PENJAGAAN DIRI

Adat Resam

Gambar

0

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

20

Pengenalan dan sejarah

Penjagaan diri secara tradisional khususnya terhadap tubuh badan merujuk kepada amalan masyarakat terdahulu yang menggunakan bahan semula jadi untuk mengekalkan kesihatan kulit, kekuatan rambut, dan kesegaran tubuh. Amalan ini berakar umbi dalam budaya Melayu serta etnik lain di Malaysia, dan diwarisi turun-temurun. Ia tidak hanya melibatkan penggunaan herba dan tumbuhan, tetapi turut didasari oleh falsafah hidup yang menekankan keseimbangan jasmani dan emosi. Walaupun pelbagai produk moden telah muncul di pasaran, penjagaan tubuh secara tradisional masih diamalkan kerana dipercayai lebih selamat, semula jadi, dan dekat dengan budaya masyarakat.


Selain menjadi warisan turun-temurun, penjagaan tubuh tradisional mencerminkan kebijaksanaan masyarakat dahulu dalam memahami persekitaran mereka. Kaedah yang digunakan berasaskan pemerhatian terhadap alam dan pengalaman hidup. Misalnya, kunyit digunakan sebagai lulur untuk mencerahkan kulit, santan kelapa sebagai pelembap rambut, dan daun sirih sebagai pembersih badan. Pengetahuan ini menunjukkan keupayaan masyarakat terdahulu memanfaatkan sumber alam untuk mengekalkan kebersihan dan kecantikan tubuh secara semula jadi.


Amalan penjagaan tubuh tradisional turut menzahirkan hubungan rapat manusia dengan alam sekitar. Penggunaan tumbuhan bukan sahaja bertujuan untuk kecantikan kulit dan rambut, tetapi juga mencerminkan gaya hidup yang harmoni dengan alam. Kebergantungan kepada sumber semula jadi ini membentuk sikap menghargai serta memelihara alam kerana ia menjadi punca kesihatan dan kecantikan semula jadi yang diwarisi sehingga kini.


Lebih daripada itu, amalan tradisional ini tidak hanya bersifat fizikal, tetapi turut memberi kesan psikologi dan emosi. Proses mandi herba, bertangas, atau berurut bukan sahaja menyegarkan tubuh, tetapi juga memberikan rasa relaks dan menenangkan minda. Hal ini memperlihatkan bahawa masyarakat terdahulu memahami penjagaan tubuh sebagai satu pendekatan menyeluruh yang merangkumi kesihatan fizikal, ketenangan jiwa, dan keyakinan diri.


Pada era moden, meskipun terdapat pelbagai produk penjagaan tubuh berasaskan teknologi dan sains, bahan tradisional tetap menjadi pilihan ramai. Menariknya, banyak bahan yang digunakan dalam penjagaan tubuh tradisional telah menjadi asas kepada pembangunan produk moden. Contohnya, lidah buaya kini digunakan secara meluas dalam syampu dan losen, manakala kunyit diekstrak untuk produk penjagaan kulit. Fenomena ini membuktikan bahawa amalan tradisional masih relevan, malah terus diangkat melalui inovasi sains dan teknologi. Integrasi antara ilmu warisan dengan inovasi moden memastikan penjagaan tubuh tradisional kekal relevan, memberi nilai ekonomi, serta menjadi simbol kesinambungan warisan budaya yang harus dipelihara.


Kesimpulannya, penjagaan diri tradisional bukan sahaja relevan untuk masyarakat kini kerana khasiat semula jadinya, malah menjadi sumber inspirasi kepada pembangunan produk moden. Integrasi antara ilmu warisan dengan inovasi saintifik membuktikan bahawa tradisi dan kemodenan boleh bergerak seiring, sekali gus memastikan warisan budaya terus hidup dalam bentuk yang lebih kontemporari dan diterima masyarakat global.

