ISTIADAT PEMEGANG PUSAKA ADAT BUAPAK SUKU MUNGKAL SRI PILAH PERUT KIRI LUAK ULU MUAR

Adat Resam

Gambar

15

Video

ada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

186

Pengenalan dan sejarah

Istiadat Pemegang Pusaka Adat Buapak Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kiri Luak

Ulu Muar merupakan salah satu warisan penting dalam sistem pemerintahan dan

kekeluargaan masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Adat Perpatih yang

diamalkan di Negeri Sembilan mempunyai akar sejarah yang panjang, berakar

daripada budaya Minangkabau yang mula berhijrah dan menetap di kawasan ini

seawal abad ke-12 Masihi. Malah, jika dibandingkan dari sudut kronologi, amalan

Adat Perpatih ini telah wujud jauh lebih awal daripada sistem Common Law yang

hanya berkembang sekitar tahun 1066 Masihi di Eropah.

Adat Perpatih yang bersifat matrilineal meletakkan keturunan ibu sebagai asas

pewarisan dan pembentukan kelompok sosial. Masyarakat Adat Perpatih

dibahagikan kepada beberapa kelompok kekeluargaan utama yang dikenali

sebagai suku, kemudian dipecahkan kepada perut, ruang, dan seterusnya ke

peringkat rumpun yang lebih kecil. Setiap kelompok ini diketuai oleh pemimpin

adat masing-masing, iaitu:

 Kodim – ketua kelompok kekeluargaan rumpun (sublineage);

 Besar – ketua ruang (lineage);

 Buapak – ketua perut (subclan);

 Lembaga – ketua suku (clan).

Dalam hierarki ini, Buapak memainkan peranan penting sebagai pemimpin kepada

kelompok kekeluargaan perut yang terdiri daripada individu-individu yang berasal

daripada nenek moyang perempuan yang sama. Pemilihan Buapak dilaksanakan

secara musyawarah dalam kalangan ahli perut dan tanggungjawab utamanya

meliputi pengurusan adat dalam soal perkahwinan, perceraian, berkhatan,

bercukur rambut, serta urusan-urusan kekeluargaan lain. Kuasa Buapak hanya

terhad kepada perutnya sahaja, berbeza dengan Lembaga yang mengetuai

keseluruhan suku.

Seiring perkembangan zaman, adat dan istiadat pemilihan Buapak kekal sebagai

simbol pemeliharaan struktur sosial serta kelangsungan adat resam Suku Mungkal

di bawah naungan Luak Ulu Muar, Sri Pilah. Dalam konteks Luak Ulu Muar sendiri,

istiadat ini dipercayai telah dipraktikkan sejak abad ke-16, selari dengan

kemantapan sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan hasil penyesuaian daripada

pengaruh budaya Minangkabau.

Selain Buapak, institusi Ibu Soko juga memainkan peranan penting, khususnya

dalam kelompok wanita. Ibu Soko berfungsi untuk meneruskan jurai keturunan,

memastikan kesejahteraan ahli wanita dalam perut, serta menjadi rujukan dalam

ketentuan adat dan agama.

Secara keseluruhan, kewujudan institusi Buapak dalam Suku Mungkal bukan

sahaja menggambarkan kesinambungan tradisi, malah turut menzahirkan kearifan

tempatan masyarakat Negeri Sembilan dalam mengekalkan identiti budaya yang

unik sehingga ke hari ini.

Fungsi dan Peranan

Dalam sistem sosial Adat Perpatih, pelantikan Buapak merupakan suatu keperluan

penting bagi memastikan kesinambungan pengurusan kekeluargaan dalam

sesuatu perut. Buapak dilantik bagi mengetuai dan menjadi pemegang amanah

adat, berperanan menjaga keharmonian serta kelestarian adat resam yang diwarisi

secara turun-temurun mengikut sistem nasab ibu. Fungsi utama Buapak dalam

Suku Mungkal boleh dihuraikan seperti berikut:


1. Pengurusan Kekeluargaan dan Pusaka

Sebagai ketua keluarga dalam sesebuah perut, Buapak bertanggungjawab

mengurus hal ehwal kekeluargaan termasuk pembahagian harta pusaka

berdasarkan prinsip matrilineal. Pembahagian ini memastikan harta

warisan kekal dalam jurai keturunan ibu, selaras dengan amalan utama

Adat Perpatih.


2. Penyelesaian Pertelingkahan dan Pengantara

Buapak berperanan sebagai orang tengah dalam menyelesaikan sebarang

pertelingkahan atau konflik dalam kalangan ahli perut. Beliau menjadi

rujukan utama dalam menentukan penyelesaian secara musyawarah

dengan berpandukan kepada prinsip adat yang sedia ada.


