Wau dipercayai dicipta oleh seseorang yang bernama Sang Jaya yang juga dikenali dengan gelaran-gelaran seperti Dewa Muda, Dewa Hindu dan Masai Kelana Seri Panji. Wau dihasilkan antara tahun 711 hingga 839 Masihi. Pada asalnya wau dicipta sebagai lambang kebesaran sesebuah negara, sebagai panduan untuk menentukan sesuatu arah serta menjadi lambang kejayaan setiap serangan yang dilakukan oleh sesebuah negara ke atas negara lain. Selain negeri Kelantan, permainan ini juga terkenal di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.
Terdapat jenis-jenis wau yang popular di negeri tertentu
seperti Wau Bulan di Kelantan, Wau Burung di Terengganu, Wau Jalabudi di Kedah
dan lain-lain lagi. Pembuatan Wau begitu unik berbanding permainan lain kerana
teknik melukis corak dan mewarnakannya memerlukan kemahiran yang tinggi bagi
menghasilkan Wau yang cantik.
Bentuk dan ukiran Wau negeri Kelantan mempunyai keunikan tersendiri berbanding dengan wau-wau di negeri lain. Cara permainan dan juga proses penghasilan Wau ini perlu dipelihara dan dikekalkan agar menjadi identiti berterusan bagi negeri Kelantan.
Pada masa kini, permainan Wau sering dimainkan secara
persendirian ataupun melalui penganjuran program-program seperti Festival Wau Antarabangsa di Tumpat,
Kelantan dan juga Festival Kesenian Rakyat Kelate.
Peralatan untuk membuat Wau ialah buluh, pisau, kertas,
pensil, gunting, gam dan tali. Kertas pelbagai warna dan juga kertas berwarna
emas dan perak sering digunakan untuk dipotong dan ditampal mengikut corak
ukiran bermotifkan flora dalam teknik menghasilkan Wau sobek atau ukir. Ada
sesetengah pembuatan Wau yang akan dipasangkan ‘busur’ pada kepalanya. Ini
bertujuan mengeluarkan bunyi dengung ketika dilayangkan dan berfungsi
mengimbangkan antara berat kepala dengan berat ekor.
Pada
kebiasaannya, Wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang yang memegang
Wau dan seorang lagi dipanggil Juru Anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup, tali akan ditarik secara melawan
arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah Wau tersebut
terbang tinggi di udara. Sebelum diterbangkan, Wau perlu diseimbangkan agar
tidak berat sebelah. Faktor angin memainkan peranan penting ketika
menerbangkannya.
Proses
penghasilan Wau
Langkah 1: Buluh diraut mengikut ketebalan yang diperlukan dan kemudian digosok menggunakan kertas pasir.
Langkah 2: Bingkai dibentuk dan dihasilkan mengikut jenis Wau yang dikehendaki dengan struktur tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan juga rangka ekor.
Langkah 3: Proses memasang lapisan asas yang dinamakan ‘tanah’ dengan menggunakan gam kanji.
Langkah 4: Menyobek Wau iaitu proses menghias Wau dengan corak ukiran kertas aneka warna serta dipasang jambul, belalai dan busur.
Langkah 5: Setelah selesai semua langkah-langkah menghasilkan Wau, ia sudah boleh diterbangkan di kawasan yang luas.
Tokoh penghasilan dan permainan Wau di Kelantan adalah Muhd Azeimi bin Mohd Noor. Beliau menerima anugerah Tokoh Pelayang Muda, dan pernah meraih johan pertandingan membuat Wau di Festival Layang-Layang Antarabangsa pada tahun 2007. Muhd Azeimi mempunyai sebuah bengkel penghasilan Wau di Kampung Sering, Kota Bharu dan telah berjaya menghasilkan lebih kurang 150 jumlah Wau sama ada untuk tujuan persembahan atau dijual sebagai cenderamata.
i. Bahan
Bacaan: The Art Of Making Wau Bulan (Shafie Jusoh), 2016
ii. Tokoh:
Mohd Azeimi bin Mohd Nor