Fungsi dan Peranan

Penjagaan diri tradisional, khususnya berkaitan tubuh badan telah diamalkan sejak zaman dahulu oleh masyarakat Melayu dan etnik lain di Malaysia. Amalan ini menekankan penggunaan bahan semula jadi seperti herba, rempah ratus, dan tumbuhan sebagai material penjagaan diri. Oleh itu, fungsi dan peranan penjagaan diri tradisional boleh diperincikan seperti berikut:


  1. Kebersihan badan

Kebersihan badan merupakan fungsi utama dalam penjagaan diri tradisional. Masyarakat terdahulu amat menitikberatkan kebersihan tubuh kerana percaya bahawa tubuh yang bersih mencerminkan jiwa yang sihat. Amalan seperti mandi menggunakan daun-daun herba (contohnya daun pandan, serai wangi, dan limau purut) bukan sahaja menghilangkan bau badan, tetapi juga memberi aroma menyegarkan. Penjagaan kebersihan mulut turut diberi perhatian dengan penggunaan kayu sugi atau miswak untuk membersihkan gigi dan menyegarkan nafas. Hal ini membuktikan bahawa sejak dahulu lagi masyarakat memahami kepentingan kebersihan badan sebagai asas kesihatan dan keyakinan diri.


  1. Kecantikan semula jadi

Selain itu, penjagaan diri tradisional berperanan dalam aspek kecantikan semula jadi. Bahan-bahan alam digunakan bagi merawat rambut, kulit, dan wajah tanpa bergantung kepada bahan kimia. Sebagai contoh, lidah buaya digunakan untuk melebatkan rambut, kunyit dijadikan bahan lulur untuk mencerahkan kulit, manakala bedak sejuk beras dipakai bagi menyejukkan wajah serta mengurangkan jerawat. Amalan ini membentuk budaya kecantikan yang lebih harmoni dengan alam, di samping mengekalkan identiti dan penampilan diri.


  1. Kesihatan dalaman

Dalam konteks kesihatan dalaman, penjagaan diri tradisional memberi perhatian kepada organ penting seperti mata, hati, dan jantung, serta keseimbangan emosi. Ramuan herba seperti air rebusan halia dan madu digunakan untuk menguatkan jantung, manakala amalan minum air rendaman daun pegaga dipercayai menyihatkan mata dan melancarkan peredaran darah. Penjagaan dalaman ini bukan sahaja bertujuan menghindari penyakit, tetapi juga mengekalkan tenaga, keceriaan, dan keseimbangan emosi individu.


  1. Perubatan penyakit biasa

Penjagaan diri tradisional juga berfungsi sebagai perubatan untuk penyakit-penyakit biasa. Masyarakat terdahulu mengamalkan penggunaan ubat herba untuk merawat demam, batuk, sakit perut, atau sakit kepala. Misalnya, daun bunga raya digunakan sebagai penurun suhu badan, manakala halia dan bawang putih digunakan untuk merawat selesema. Walaupun tidak menggantikan sepenuhnya perubatan moden, rawatan ini membantu mengurangkan gejala serta memberi kelegaan kepada pesakit dengan cara yang lebih semula jadi.


  1. Emosi dan spiritual

Akhir sekali, penjagaan diri tradisional merangkumi aspek emosi dan spiritual. Amalan mandi bunga, bertangas dengan ramuan herba, serta bacaan doa atau jampi serapah dipercayai membantu menenangkan jiwa, menghilangkan tekanan, dan membuang unsur negatif dalam diri. Elemen spiritual ini menekankan bahawa penjagaan diri bukan hanya bersifat fizikal, tetapi melibatkan kesejahteraan menyeluruh yang menghubungkan tubuh, emosi, dan rohani. Dengan itu, penjagaan diri tradisional dapat dilihat sebagai satu pendekatan holistik yang menyatukan keperluan jasmani dan spiritual manusia.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Secara tradisional, bahan-bahan yang digunakan dalam rawatan dan penjagaan diri diagihkan kepada enam kategori utama, iaitu Herba dan Tumbuhan, Rempah Ratus dan Akar Kayu, Minyak dan Ekstrak Tradisional, Bunga-Bungaan dan Aromaterapi, Produk Haiwan, serta Bahan Galian dan Mineral. Pembahagian ini bukan sahaja memudahkan pengelasan, tetapi turut menggambarkan prinsip asas penjagaan diri dalam koteks tradisional.