4

3. Pendidikan dan Pembimbing Adat

Buapak berperanan membimbing dan mendidik anak buah supaya

memahami, menghayati dan mengamalkan adat resam serta nilai-nilai

budaya yang menjadi pegangan masyarakat Adat Perpatih. Beliau

memastikan setiap generasi baharu tidak terputus daripada ilmu dan

kefahaman adat.


4. Jalinan Hubungan dengan Lembaga dan Pihak Berkuasa

Selain mengetuai kelompok perutnya, Buapak turut menjadi wakil dan

penghubung kepada Lembaga Adat, Undang Luak, serta pihak berkuasa

agama dan negeri bagi menyampaikan sebarang hal berkaitan perut dan

suku.


5. Pemelihara Warisan Adat

Buapak memastikan kelangsungan amalan adat, khususnya dalam aspek

pelaksanaan upacara-upacara penting seperti perkahwinan, upacara

kematian, pelantikan ketua keluarga, upacara bercukur rambut, berkhatan,

dan lain-lain majlis adat suku.


6. Penentuan dan Pelantikan Ketua Keluarga

Melalui proses adat, pelantikan Buapak dilakukan secara khusus bagi

memastikan hanya individu yang layak, berilmu adat, dihormati serta

mendapat kepercayaan ahli perut diberikan amanah mengetuai perutnya.

Secara keseluruhan, peranan Buapak bukan sekadar sebagai ketua keluarga,

tetapi juga sebagai penjaga kedaulatan adat, pengukuh sistem kekeluargaan,

serta simbol kesinambungan warisan budaya yang membentuk identiti masyarakat

Adat Perpatih hingga ke hari ini.

Busana/ Aksesori

Busana yang dikenakan oleh Buapak dan para pembesar adat dalam Istiadat

Pemegang Pusaka Adat Buapak Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kiri Luak Ulu Muar

sarat dengan simbolisme kehormatan, martabat serta warisan budaya yang

diwarisi sejak zaman berzaman. Setiap helai pakaian, aksesori, dan perhiasan

yang dipakai membawa makna tersendiri berkaitan fungsi, darjat dan nilai adat

yang dipegang.

Busana Lelaki (Buapak dan Pembesar Adat)


1. Tengkolok (Destar)

Tengkolok ini diperbuat daripada songket berwarna hitam dengan nuansa

benang keemasan yang dililit mengikut gaya tertentu menjadi lambang

utama pangkat dan darjat seseorang pemegang adat.


2. Baju Melayu Cekak Musang

Busana utama berupa Baju Melayu Cekak Musang yang lazimnya adalah

berwarna hitam.


3. Samping Songket

Pakaian baju Melayu Cekak Musang lengkap dipadankan dengan

pemakaian samping dari material songket berwarna hitam dengan saduran

benang berwarna emas.


4. Kerongsang dan Butang Baju

Perhiasan halus ini memberikan simbol kekemasan, kemuliaan, dan

kehalusan seni warisan budaya masyarakat.

5. Tali Pinggang Bersongket

Digunakan untuk menambahkan kemasnya lilitan samping, selain menjadi

simbol tambahan kekemasan busana pemegang pusaka.


6. Keris

Pemakaian keris disemat pada bahagian tali pinggang bersongket sebagai

satu bentuk warisan sakral adat Perpatih.


7. Kain Selempang Adat

Disilang di bahu sebagai tanda rasmi penerimaan dan pengiktirafan

sebagai pemegang pusaka dan ketua perut.


8. Cincin Permata

Dipakai sebagai simbol warisan pusaka yang menandakan kesinambungan

amanah adat yang diperturunkan secara turun-temurun.


Busana Wanita (Ibu Soko dan Wakil Wanita Adat)

Bagi wanita yang terlibat secara rasmi dalam upacara, khususnya golongan Ibu

Soko dan wakil-wakil wanita adat:


1. Baju Kebaya Labuh/Baju Kurung

Menggunakan fabrik berwarna hitam dengan motif-motif yang halus atau

polos.


2. Samping Songket

Pakaian baju Ibu Soko juga dipadankan dengan pemakaian samping dari

material songket berwarna hitam dengan saduran benang berwarna emas

pada bahagian luar pemakaian baju


3. Telepok

Kain batik yang dihiasi di atas kepala. Suatu ketika dahulu, Telepok

dijadikan penutup rambut untuk menjaga aurat dan kemulian Ibu Soko 


4. Dokoh

Dipakai sebagai perhiasan dada secara bertingkat.


