JIKEY (LANGKAWI)
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Jikey merupakan salah sebuah teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri-negeri Kedah dan Perlis sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Jikey juga berkembang di Satun dan Phuket di selatan Thailand, dan dikenali dengan nama Likey.

          Khususnya di pulau lagenda Langkawi, Jikey menjadi sebuah khazanah seni budaya yang sangat berharga sejak lebih 400 tahun lalu. Jikey dicatatkan berasal daripada kisah seorang peniaga India yang menggunakan bakat lakonan untuk menghibur dan mendapatkan ganjaran daripada raja bagi mendapat kebebasan. Usaha pemuliharaan dan pengekalan perlu dilakukan pada masa kini supaya Jikey tidak dilupakan.

 

         Persembahan Jikey menampilkan ciri-ciri hiburan tempatan menerusi gabungan elemen muzik, nyanyian, tarian, dan lakonan, disulami dialog-dialog lucu. Jikey dianggap sebagai tradisi rakyat dalam masyarakat tradisional yang dimainkan sama ada dalam gelanggang yang dibina di atas tanah ataupun di atas pentas. Persembahan Jikey menampilkan watak-watak seperti Keling India atau Benggali, Minachi, Ah Seng, Pelawak atau Peran, Raja dan Wira (Putera Raja), dan sebagainya. Antara tajuk cerita yang dimainkan dalam persembahan Jikey adalah seperti Mahsuri, Batu Belah Batu Bertangkup, Kisah Puteri Tiga Beradik  dan sebagainya.

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, persembahan teater Jikey masih diadakan ketika berlangsungnya acara rasmi kerajaan dan pihak swasta, khususnya yang berkaitan dengan program seni budaya dan warisan

Busana/ Aksesori

        Para pelakon Jikey berbusana sesuai dengan watak masing-masing. Watak Keling India contohnya, memakai baju singlet putih, kain lilit kepala berwarna merah dan berkaca mata. Topeng pula digunakan oleh watak Tok Nujum, pelawak, bapa atau khadam. Sapu tangan turut digunakan oleh watak Raja dan putera-puteri. Prop pemukul digunakan oleh watak Raja ketika menunjuk arah dan memberi titah. Cermin bulat sering digunakan oleh Tok Nujum untuk menilik. Peralatan muzik Jikey biasanya terdiri daripada violin, tiga buah rebana atau gendang pengibu, pengabah dan penganak,  dua hingga lima  kecerek (ketuk buluh), serta loceng besi atau tembaga.

Tokoh dan Pencapaian

Terdapat dua tokoh Jikey di kawasan Ayer Hangat, Langkawi yang telah menerima pengiktirafan sebagai Adiguru Jikey oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

         Jusoh bin Chin atau lebih dikenali sebagai “Tok Choh” dilahirkan di Kampung Bukit Nau, Langkawi. Tok Choh menerima latihan dalam kesenian Jikey sejak beliau berusia 12 tahun daripada seorang lagi tokoh Jikey iaitu Said Ibrahim. Pada masa kini, Tok Choh masih mampu menceritakan perjalanan hidup beliau bersama beberapa kumpulan Jikey di Langkawi walaupun usianya sudah lanjut.

Lokasi