Gambar

8

Video

tiada

Pelawat Hari ini

1

Jumlah Pelawat

1

Pengenalan dan sejarah

Adat menyambut menantu perempuan merupakan salah satu tradisi penting dalam masyarakat Melayu Kelantan yang masih diamalkan hingga kini. Adat ini juga dikenali sebagai majlis bertandang, iaitu majlis kunjungan rasmi pengantin perempuan ke rumah keluarga pengantin lelaki selepas tiga hari atau seminggu akad nikah atau persandingan di pihak perempuan. Majlis bertandang ini menjadi tanda penerimaan penuh keluarga lelaki terhadap menantu baharu, sekali gus mengukuhkan hubungan kekeluargaan yang telah terjalin melalui ikatan perkahwinan.


Tradisi ini telah diwarisi secara turun-temurun dan berakar daripada budaya Melayu serta pengaruh Islam yang menekankan penghormatan, persaudaraan, dan ikatan silaturrahim. Oleh itu, menyambut menantu bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk adat, tetapi juga sebagai simbol penerimaan, kasih sayang dan penghormatan terhadap seorang wanita yang kini menjadi sebahagian daripada keluarga baharu. Menantu perempuan bukan sekadar diterima sebagai isteri kepada anak lelaki, tetapi juga sebagai individu yang akan memainkan peranan penting dalam kelangsungan keluarga, sama ada dalam menjaga rumah tangga, memelihara kehormatan, mahupun membantu mengeratkan tali persaudaraan. 


Adat ini pada umumnya dilaksanakan secara tertutup dan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja. Suasana majlis lebih bersifat kekeluargaan, sederhana, dan penuh kesopanan tanpa perlu disertai dengan kemeriahan yang berlebihan. Lazimnya, acara bermula dengan pengantin perempuan yang diarak dengan penuh meriah oleh kaum keluarganya menuju ke rumah pengantin lelaki. Setibanya di perkarangan rumah, pengantin perempuan akan berjalan ke hadapan suaminya sebelum disambut secara rasmi oleh pihak lelaki. Kedua-dua mempelai kemudiannya diarak masuk ke dalam rumah sebagai simbolik penerimaan menantu perempuan ke dalam keluarga baharu. Setelah itu, majlis dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran yang dipimpin oleh tok imam atau orang tua yang dihormati, sebagai tanda memohon keberkatan dan kesejahteraan rumah tangga yang baru dibina. Selesai doa, jamuan makan dihidangkan kepada pengantin perempuan serta rombongannya, dengan menu tradisional Kelantan seperti nasi dagang, nasi tumpang, akok, bahulu, dan pelbagai juadah lain yang melambangkan keramahan serta penghormatan tuan rumah terhadap tetamu.


Sehingga kini, adat menyambut menantu perempuan masih terus diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan. Walaupun kebiasaannya dilaksanakan secara sederhana dan tertutup, terdapat juga keluarga yang memilih untuk meraikannya secara lebih besar-besaran, seakan-akan sebuah majlis perkahwinan di pihak perempuan. Dalam keadaan ini, sambutan akan diserikan dengan pelamin khas, jamuan makanan yang meriah, serta majlis persandingan bagi pasangan pengantin. Perubahan bentuk pelaksanaan ini mencerminkan adat ini yang mampu menyesuaikan diri mengikut kemampuan serta cita rasa generasi baharu, tanpa mengabaikan nilai asasnya sebagai lambang penerimaan, penghormatan, dan pengukuhan ikatan kekeluargaan.


Fungsi dan Peranan

Secara simbolik, adat ini mempunyai beberapa fungsi dan peranan penting dalam kalangan masyarakat Kelantan, antaranya adalah;


  1. Pengiktirafan rasmi

Adat menyambut menantu berfungsi sebagai tanda pengiktirafan rasmi terhadap menantu perempuan yang kini sah bergelar isteri kepada anak lelaki dalam sesebuah keluarga. Majlis ini memberi makna bahawa menantu tersebut telah diterima secara terbuka, bukan sahaja oleh suaminya, tetapi juga oleh seluruh keluarga besar pihak lelaki. Pengiktirafan ini penting kerana ia menandakan bahawa tanggungjawab terhadap seorang wanita kini berpindah daripada ibu bapanya kepada keluarga baharu. Dalam konteks adat Melayu Kelantan, pengiktirafan ini turut menegaskan bahawa perkahwinan bukan sekadar perjanjian hidup antara dua individu, tetapi pengikat yang melibatkan seluruh keluarga.