5. Kain Selempang Adat

Disilang di bahu sebagai tanda rasmi penerimaan dan pengiktirafan

sebagai pemegang Ibu Soko.

Keseluruhan busana ini bukan sekadar memperlihatkan keindahan visual, malah

merupakan lambang identiti, penghormatan kepada adat, serta kesepaduan

masyarakat dalam meneruskan kesinambungan budaya yang diwarisi.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Dalam Istiadat Pemegang Pusaka Adat Buapak Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kiri

Luak Ulu Muar, terdapat pelbagai peralatan dan bahan tradisional yang digunakan

dalam istiadat ini bagi melambangkan simbolik adat serta peneguhan amanah

yang bakal dipikul oleh Buapak. Setiap peralatan yang disediakan mempunyai

fungsi dan makna tertentu dalam menjayakan keseluruhan upacara. Berikut

adalah peralatan-peralatan yang disediakan dalam istiadat ini.


1. Bunga Manggar

Digunakan sebagai hiasan utama di pintu masuk atau laluan istiadat,

melambangkan kemeriahan, restu dan keberkatan upacara.


2. Tepak Sireh

Tepak sireh biasanya diisi dengan daun sirih, kapur, pinang, gambir dan

cengkih.


3. Bunga Pahar

Dihias dengan warna-warni dan diletakkan sebagai pelengkap seri majlis.


4. Sireh Junjung

Disusun indah secara bertingkat-tingkat sebagai simbol restu, adat sopan

santun dan penerimaan amanah oleh Buapak.


5. Merewar

Digunakan sebagai perhiasan tambahan yang melengkapkan estetika

ruang upacara.


6. Tabir Lelangit

Kain hiasan yang digantung pada bahagian atas ruang atau ruang

perlantikan. Ia melambangkan perlindungan serta pengiktirafan terhadap

pemegang adat.


7. Tilam Panda

Alas istiadat yang digunakan untuk meletakkan Buapak ketika menerima

amanah pelantikan.


8. Tikar Rompok

Digunakan sebagai alas duduk atau hamparan adat bagi memperlihatkan

kekemasan ruang upacara serta tanda penyucian tempat berlangsungnya

istiadat.


9. Lancang

Merupakan simbol perahu adat yang menandakan perjalanan amanah

yang kini dipikul oleh Buapak baharu.


10. Keris

Melambangkan kekuasaan, keberanian dan tanggungjawab. Keris

diserahkan secara rasmi kepada Buapak sebagai simbol pengabsahan

tanggungjawab yang diterima.


11. Pinggan Mangkuk Kaca

Digunakan dalam hidangan jamuan adat serta sebagai lambang

kesopanan dan kemuliaan dalam menerima tetamu.


12. Duit Masmana

Sebagai simbol keberkatan rezeki dan penyempurnaan adat, selain

digunakan dalam sesetengah adat penyerahan amanah sebagai adat

tanda terima.


Walaupun dalam adat pelantikan Buapak tiada ketetapan khusus mengenai keperluan alat muzik, namun dalam beberapa upacara tertentu, muzik tradisional

dimainkan bagi menyerikan suasana istiadat, membangkitkan kemeriahan serta

melambangkan keagungan majlis. Antara alat muzik yang sering digunakan

termasuklah:


1. Paluan Kompang

Digunakan untuk mengiringi perarakan masuk Buapak baharu, ahli-ahli

suku serta pembesar adat. .


2. Serunai

Tiupan serunai mengiringi perjalanan istiadat dengan alunan muzik

tradisional yang mendayu, memberikan nuansa sakral dan mengangkat

keindahan suasana upacara.


3. Nafiri

Nafiri biasanya dimainkan pada detik-detik kemuncak istiadat, berperanan

mewujudkan aura keagungan, kehormatan serta peneguhan martabat

pelantikan Buapak.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Istiadat Pemegang Pusaka Adat Buapak Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kiri Luak

Ulu Muar dilaksanakan secara tertib dan penuh adat, bermula dari persiapan awal

sehingga selesai majlis. Setiap segmen upacara membawa maksud simbolik

mendalam yang mencerminkan kehalusan budaya masyarakat Adat Perpatih

dalam meraikan pelantikan pemegang amanah adat.


