TARIAN BAKANJAR
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Bakanjar merupakan salah satu tarian tradisional yang berasal daripada etnik Dusun suku Tatana di Daerah Kuala Penyu, Sabah. Tarian ini menggambarkan seni mempertahankan diri dan keberanian yang menjadikannya sejenis tarian perang dalam budaya suku Tatana. Ia hanya ditarikan oleh kaum lelaki kerana ia mempamerkan pergerakan yang dinamik dan simbolik sehingga sering dipersembahkan dalam pelbagai majlis, khususnya semasa acara perkahwinan. Selain melambangkan semangat kepahlawanan, Bakanjar juga berfungsi sebagai lambang penghormatan kepada tradisi dan warisan nenek moyang suku Tatana sehingga ia diangkat menjadi inspirasi kepada Festival Odou Bakanjar yang diraikan setiap tahun oleh kumpulan etnik Dusun Tatana di daerah Kuala Penyu.

Fungsi dan Peranan

Pada umumnya, tarian Bakanjar adalah khusus sebagai persembahan sambut tamu dan menyambut pengantin. Ia dipersembahkan sebagai satu bentuk simbolik pembuka dalam meraihkan sesuatu majlis rasmi atau perkahwinan. Namun kini, tarian Bakanjar telah meluas dari segi fungsinya sebagai salah satu persembahan wajib dalam sambutan festival rakyat dan budaya khususnya Festival Odou mahupun Pesta Kaamatan yang diraikan oleh rumpun etnik Momogun di Sabah. 

Busana/ Aksesori

Dalam menarikan tarian ini, penari lelaki akan memakai set busana lengkap baju tradisional masyarakat etnik Dusun Tatana yang dikenali dengan nama ‘Sira Dambia’. Busana ini lazimnya berwarna hitam dan mempunyai poket pada bahagian baju yang disisipkan dengan kemasan sapu tangan berwarna merah. Namun begitu, sesetengah persembahan akan memakai baju hitam tanpa lengan yang dipasangkan dengan les kain bewarna merah bercampur warna emas pada bahagian leher. Baju ini berbentuk silang dan  diketatkan menggunakan kain merah pada bahagian pinggang penari. 


Sementara itu, bahagian kepala penari akan dipakaikan ‘Sigar’ ataupun tengkolok dengan ikatan berekor pada bahagian belakangnya. Tetapi, ada sesetengah penari akan memakai kain merah yang diikat mengelilingi kepala mereka. Persembahan ini juga bertambah unik kerana penari membawa dua peralatan props iaitu ‘Taming’  ataupun perisai yang diperbuat daripada rotan atau daun Silad dengan kayu papan lapis serta ‘Pinadang’ iaitu pedang yang diperbuat daripada kayu.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang mengiringi tarian ini adalah kulintangan dan tiga jenis gong iaitu dua gong besar untuk nada pic yang rendah dan satu gong kecil (canang) untuk pic tinggi.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Secara asasnya, gerak tarian ini menggambarkan teknik mempertahankan diri dan ia mestilah ditarikan secara berpasangan iaitu antara dua hingga empat orang penari lelaki ataupun lebih dalam gandaan dua. Penari lelaki akan saling berpandangan dengan pasangan masing-masing sambil memimpin Pinadang dan Taming. Gerakan lebih cenderung dilakukan secara menyamping dan formasinya adalah berputaran sebelum salah seorang penari mengacu Pinadangnya kepada rakan lawan dan ia ditepis menggunakan Taming.

Tokoh dan Pencapaian

Dr. Monih Epin. Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah.  Peti Surat 71, Kg. Bundu Batu 4, 89747 Kuala Penyu, Sabah.


Pn. Jainah Ngoai. Kumpulan Penari Limbai Karamaian. Kampung Kelampun. Jalan Beaufort - Menumbok, 89740 Kuala Penyu, Sabah.


En. Roland Raymond. Kumpulan Penari Limbai Karamaian. Kampung Kelampun. Jalan Beaufort - Menumbok, 89740 Kuala Penyu, Sabah.


Sumber Rujukan

Kitingan, J., P. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjamahan & Buku Malaysia. Kuala Lumpur


Shafiia, A. H., Ishakb, S., Hassanc, H., Ghouse, M., & Beguma, M. (2016). Babalian and community rituals of Dusun Tatana Ethnic in Sabah, Malaysia: A preliminary study. In International Soft Science Conference.


Sri Ningsih Sukirman, & Patricia Jipoh. (2023). Elemen Penyokong Persembahan Tarian Sayau Moginum, Dusun Tatana, Kuala Penyu, Sabah : Supporting Elements Of Sayau Moginum Dance Performance, Dusun Tatana, Kuala Penyu, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 12(2). https://doi.org/10.51200/ga.v12i2.4286


Lokasi