  1. Mengukuhkan hubungan kekeluargaan

Adat ini juga berperanan sebagai medium untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan antara kedua-dua belah pihak. Melalui majlis menyambut menantu, keluarga lelaki berpeluang untuk lebih mengenali ahli keluarga perempuan dengan lebih rapat, begitu juga sebaliknya. Kehadiran sanak saudara dan jiran tetangga menambah suasana kemeriahan serta membuka ruang interaksi yang mesra. Ia sekali gus mengekalkan nilai silaturrahim yang amat dititikberatkan dalam budaya Melayu, di mana perkahwinan dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan dua keluarga besar ke arah hubungan yang lebih erat dan harmoni.


  1. Melambangkan penghormatan

Menantu perempuan diraikan dengan penuh adat sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang. Dalam budaya Melayu Kelantan, menantu dianggap sebagai “anak sendiri” setelah masuk ke dalam keluarga baharu. Oleh itu, sambutan yang dibuat secara adat menggambarkan penerimaan dengan hati yang terbuka dan penghormatan yang tinggi terhadap maruah seorang wanita. Menyambut menantu dengan penuh tertib bukan sahaja memuliakan dirinya, tetapi juga menunjukkan rasa hormat keluarga lelaki terhadap keluarga perempuan yang telah membesarkannya. Tradisi ini melambangkan nilai budi, sopan santun, serta penghargaan yang tinggi dalam masyarakat Melayu.


  1. Mengelakkan salah faham

Selain itu, majlis menyambut menantu turut memainkan peranan penting dalam mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Dengan adanya majlis rasmi, status perkahwinan dan penerimaan menantu perempuan dapat diumumkan secara jelas kepada umum. Hal ini menutup ruang sebarang spekulasi atau fitnah yang mungkin timbul, seperti persoalan tentang kedudukan isteri dalam keluarga atau status perhubungan yang tidak rasmi. Oleh itu, adat ini berfungsi sebagai mekanisme sosial yang memastikan semua pihak mendapat kepastian, sekali gus menjaga maruah kedua-dua belah keluarga.


  1. Medium sosial

Adat menyambut menantu juga berperanan sebagai medium sosial yang menghubungkan keluarga baharu dengan masyarakat setempat. Majlis ini biasanya disertai oleh jiran tetangga, sahabat handai, dan kenalan rapat yang turut sama meraikan pasangan pengantin. Secara tidak langsung, ia menjadi wadah pengesahan sosial bahawa hubungan kekeluargaan baharu telah terbentuk. Kehadiran masyarakat dalam majlis ini melambangkan semangat kebersamaan, kerjasama, dan sokongan sosial terhadap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Fungsi ini membuktikan bahawa adat menyambut menantu bukan sekadar adat resam keluarga, tetapi juga manifestasi solidariti komuniti dalam budaya Melayu Kelantan.


Busana/ Aksesori

Dalam adat menyambut menantu di Kelantan, pemilihan busana dan aksesori yang dikenakan oleh pasangan pengantin bergantung kepada bentuk majlis yang dianjurkan oleh pihak keluarga lelaki. Ada keluarga yang memilih untuk mengadakan majlis secara tertutup dengan suasana sederhana, manakala ada juga yang memilih untuk meraikannya secara lebih meriah dengan mengadakan persandingan kali kedua. Perbezaan bentuk majlis ini turut mempengaruhi busana serta penampilan pengantin dan ahli keluarga.


Busana Ringkas (Majlis Tertutup untuk Keluarga Sahaja)

Jika majlis menyambut menantu dilaksanakan secara tertutup, pakaian yang dikenakan lebih ringkas dan praktikal.


  1. Pengantin lelaki 

  • Pada biasanya pengantin lelaki hanya mengenakan baju Melayu cekak musang atau teluk belanga bersama seluar panjang, 

  • Ia dipadankan dengan samping polos atau bercorak sederhana, serta songkok sebagai pelengkap penampilan. Aksesori tambahan seperti keris kebiasaannya tidak digunakan, kerana majlis lebih bersifat kekeluargaan dan santai.


  1. Pengantin perempuan

  • Pengantin perempuan pada Lazimnya memakai baju kurung moden atau jubah ringkas dengan warna lembut. 

  • Selain itu, pengantin perempuan akan memakai tudung polos atau selendang nipis yang dipadankan bagi menyerlahkan kesopanan si pengantin perempuan

  • Manakala aksesori yang digunakan sangat ringkas seperti  kerongsang kecil atau seutas gelang tangan.

Bagi ahli keluarga kedua-dua pihak pengantin pula, turut mengenakan pakaian sedondon yang sederhana, sekadar menonjolkan rasa kebersamaan dalam majlis.


Busana Lengkap (Persandingan Kali Kedua)

Sekiranya majlis menyambut menantu diadakan secara besar-besaran dengan persandingan kali kedua, busana yang dipilih lebih menyerupai pakaian rasmi pengantin.


