Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU: ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN
Adat Resam
Gambar
5
Video
tiada
Pelawat Hari ini
4
Jumlah Pelawat
1709
Pengenalan dan sejarah
Daerah Semporna yang terletak di timur Sabah merupakan salah satu kawasan yang kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi unik yang masih terpelihara sehingga kini. Etnik yang mendiami daerah ini majoritinya adalah berbangsa Bajau dan ia mempunyai identiti yang berbeza berbanding dengan masyarakat Bajau di pantai barat Sabah, khususnya dari segi dialek, loghat bahasa serta amalan adat tradisi mereka. Kepelbagaian ini mencerminkan khazanah budaya Sabah yang pelbagai, sekali gus menjadikan setiap daerah memiliki keunikan tersendiri.
Salah satu adat dan budaya masyarakat di Semporna yang menarik perhatian ialah upacara kematian mereka. Meskipun pelaksanaan perkara fardu seperti memandikan jenazah, mengafankan, dan pengkebumian dilaksanakan sepenuhnya mengikut ajaran agama Islam, unsur-unsur budaya tradisional masih kelihatan melalui adat dan pantang larang yang diamalkan. Sebagai contoh, terdapat kepercayaan tertentu mengenai roh si mati dan amalan khas yang dilakukan oleh keluarga sebagai penghormatan terakhir.
Adat ini bukan hanya memperlihatkan keakraban masyarakat dengan kepercayaan mereka, tetapi ia juga menunjukkan bagaimana elemen agama dan tradisi dapat berpadu secara harmoni tanpa konflik. Dalam masyarakat yang semakin moden, pengamalan adat sebegini menjadi penting untuk terus dikekalkan sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang memperkaya identiti etnik mereka.
-
-
-
ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN
Apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan melakukan upacara adat bermula daripada proses memandikan jenazah sehinggalah kepada proses pengebumian. Setelah itu, keluarga si mati juga akan turut mengadakan beberapa lagi proses tertentu selepas pasca pengebumian arwah si mati. Berikut adalah adat dan pantang larang Kematian etnik Bajau si daerah Semporna.
Proses Pengurusan Jenazah.
Pada hari berlakunya kematian, keluarga si mati akan menaikkan bendera atau kain putih sebagai tanda berlakunya kematian di sesebuah rumah atau kampung. Bendera putih ini biasanya diletakkan di tempat yang mudah dilihat, seperti di hadapan rumah atau di kawasan umum dalam kampung. Tindakan ini berfungsi sebagai isyarat kepada penduduk sekitar bahawa ahli keluarga di rumah tersebut telah meninggal dunia. Ia juga menjadi panggilan tidak langsung kepada jiran dan saudara-mara untuk hadir memberikan sokongan, takziah, dan membantu keluarga si mati dalam urusan pengebumian serta persiapan adat.
Setelah itu, keluarga si mati akan menyediakan dulang khas yang dikenali sebagai Lampai Kapataiyan. Dulang ini berfungsi sebagai simbol penghormatan terakhir kepada si mati dan mengandungi barangan peribadi seperti pakaian, set barangan mandian, dan bunga-bungaan. Bilangan dulang lampai ditentukan berdasarkan jantina si mati dan mestilah dalam jumlah ganjil, iaitu lima dulang untuk wanita dan tujuh dulang untuk lelaki. Setiap dulang ini akan diberikan kepada individu tertentu yang dipilih oleh keluarga si mati, biasanya seseorang yang seumuran dengan si mati atau mempunyai hubungan rapat. Barangan dalam dulang lampai tersebut dianggap sebagai sedekah untuk si mati, dan penerimanya akan menjadi pemilik kepada barangan tersebut. Tradisi ini bukan sahaja melambangkan penghormatan kepada si mati tetapi juga mencerminkan elemen sedekah dalam ajaran Islam, yang bertujuan memperkukuh hubungan antara keluarga si mati dengan masyarakat sekitarnya.
Seiring dengan itu, ketika proses fardu dijalankan ke atas si mati, keluarganya akan menyediakan beberapa item adat seperti Sunduk (batu nisan), Payungan, Luhul, Dinding Hali, dan Panji-Panji. Kesemua item ini perlu disiapkan sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda untuk dibawa ke tapak pengebumian.
|
1.
|
Sunduk (batu nisan) |
Sunduk, khususnya, dianggap sebagai elemen mustahak dalam adat
pengebumian masyarakat Bajau kerana reka bentuk sunduk memainkan peranan penting dalam membezakan jantina si
mati. Untuk lelaki, sunduk
berbentuk bulat, manakala untuk wanita, ia berbentuk leper. Selain itu,
ketinggian sunduk juga mencerminkan
hierarki gender dan usia, di mana sunduk
lelaki mesti lebih tinggi berbanding wanita, manakala untuk kanak-kanak
kecil, sunduk dibuat lebih kecil
berbanding wanita dewasa. Adat dan pantang larang ini mencerminkan
kepercayaan simbolik yang mengaitkan ciri-ciri fizikal sunduk dengan penghormatan dan status si mati. |
|
2.
|
Payungan |
Payungan adalah payung khas yang digunakan untuk mengiringi jenazah dari
rumah ke tapak pengebumian. Secara tradisional, ia diperbuat daripada kayu
yang disusun bersilang membentuk rangka empat segi, dengan kain putih
diletakkan di bahagian atasnya sebagai penutup. Payung ini biasanya
diletakkan di bahagian kepala jenazah, dan pemegangnya adalah waris terdekat
si mati, melambangkan penghormatan dan tanggungjawab keluarga terhadap si
mati. Namun, dengan perubahan zaman, sesetengah keluarga kini memilih untuk
menggunakan payung biasa sebagai pengganti payungan tradisional. |
|
3.
|
Luhul |
Adalah sejenis kain putih yang akan direntangkan di atas kuburan
si mati dan menjadi sebahagian daripada pembungkus panji-panji. |
|
4.
|
Panji-Panji |
Panji-Panji adalah bendera-bendera kecil yang mengiringi mayat si mati ke
tanah perkuburan. Bagi suku Palauh, panji kematian mereka terdiri daripada
warna merah, kuning dan hijau. Ia dijahit secara bertingkat dalam angka
ganjil iaiti lima, tujuh, sembilan dan sebelas. Bagi suku Sikubung dan Ubian,
Panjinya tidak dibuat seperti
bendera, tetapi diperbuat seperti kayu dan ditutupi kain luhul |
|
5.
|
Dinding Hali |
Dinding Hali merujuk kepada kayu daripada jenis belian yang disusun di dalam
kuburan si mati untuk menutupi mayatnya. Lazimnya jumlah kayu ini adalah di
antara 15 hingga 20 batang sesuai dengan saiz kuburan si mati |

PPR Seri Tagasan, Kampung Tagasan, Jalan Semporna-Tawau, 91308 Semporna, Sabah