  1. Herba dan Tumbuhan

  • Kategori ini meliputi daun, batang, akar, buah, dan tumbuhan renek yang diperoleh dari hutan, kebun, atau halaman rumah. 

  • Herba digunakan dalam mandian herba, air rebusan, tapel, param, masker, serta tonik makanan. 

  • Tumbuhan seperti pandan, pegaga, serai wangi dan lidah buaya digunakan untuk menyegarkan tubuh, membantu peredaran darah, serta memberi keseimbangan suhu badan. 

  • Herba Melayu biasanya bersifat penyejuk atau penyegar, dan bertujuan menstabilkan tenaga dalam badan, merawat masalah kulit, serta meningkatkan kesihatan umum.


  1. Rempah Ratus dan Akar Kayu

  • Rempah ratus  termasuk kunyit, halia, lengkuas, kayu manis dan cengkih adalah memainkan peranan penting dalam rawatan tradisional. 

  • Akar kayu seperti tongkat ali, kacip fatimah dan serapat pula digunakan dalam bentuk rebusan atau jamu untuk meningkatkan tenaga dalaman, memulihkan stamina, dan menyeimbangkan hormon, khususnya dalam amalan selepas bersalin. 

  • Rempah ratus bersifat panas, bertindak untuk mengeluarkan angin, memanaskan badan, membersihkan darah, serta melancarkan metabolisme. Ia juga berperanan sebagai antiseptik dan anti-radang semula jadi.


  1. Minyak dan Ekstrak Tradisional

  • Minyak merupakan elemen penting dalam urutan, rawatan selepas bersalin, dan penjagaan rambut. Minyak kelapa, minyak serai, minyak sintok atau minyak cendana dihasilkan melalui proses rendaman, pemanasan atau perahan tradisional. 

  • Minyak berfungsi untuk meningkatkan peredaran darah, mengendurkan otot, melembapkan kulit, mengurangkan keradangan dan memberi kesan aromaterapi semula jadi. 

  • Banyak minyak tradisional juga diperkaya dengan campuran herba seperti halia, lengkuas, pandan atau bunga kenanga bagi meningkatkan khasiat dan kehangatan tubuh.


  1. Bunga-Bungaan dan Aromaterapi

  • Bunga berperanan besar dalam amalan kebersihan diri, kecantikan, dan penyucian spiritual. Bunga melur, kenanga, mawar atau tanjung sering digunakan dalam mandi bunga, iaitu ritual penyucian dan penyegaran aura yang diamalkan dalam budaya Melayu. 

  • Bunga-bungaan dipilih kerana sifatnya yang wangi, lembut dan menaikkan seri wajah, serta dipercayai mampu menyingkirkan energi negatif. 

  • Selain itu, bunga juga digunakan untuk pewangi rambut, campuran minyak, atau bahan penyegar dalam amalan santai tubuh dan minda.


  1. Produk Haiwan

  • Beberapa hasil haiwan digunakan sebagai tonik, formulasi kecantikan, dan penyembuhan luka. Contohnya ialah madu lebah, lilin lebah, susu, telur dan gamat. 

  • Produk-produk ini berperanan sebagai agen penyembuhan alami, antioksidan, sumber tenaga, serta bahan pemulih kulit yang berkesan. 

  • Madu dan susu sering digunakan dalam penyediaan jamu atau minuman kesihatan, manakala gamat digunakan oleh masyarakat pesisir untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan memulihkan tisu. 


  1. Bahan Galian dan Mineral

  • Bahan galian seperti batu sungai, tanah liat, garam bukit dan besi (tungku) digunakan untuk rawatan luaran, khususnya dalam amalan selepas bersalin. 