  1. Pengantin lelaki 

  • Kebiasaanya  pengantin lelaki akan nmemakai baju Melayu lengkap dengan samping songket Kelantan, songkok, dan sebilah keris kecil yang diselitkan pada pinggang.

  • Warna pakaian selalunya lebih mewah seperti biru diraja, ungu, atau keemasan, melambangkan ketampanan pengantin lelaki sebagai raja sehari, cuma saja ia menjadi persandingan kali kedua.


  1. Pengantin perempuan 

  • Bagi pengantin perempuan pula, ia akan mengenakan persalinan yang lebih mewah seperti songket Kelantan bersulam benang emas, baju kurung moden eksklusif, atau kebaya labuh. 

  • Penampilan diserikan dengan aksesori lengkap seperti kerongsang tiga serangkai, subang, gelang tangan, cucuk sanggul berhias bunga segar, atau menggunakan tudung atau selendang yang sepadan dengan baju yang dipakai.

Keluarga kedua-dua pihak biasanya mengenakan pakaian sedondon yang disesuaikan dengan tema warna pengantin. Lazimnya, pemilihan warna ini dibahagikan kepada dua kelompok, satu untuk pihak pengantin lelaki dan satu lagi untuk pihak pengantin perempuan. Tujuannya adalah untuk memudahkan tetamu membezakan ahli keluarga dari kedua-dua belah pihak.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Berbeza dengan majlis akad nikah atau persandingan di pihak perempuan yang biasanya lebih sarat dengan persiapan dan barang hantaran, adat menyambut menantu perempuan di Kelantan tidak menekankan kepada penyediaan barang-barangan yang banyak. 


Sebaliknya, persediaan lebih tertumpu kepada pihak lelaki yang bertanggungjawab menyediakan jamuan makanan untuk meraikan kedatangan menantu baharu. Bentuk jamuan ini bergantung pada kemampuan serta bentuk majlis yang dipilih, sama ada sederhana atau besar-besaran. Selain itu, terdapat juga beberapa peralatan tambahan yang melengkapi majlis ini, sama ada dari pihak lelaki ataupun simbolik daripada pihak perempuan. Antara bahan-bahan dan peralatan yang lazim disediakan ialah:


  1. Jamuan Makanan

  • Fokus utama dalam adat menyambut menantu ialah penyediaan makanan oleh pihak lelaki.

  • Jika majlis dibuat secara besar-besaran, hidangan yang disediakan lebih meriah, bahkan ada keluarga yang sanggup mengorbankan seekor lembu atau kerbau untuk dijadikan lauk utama bagi para tetamu.

  • Namun, jika majlis dilaksanakan secara sederhana dan tertutup, makanan hanya disediakan pada kadar yang sesuai, mencukupi untuk keluarga dan tetamu rapat sahaja.


  1. Bunga Manggar

  • Bunga manggar berwarna-warni dijadikan hiasan utama dan biasanya dibawa oleh kanak-kanak atau saudara mara ketika mengiringi pengantin perempuan.

  • Ia berfungsi sebagai lambang kemeriahan, keceriaan, dan tanda meraikan kedatangan menantu baharu.


  1. Payung Pengantin

  • Menantu perempuan sering diiringi dengan payung yang dipegang oleh ahli keluarga atau pengapit.

  • Payung ini bukan sahaja melindungi pengantin daripada panas dan hujan jika majlis diadakan pada siang hari, tetapi juga berfungsi sebagai lambang penghormatan bagi menantu yang sedang diterima masuk ke dalam keluarga baharu.


  1. Kompang 

  • Ketibaan menantu perempuan sering diiringi dengan paluan kompang dan bacaan selawat.

  • Elemen ini menambahkan kemeriahan majlis serta memberikan tanda ketibaan menantu perempuan. 


  1. Simbolik Barang dari Pihak Perempuan

  • Pada zaman dahulu, pihak keluarga perempuan membawa beberapa barang simbolik seperti tikar mengkuang, tilam, bantal dan sebuah beg pakaian milik menantu perempuan.

  • Barang-barang ini menjadi lambang bahawa si menantu kini akan menetap bersama suaminya, sekaligus menandakan bahawa tanggungjawab terhadap dirinya berpindah daripada ibu bapanya kepada si suami.

  • Simbolik ini selari dengan ajaran Islam yang menegaskan bahawa seorang isteri kini berada di bawah jagaan dan tanggungjawab suaminya.

