TARIAN NOPENG KINEK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Nopeng Kinek merupakan tarian kreasi baru yang diilhamkan daripada kesenian Gendang Melayu Sarawak. Muzik Gendang Melayu Sarawak mempunyai elemen tandak dan gendang serta pantun. Ia sering dipersembah semasa majlis keramaian atau perkahwinan, seterusnya mencetuskan ilham bagi penciptaan Tarian Nopeng Kinek.

         Dalam persembahan Gendang Melayu Sarawak, para penari terdiri daripada kaum lelaki manakala wanita pula bertindak sebagai pemain gendang atau seh gendang yang bermain gendang di sebalik tirai.  Dari segi istilah, ‘nopeng’ bermaksud penari. Terdapat sumber menceritakan bahawa sesekali penari lelaki ingin mencuri pandang seh gendang di sebalik tirai. Tetapi disebabkan perasaan malu, maka penari lelaki ini akan menutup mukanya dengan kain pelikat seolah-olah memakai topeng. Lama-kelamaan, perlakuan ini menjadi kebiasaan sehingga penari lelaki ini digelar ‘nopeng’.

 

      Elemen kontemporari telah dibawa masuk dalam penciptaan gerak dan lagu Nopeng Kinek, bagi menarik perhatian anak-anak muda untuk menghargainya.

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, tarian Nopeng Kinek telah menjadi salah satu daripada persembahan yang sering dipersembah dalam majlis-majlis keramaian dan juga perkahwinan.

Busana/ Aksesori

Penari tarian Nopeng Kinek memakai baju Melayu yang lengkap bersampin dan bersongkok. Pemain gendang wanita memakai baju kurung yang lengkap dengan hiasan kepala yang disanggul atau menggunakan kain keringkam. 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian Nopeng Kinek adalah terdiri daripada gendang dan violin. Pada masa kini, mereka juga menggunakan muzik yang telah dirakam terlebih dahulu bagi mengiringi persembahan.

Tokoh dan Pencapaian

1.    Encik Amirrullizam Hossen Bin Hipni

  • i. Pernah bertugas sebagai Artis Budaya (Kejurulatihan) kontrak di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak pada tahun 2002 sehingga tahun 2020.
  • ii. Koreografer Tarian Nopeng Kinek semasa Inspitari 2010 yang berlangsung di Auditorium DBKL pada 20 Oktober 2010.

Sumber Rujukan

i.      Encik Amirrullizam Hossen Bin Hipni

Pegawai Kebudayaan (Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak)

Lokasi