TARIAN MENYAK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Mengarang Menyak yang asal adalah sebuah tarian etnik Melanau. Tarian ini menggambarkan kehidupan masyarakat Melanau yang tinggal di pesisiran pantai Sarawak. Tarian ini juga adalah simbolik kepada proses menyak iaitu salah satu cara dalam penghasilan tepung sagu yang juga disebut sebagai 'sei' dalam bahasa tempatan. Tarian Mengarang Menyak wajar dipelihara dan dijadikan warisan masyarakat Melanau di Sarawak, seterusnya memperkukuh identiti dan jati diri bangsa mereka.

 

Diinsprasikan daripada penyelidikan bersama dua (2) persatuan di Mukah iaitu Warisan Budaya Mukah (WARISMU) bersama pengerusinya ketika itu Allahyarham Abdul Latip bin Mohti dan Puan Tahiri Jasmin Smith daripada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Sri Ritma Borneo, maka lahirlah Tarian Menyak versi Kreasi Baharu yang menyegarkan dalam bentuk dan cara persembahan.

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, Tarian Menyak kerap dipersembah dalam majlis-majlis keramaian, khususnya bagi menceritakan aktiviti kehidupan harian masyarakat tradisional Melanau.

Busana/ Aksesori

Kostum penari Mengarang Menyak mengenakan busana tradisional etnik Melanau yang berwarna hitam, tidak jauh bezanya dengan pakaian rasmi ketika menghadiri majlis perkahwinan, perayaan atau menyambut tetamu kenamaan. Perbezaannya hanyalah pada potongan panjang lengan, kaki, dan penggunaan butang pada baju. Panjang lengan baju dan kaki seluar adalah berukuran tiga suku sahaja daripada ukuran panjang lengan dan kaki penari, menyerupai pakaian orang kebanyakan yang melakukan kerja di dalam hutan dan juga di laut. Penari perempuan akan memakai terendak/tapou manakala penari lelaki pula mengikat kain di kepala.

 

Manakala kostum penari Menyak pula tidak jauh berbeza daripada Mengarang Menyak cuma penggunaan warna yang lebih cerah dan ceria.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Prop yang digunakan adalah tikar mengkuang. Manakala alat muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian Menyak terdiri daripada kromong, gong  gendang panjang satu muka, gendang panjang dua muka dan gendang bulat. Begitu pun pada masa kini, mereka juga menggunakan muzik yang telah dirakam terlebih dahulu bagi mengiringi persembahan tarian.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Gerak tarian ini meliputi semua kegiatan pemprosesan tepung sagu iaitu daripada kerja memotong, mengikis dan menginjak atau memijak rumbia bagi mengeluarkan intinya yang dikenali sebagai tepung lemantak, sehingga terhasilnya sagu. Tarian ini juga menggambarkan semangat kerjasama yang harmoni dan gembira dalam kalangan lelaki dan wanita.

Tokoh dan Pencapaian

1.       Encik Amirrullizam Hossen Bin Hipni

§  Pernah bertugas sebagai Artis Budaya (Kejurulatihan) kontrak di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak pada tahun 2002 sehingga tahun 2020.

§  Koreografer Tarian Menyak semasa Inspitari 2013 yang berlangsung di MaTiC, Kuala Lumpur pada 05 Oktober 2013.

Sumber Rujukan

i.      Encik Amirrullizam Hossen Bin Hipni

Pegawai Kebudayaan (Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak)

Lokasi