Segmen Pertama: Perarakan Masuk

Upacara dimulakan dengan perarakan ketibaan Pemegang Pusaka Adat Buapak

yang diiringi oleh alunan muzik Pacik. Buapak yang baharu akan diiringi oleh anak-

anak buah serta para pengiring yang membawa beberapa peralatan adat

pelantikan iaitu:

 2 batang Bunga Manggar

 2 set Sireh Junjung

 2 set Tepak Sireh

 4 set Bunga Pahar

Perarakan ini merupakan simbol penghormatan dan kemeriahan adat,

memperlihatkan penerimaan masyarakat terhadap pemegang amanah adat yang baharu.


Segmen Kedua: Penyambutan di Rumah Adat

Setibanya perarakan di Rumah Adat (Anjung), Buapak baharu akan disambut oleh

Ibu Soko yang akan menaburkan Beras Kunyit sebagai simbol penyucian, restu

dan keberkatan. Di dalam anjung, telah sedia menunggu barisan pembesar adat

yang terdiri daripada:

 Dato Buapak Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kanan

 Orang Besar Waris

 Tok Waris

 Orang Seresam

 Orang Semenda

Mereka merupakan saksi-saksi utama yang berperanan dalam pelaksanaan adat

pelantikan ini.


Segmen Ketiga: Upacara Pelantikan

Setelah semua pihak mengambil tempat, acara rasmi pelantikan dimulakan:

 Pengisytiharan Pelantikan

Tok Waris membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan Buapak

Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kiri Luak Ulu Muar yang baharu.

 Pemakaian Songkok

Dato Buapak Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kanan akan mengenakan

songkok kepada Buapak yang baharu sebagai simbol pengesahan dan

penghormatan adat.


 Penyerahan Wang Masmana

Duit Masmana diberikan sebagai simbol keberkatan rezeki dan

penyempurnaan adat, selain digunakan dalam sesetengah adat

penyerahan amanah sebagai adat tanda terima.


 Penyerahan Keris

Tok Waris akan menyerahkan Keris Pusaka kepada Buapak sebagai

lambang kuasa, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul.

Segmen Keempat: Istiadat Menyembah
Setelah selesai acara pelantikan rasmi, istiadat diteruskan dengan acara
Menyembah oleh anak-anak buah Suku Mungkal Sri Pilah Perut Kiri Luak Ulu
Muar sebagai tanda taat setia. Acara ini akan dimulakan oleh Ibu Soko sebagai
wakil kaum wanita dalam suku.

Segmen Kelima: Penutup dan Jamuan
Majlis diakhiri dengan ucapan rasmi daripada Buapak Suku Mungkal Sri Pilah
Perut Kiri Luak Ulu Muar yang baharu, disusuli dengan jamuan makan adat
sebagai tanda kesyukuran serta simbolik perpaduan dalam masyarakat suku.

Tokoh dan Pencapaian

a) Nama Informan: Dr. Ahmad Rashidi Hassan

b) Alamat: Lot 1198, KM 20, Jalan Seremban - Kuala Pilah 71500 Tg. Ipoh

Negeri Sembilan

c) Nombor Telefon: 01165625009

d) Emel: kelabteaterasar@gmail.com

e) Persatuan: Kelab Teater Asar Negeri Sembilan

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan

Maamor, F. R., & Taif, B. (2019). Analisis visual buah buton di Luak Tanah

Mengandung, Negeri Sembilan sebagai simbol organisasi sosial dalam

masyarakat Adat Perpatih (Visual analysis on buah button in Luak Tanah

Mengandung, Negeri Sembilan as social organization symbol in Adat

Perpatih society). Asian Journal of Environment, History and Heritage, 3(2).

Radzi, N. S. M., & Yusoff, M. Y. M. (2023). Adat Perpatih di Luak Johol,

Negeri Sembilan: Peranan Ibu Soko. Jurnal Wacana Sarjana, 7(3), 1–13.

Salleh, R. M. (2017). Sejarah pengamalan Adat Perpatih di Negeri

Sembilan. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia.

Zakaria, A., & Berawi, M. M. (2017). Busana tradisional Negeri Sembilan.

Sintok: UUM Press.

Wain, A., & Saleh, N. (2024). Adat Perpatih in Malaysia: Nature, history,

practice, and contemporary issues. In Matrilineal, matriarchal, and

matrifocal Islam: The world of women-centric Islam (pp. 43–75). Cham:

Springer Nature Switzerland.


ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Dr. Ahmad Rashidi Hassan. Kelab Teater Asar Negeri Sembilan. Lot 1198,

KM 20, Jalan Seremban - Kuala Pilah 71500 Tg. Ipoh Negeri Sembilan.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Rosdianah binti Roman

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan
Kompleks JKKN Negeri Sembilan Jalan Sungai Ujong 70200 Seremban NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

06-767 6793/763 6308 / 761 0593

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!