  • Bertungku menggunakan batu panas membantu melancarkan darah, mengecutkan rahim, serta mengurangkan angin dalam badan. 

  • Tanah liat digunakan untuk bedak tompok bagi merawat panas badan atau ruam. 

  • Garam pula digunakan dalam rendaman kaki untuk detoksifikasi dan pemulihan tenaga. 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Kaedah penyediaan bahan-bahan penjagaan diri tradisional Melayu merupakan satu proses yang teliti dan berasaskan prinsip semula jadi. Setiap langkah penyediaan bertujuan mengekalkan keberkesanan bahan, memastikan kesesuaian dengan tubuh, serta menepati fungsi yang dikehendaki. Walaupun terdapat pelbagai kaedah mengikut daerah dan adat setempat, secara umumnya penyediaan bahan tradisional boleh diringkaskan kepada lima pendekatan utama iaitu;


  1. Kaedah Perebusan 

Perebusan merupakan teknik paling asas dan meluas dalam tradisi Melayu. Daun, batang, akar kayu atau rempah ratus direbus di dalam periuk tanah atau tembaga untuk mengeluarkan pati, aroma dan khasiat. Tujuannya adalah untuk dijadikan air mandian, diminum sebagai jamu atau tonik dan  digunakan sebagai bilasan rambut atau kulit.


  1. Kaedah Penumbukan, Pengisaran dan Peluluran

Kaedah ini digunakan untuk bahan luaran seperti lulur, bedak sejuk atau param. Herba segar, rempah ratus atau beras akan ditumbuk atau digiling sehingga halus menggunakan lesung batu atau alat pengisar. Kaedah ini pada lazimnya digunakan untuk, lulur badan, mask rambut atau muka  atau menjadi bahan sapuan param dan tapel untuk ibu selepas bersalin.


  1. Pemeraman dan Perendaman (Infusion / Rendaman Herba)

Sebahagian bahan perlu direndam dalam air atau cairan tertentu untuk mengaktifkan khasiatnya. Contohnya seperti buah pegaga atau daun bunga direndam untuk air minuman, bunga melur atau kenanga direndam untuk air wangi mandian dan beras direndam sebelum dijadikan bedak sejuk. Tujuannya adalah untuk melunakkan bahan, mengeluarkan aroma dan menghasilkan kesan menyejukkan atau menenangkan. Pada kebiasaanya, kaedah ini banyak digunakan untuk bahan aromatik dan bahan lembut yang tidak sesuai direneh dalam suhu tinggi.


  1. Pemanasan, Pengekstrakan dan Penyediaan Minyak

Minyak tradisional Melayu disediakan melalui kaedah pemanasan perlahan atau pemeraman yang panjang. Sebagai contoh seperti minyak kelapa, minyak zaitun atau minyak herba akan dicampur dengan daun, akar atau bunga lalu dipanaskan sehingga keluar haruman dan ekstrak bahan aktif. Fungsiny adalah digunakan untuk menghasilkan minyak urut, minyak rambut dan minyak panas untuk angin.


  1. Pengeringan, Penjemuran dan Serbuk

Sesetengah bahan seperti beras, akar kayu atau rempah perlu dikeringkan sebelum diproses. Antara kaedah pengeringan yang sering dilakukan adalah dengan cara dikeringkan di bawah cahaya matahari, disimpan dalam bekas kedap udara dan digiling menjadi serbuk untuk kegunaan jangka panjang. Sebagai contoh adalah seperti serbuk lulur beras, serbuk manjakani, bedak sejuk. Proses ini bertujuan untuk memanjangkan tempoh simpanan serta menumpukan khasiat bahan.


