PASEMBOR

Makanan Tradisional

Gambar

0

Video

tiada

Pelawat Hari ini

1

Jumlah Pelawat

48

Pengenalan dan sejarah

Pasembor atau Pasembur, juga dikenali sebagai Salad India Malaysia, ia merupakan hidangan tradisional yang terkenal di Pulau Pinang. Istilah pasembor adalah khusus digunakan di utara Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang, di mana ia dianggap sebagai ikon makanan jalanan. Di negeri-negeri lain, ia lebih dikenali sebagai Rojak Mamak. Menurut (Yeap et. al., 2019) dan (Zulkifli et. al., 2018) Pulau Pinang dikenali sebagai syurga makanan dari pelbagai kaum dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri akan kewujudan makanan-makanan dari negeri tersebut. 

 

Hidangan ini adalah rojak yang terdiri daripada cucur udang, hirisan timun dan bawang, ubi kentang, tauhu, taugeh, udang kering, ketam goreng berempah dan sotong goreng yang dihidangkan bersama kuah kacang yang manis dan berempah. Kuahnya hampir sama seperti kuah gado-gado ataupun kuah sate dan hidangan ini biasanya dimakan di waktu petang sebagai menu minum petang dan sebagai menu sayuran jika tidak dicampur dengan makanan laut.


Pasembor dipercayai berasal daripada komuniti India Muslim. Terdapat teori yang mengaitkan namanya dengan pendatang dari India, mungkin dari sebuah daerah bernama Chembur di Mumbai. Sejarahnya berkait rapat dengan penjaja kaum India beragama Islam (Mamak) yang telah berniaga di Pulau Pinang sejak berdekad lalu.


Secara tradisional, penjaja Mamak menjadikan motosikal sebagai gerai kaunter penyediaan dan penjualan hidangan ini. Kebanyakan penjaja sekarang bergerak menggunakan lori kecil dan banyak terdapat di kawasan Padang Kota Lama, Pulau Pinang dan di kawasan Gurney Drive. Hidangan ini telah menjadi salah satu makanan tradisional terkenal di Pulau Pinang yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan cita rasa tempatan. Pada masa kini, rojak mamak boleh didapati di semua kedai yang dibuka oleh komuniti India Musilm di seluruh Malaysia. 




Foto 1: Pasembor

Sumber: Personal gallery Tan Jee Jin


Fungsi dan Peranan

Pada asalnya, pasembor Pulau Pinang adalah makanan jalanan yang murah dan sesuai untuk penduduk tempatan. Kini, ia telah menjadi simbol makanan tradisional Pulau Pinang yang menarik pelancong yang ingin merasai cita rasa tempatan yang unik. Bukan itu sahaja, pasembor Pulau Pinang sering ditampilkan dalam pesta makanan dan digunakan untuk mempromosi kebudayaan serta menunjukkan kepelbagaian masakan Malaysia.

Peralatan/ Bahan-Bahan


  • Cucur udang

  • Timun mayang

  • Ubi kentang rebus

  • Tauhu

  • Taugeh

  • Udang kering

  • Ketam goreng berempah

  • Sotong goreng

  • Bawang besar

  • Kuah kacang (kacang tanah, cili kering, gula, air asam jawa dan rempah)

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan


  1. Semua bahan seperti cucur udang, kentang rebus, tauhu, udang kering, ketam dan sotong digoreng terlebih dahulu.

  2. Timun, bawang dan taugeh dibersihkan serta dihiris halus.

  3. Untuk kuah kacang, bahan seperti kacang tanah goreng, cili kering, dan rempah digiling halus dan dimasak sehingga pekat bersama gula dan air asam jawa.

  4. Semua bahan hidangan disusun di atas pinggan dan disiram dengan kuah kacang secukupnya sebelum dihidangkan.

Sumber Rujukan

MalaysianChefs. (2024, April 26). Pasembor – Famous Malaysian cuisine. https://malaysianchefs.com/pasembor-famous-malaysian-cuisine/


Wan-Mohd-Isa, M. A., & Abdul-Majid, H. (2009). Heritage route along ethnic lines: The case of Penang. Historic Environment, 22(2), 28–34. https://www.aicomos.com/wp-content/uploads/Heritage-route-along-ethnic-lines-the-case-of-Penang.pdf


Yeap, J. A. L, Ong, K. S. G, Yapp, E. & Ooi, S. K. (2019). Hungry for more:  

Understanding young domestic travellers’ return for Penang street food. British  

Food Journal. 122(3).


Zulkifli, A. H., Ismail, W. R. W., Hashim, N. H., & Marzuki, M. (2018). In Traditional 

food blunders: Kuih bahulu losing its authentic touch. Technology, Science, 

Soial Science Humanities TESSHI 2018, Penang, Malaysia


Yeap, J. A. L, Ong, K. S. G, Yapp, E. & Ooi, S. K. (2019). Hungry for more:  

        Understanding young domestic travellers’ return for Penang street food. British  

        Food Journal. 122(3).


Zulkifli, A. H., Ismail, W. R. W., Hashim, N. H., & Marzuki, M. (2018). In Traditional 

       food blunders: Kuih bahulu losing its authentic touch. Technology, Science, 

       Soial Science Humanities TESSHI 2018, Penang, Malaysia



Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan


Kembali Ke Atas