm.edu.my/pdf/IK16.pdf
·
Buku Siri Adat
dan Budaya Kaum Utama India oleh Maruwiah Ahmat terbitan Seremban: Goodwill
Publications
Puan
Srimathi Malar