  1. Pembakaran, Pengasapan dan Bertangas

Kaedah ini penting dalam aspek penyucian badan dan spiritual dalaman seseorang seperti proses bertangas wanita selepas bersalin, penyucian ruang rumah, rawatan kesejahteraan batin, mandi bunga dan lain-lain tujuan bagi perawatan fizikalk dan batin seseorang. Dalam konteks ini, bahan seperti kemenyan, damar dan rempah tertentu dibakar untuk menghasilkan asap wangi yang dipercayai membersihkan aura badan, menenangkan emosi, dan memulihkan tenaga dalaman.


Sumber Rujukan


  1. Bahan Bacaan

Deraseh, M. Z. A. I. M., Hanafiah, M. G., Yusoff, M. Y. M., Abdullah, W. N. B. W., & Taha, M. Q. B. (2023). Penggunaan buah-buahan dan daun-daunan sebagai bahan pencuci alamiah dalam perubatan tradisional Melayu. Akademika, 93(3), 225–236.

Hasbullah, H. W. A. H., & Hassan, N. N. N. (2017). Amalan perubatan herba dan keseimbangan humoral dalam penjagaan kesihatan postpartum wanita Melayu: Perspektif budaya dan perubatan [Herbal medicine practices and humoral balance in postpartum health care for Malay women: Culture and medicine perspective]. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 1(2).

Johari, M. A. H., Man, Z., Hussain, M. Y., & Krishnan, M. (2024). Amalan penjagaan kesihatan masyarakat Melayu Kedah dari perspektif budaya: Prinsip, praktis, dan identiti. Sarjana, 39(1), 1–19.

Kanan, P., & Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. (n.d.). Perbandingan penjagaan kesihatan melalui amalan penggunaan tumbuh-tumbuhan dalam kalangan wanita Melayu dan Siam di Negeri Kedah.

Lemon8 by Ra.Racun.Kome. (n.d.). [Posting tentang amalan tradisional]. Retrieved from https://www.lemon8-app.com/@ra.racun.kome/7486048768232555024?region=my

Nik Musa’adah, M., Norbaiah, M. Y., Firdaus, K., Siti Nur Aisyah, M. H., Mazura, M. P., Fadzureena, J., & Norini, H. (n.d.). Perubatan tradisional: Bukan sekadar jampi. In Bridging Traditional Knowledge & Natural Products Innovations Towards Wellness and Shared Prosperity (p. 35).

Omar, S., Cusairi, R. M., Jamaludin, S. S. S., & Lepun, E. P. (2019). Penjagaan kesihatan wanita Siam semasa mengandung dan selepas bersalin: Amalan dan kepercayaan. Geografia: Malaysian Journal of Society and Space, 15(4), 30–44.

Othman, R., Razak, N. I. A., & Ishak, N. (n.d.). Traditional Malay midwifery practices of point massage (bertungku) and vaginal heat (bertangas) treatment for postnatal treatment among Malay culture at east coast of Malaysia. In Proceedings of I10 Determination of D-saccharic acid-1,4-lactone (DSL) in fermentation tea (Kombucha) by capillary electrophoresis (p. 253).

Ramya, R., Othman, R., Ishak, N., & Hatta, F. A. M. (2024). Pengetahuan etnobotani tumbuhan ubatan wanita selepas bersalin: Ethnobotanical knowledge of medicinal plants for women after childbirth. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 8(2). https://spaj.ukm.my/ajehh/index.php/ajehh/article/view/273/326

Saari, F. A., & Apandi, S. N. A. M. (2025). Documentation on the importance and preservation of confinement practices within the Malay community in Bachok. International Journal of Creative Future and Heritage (TENIAT), 13(1), 105–127.

Suraya Mother Care. (n.d.). Amalan berpantang secara tradisional. Suraya Mother Care. Retrieved August 31, 2025, from
https://surayamothercare.com/amalan-berpantang-secara-tradisional/

Yacob, N. H. M., Wan Abdul Rahman, N. H., Yusop, Y., & Jamaluddin, S. (2015). Pantang larang tradisional di kalangan masyarakat Melayu. KONAKA Konferensi Akademik 2015, 25–32.


  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan


Kembali Ke Atas