  • Walau bagaimanapun, amalan ini semakin jarang dilakukan pada masa kini, dan majlis menyambut menantu lebih menekankan aspek keraian serta pengisian adat secara umum.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pelaksanaan adat menyambut menantu perempuan di Kelantan berlangsung dengan penuh tertib dan mempunyai susunan langkah yang tertentu. Prosesnya boleh dihuraikan seperti berikut:


  1. Persiapan Awal

  • Majlis biasanya dimulakan pada waktu pagi, sekitar jam 10 pagi, dan boleh berlanjutan sehingga tengah hari atau petang.

  • Menantu perempuan akan disiapkan dengan persalinan busana khas yang telah dipilih oleh pihak keluarganya.


  1. Perarakan Menantu Perempuan

  • Pengantin perempuan diarak dari perkarangan jalan masuk menuju rumah pengantin lelaki.

  • Perarakan ini diiringi oleh paluan kompang dan nyanyian lagu-lagu tradisional untuk menyambut ketibaan menantu.

  • Ahli keluarga perempuan akan mengapit menantu; ada yang mengipas, ada yang memayungi, manakala yang lain turut mengiringi perarakan secara berkumpulan.


  1. Penyambutan oleh Pihak Lelaki

  • Di pihak lelaki, keluarga akan menunggu di perkarangan rumah untuk menyambut rombongan pengantin perempuan.

  • Bapa dan ibu pengantin perempuan secara simbolik menyerahkan anak mereka kepada pengantin lelaki.

  • Serentak dengan itu, ibu bapa pengantin lelaki akan menyambut kedua-dua ibu bapa pengantin perempuan sebagai tanda hormat dan penerimaan.


  1. Masuk Rumah dan Bersanding

  • Kedua-dua pengapit dari pihak lelaki dan perempuan akan mengiringi pasangan pengantin masuk ke dalam rumah.

  • Jika keluarga lelaki menyediakan pelamin, pasangan akan dibawa ke pelamin untuk duduk bersanding sebagai simbol rasmi penerimaan menantu.


  1. Doa Kesyukuran dan Ucapan

  • Majlis dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran yang dipimpin oleh tok imam atau orang tua yang dihormati.

  • Dalam sesetengah keluarga, pengantin lelaki akan diminta memberikan ucapan ringkas untuk memperkenalkan isterinya kepada keluarga pihak lelaki.


  1. Jamuan Makan dan Persembahan Keramaian

  • Setelah doa selesai, jamuan makan dimulakan. Tetamu dijamu dengan pelbagai hidangan, sama ada sederhana atau meriah bergantung pada kemampuan tuan rumah.

  • Suasana majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan tradisional seperti dikir barat, nyanyian, atau pertunjukan silat.


  1. Penutup Majlis

  • Setelah jamuan selesai, rombongan keluarga perempuan akan berangkat pulang.

  • Pihak keluarga lelaki lazimnya menyediakan buah tangan atau ole-ole sebagai tanda penghargaan kepada keluarga pihak perempuan.

  • Menantu perempuan kemudiannya akan tinggal bersama suaminya, menandakan bermulanya kehidupan baharu dalam rumah tangga mereka.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Department of National Heritage Malaysia. (n.d.). Majlis menyambut menantu [Cultural mapping entry]. Retrieved September 21, 2025, from https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/900


Fan, Y., & Silahudin, S. A. (2024). Sorotan kajian antropologi budaya masyarakat Melayu di Kelantan: A review of cultural anthropology studies on the Malay community in Kelantan. Jurnal Melayu Sedunia, 7(1), 37–50.


Hannissania. (2015, January 22). Majlis kesyukuran sambut menantu di Kelantan. Retrieved September 21, 2025, from https://hannissania.blogspot.com/2015/01/majlis-kesyukuran-sambut-menantu-di_22.html


Hassim, S. Z. (2017). Bahasa cerminan nilai budi dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu di Kelantan, Malaysia (Doctoral dissertation, Universiti Putra Malaysia).


Interpretasi, D. (n.d.). Makanan hantaran dalam perkahwinan Melayu Kelantan: Adat [Unpublished manuscript].


Mba2u. (2018, September). Adat pertunangan perkahwinan orang Kelantan. Retrieved September 21, 2025, from https://mba2u.blogspot.com/2018/09/adat-pertunangan-perkahwinan-orang.html


Nazi, M. F. B. M. (n.d.). Amalan khurafat dalam kerukunan rumahtangga di kalangan masyarakat Melayu: Kajian di daerah Peringat, Kelantan [Unpublished manuscript].


NikUze Bride2b. (2010, April). Adat orang Kelantan. Retrieved September 21, 2025, from https://nikuze-bride2b.blogspot.com/2010/04/adat-orang-kelantan.html

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Wan Mohd Rosli bin Wan Sidik

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan
Kompleks JKKN Kelantan Lot 1993, Seksyen 49,Tanjong Chat, 15200, Kota Bharu, KELANTAN DARUL NAIM

09-741 7000

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!