Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

3

Pengenalan dan sejarah

Pasembor atau Pasembur, juga dikenali sebagai Salad India Malaysia, ia merupakan hidangan tradisional yang terkenal di Pulau Pinang. Istilah pasembor adalah khusus digunakan di utara Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang, di mana ia dianggap sebagai ikon makanan jalanan. Di negeri-negeri lain, ia lebih dikenali sebagai Rojak Mamak. Menurut (Yeap et. al., 2019) dan (Zulkifli et. al., 2018) Pulau Pinang dikenali sebagai syurga makanan dari pelbagai kaum dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri akan kewujudan makanan-makanan dari negeri tersebut. 

 

Hidangan ini adalah rojak yang terdiri daripada cucur udang, hirisan timun dan bawang, ubi kentang, tauhu, taugeh, udang kering, ketam goreng berempah dan sotong goreng yang dihidangkan bersama kuah kacang yang manis dan berempah. Kuahnya hampir sama seperti kuah gado-gado ataupun kuah sate dan hidangan ini biasanya dimakan di waktu petang sebagai menu minum petang dan sebagai menu sayuran jika tidak dicampur dengan makanan laut.


Pasembor dipercayai berasal daripada komuniti India Muslim. Terdapat teori yang mengaitkan namanya dengan pendatang dari India, mungkin dari sebuah daerah bernama Chembur di Mumbai. Sejarahnya berkait rapat dengan penjaja kaum India beragama Islam (Mamak) yang telah berniaga di Pulau Pinang sejak berdekad lalu.


Secara tradisional, penjaja Mamak menjadikan motosikal sebagai gerai kaunter penyediaan dan penjualan hidangan ini. Kebanyakan penjaja sekarang bergerak menggunakan lori kecil dan banyak terdapat di kawasan Padang Kota Lama, Pulau Pinang dan di kawasan Gurney Drive. Hidangan ini telah menjadi salah satu makanan tradisional terkenal di Pulau Pinang yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan citarasa tempatan. Pada masa kini, rojak mamak boleh didapati di semua kedai yang dibuka oleh komuniti India Muslim di seluruh Malaysia. 


Fungsi dan Peranan

Pada asalnya, pasembor Pulau Pinang adalah makanan jalanan yang murah dan sesuai untuk penduduk tempatan. Kini, ia telah menjadi simbol makanan tradisional Pulau Pinang yang menarik pelancong yang ingin merasai citarasa tempatan yang unik. Bukan itu sahaja, pasembor Pulau Pinang sering ditampilkan dalam pesta makanan dan digunakan untuk mempromosi kebudayaan serta menunjukkan kepelbagaian masakan Malaysia.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

  • Cucur udang

  • Timun mayang

  • Ubi kentang rebus

  • Tauhu

  • Taugeh

  • Udang kering

  • Ketam goreng berempah

  • Sotong goreng

  • Bawang besar

  • Kuah kacang (kacang tanah, cili kering, gula, air asam jawa dan rempah)

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

  1. Semua bahan seperti cucur udang, kentang rebus, tauhu, udang kering, ketam dan sotong digoreng terlebih dahulu.

  2. Timun, bawang dan taugeh dibersihkan serta dihiris halus.

  3. Untuk kuah kacang, bahan seperti kacang tanah goreng, cili kering, dan rempah digiling halus dan dimasak sehingga pekat bersama gula dan air asam jawa.

  4. Semua bahan hidangan disusun di atas pinggan dan disiram dengan kuah kacang secukupnya sebelum dihidangkan.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

MalaysianChefs. (2024, April 26). Pasembor – Famous Malaysian cuisine. https://malaysianchefs.com/pasembor-famous-malaysian-cuisine/


Wan-Mohd-Isa, M. A., & Abdul-Majid, H. (2009). Heritage route along ethnic lines: The case of Penang. Historic Environment, 22(2), 28–34. https://www.aicomos.com/wp-content/uploads/Heritage-route-along-ethnic-lines-the-case-of-Penang.pdf


Yeap, J. A. L, Ong, K. S. G, Yapp, E. & Ooi, S. K. (2019). Hungry for more: Understanding young domestic travellers’ return for Penang street food. British Food Journal. 122(3).


Zulkifli, A. H., Ismail, W. R. W., Hashim, N. H., & Marzuki, M. (2018). In Traditional food blunders: Kuih bahulu losing its authentic touch. Technology, Science, Social Science Humanities TESSHI 2018, Penang, Malaysia


Yeap, J. A. L, Ong, K. S. G, Yapp, E. & Ooi, S. K. (2019). Hungry for more: Understanding young domestic travellers’ return for Penang street food. British Food Journal. 122(3).


Zulkifli, A. H., Ismail, W. R. W., Hashim, N. H., & Marzuki, M. (2018). In Traditional food blunders: Kuih bahulu losing its authentic touch. Technology, Science, Social Science Humanities TESSHI 2018, Penang, Malaysia


Informan

Kareem Pasembur Rojak, Lebuh Union, George Town. Michelin Selected 2023. (+60 19-480 7728)


Gani Famous Pasembur, Medan Renong, Padang Kota Lama (The Esplanade). (+60 16-477 5786)


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Pulau Pinang (JKKN)
  • Kompleks JKKN Pulau Pinang, Kompleks Pusaka Warisan Seni, Lot No. 2180 Jalan Rawang, Off Jalan P.Ramlee 10460 Pulau Pinang.
  • 04-2817791
  • info@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Zurairi bin Hanip

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang
Kompleks Pustaka Warisan Seni, Lot No. 2180 Lintang P. Ramlee, Off Jalan P.Ramlee 10460 PULAU PINANG

04-281 7791 /7792

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!