Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
RAWATAN KAYAP
Adat Resam
Gambar
12
Video
tiada
Pelawat Hari ini
44
Jumlah Pelawat
817
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Penyakit Kayap
Sumber: Pony Wang diambil daripada istock.com
Kayap atau nama saintifiknya Herpes Zoster merupakan penyakit kulit yang berpunca daripada pengaktifan semula virus Varicella-Zoster, iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air. Virus ini kekal di dalam sistem saraf selepas seseorang pulih daripada cacar air dan boleh kembali aktif apabila sistem imun menjadi lemah akibat faktor usia, tekanan, penyakit kronik atau rawatan tertentu. Dari segi perubatan moden, kayap ditandai oleh kewujudan ruam yang berisi cecair, gatal, pedih, dan sakit pada saraf yang terlibat. Tempoh jangkitan biasanya antara 10 hingga 14 hari sebelum kering, namun dalam kes tertentu boleh berlanjutan sehingga sebulan. Bagi golongan tua, kayap boleh meninggalkan kesan neuralgia pasca herpetik (Post-Herpetic Neuralgia, PHN), iaitu kesakitan saraf yang berpanjangan dan sukar dirawat sepenuhnya.
Dalam tradisi Melayu, kayap ditandai dengan beberapa jenis yang berbeza mengikut bentuk ruam dan tahap keseriusannya. Antara jenis yang sering disebut ialah kayap api, kayap tompok, kayap seledar dan kayap harimau. Namun yang paling kerap dirujuk dalam masyarakat ialah kayap ular dan kayap sambung. Kayap ular dianggap lebih berbahaya kerana lazimnya bermula di bahagian belakang badan dan merebak ke dada, malah ada kalanya menyerang bahagian dahi serta mata. Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan radang konjunktivitis dan menjejaskan penglihatan kerana virus menyerang saraf di sekitar mata. Jenis kayap sambung pula dianggap berbahaya jika “bertemu hujung” iaitu ruam bercantum mengelilingi tubuh, yang dipercayai boleh membawa maut. Walaupun begitu, setiap kayap menunjukkan corak ruam yang berbeza , ada yang berbentuk tompokan kecil di kulit, ada juga yang muncul berderet seperti selendang melilit badan. Walau dalam apa bentuk sekalipun, serangan kayap tetap menimbulkan rasa sakit, gatal, demam, sengal badan, hilang selera makan, serta meninggalkan parut selepas sembuh.
Dari segi rawatan moden, pesakit kayap lazimnya diberikan ubat antivirus seperti Acyclovir, Valacyclovir atau Famciclovir yang berfungsi mempercepatkan proses penyembuhan jika dimulakan dalam 72 jam pertama jangkitan. Ubat antibakteria atau antikulat kadangkala diperlukan jika terdapat jangkitan sekunder pada kulit, sementara ubat antiradang topikal seperti Potassium Permanganate digunakan untuk mengeringkan gelembung air. Ubat tahan sakit termasuk NSAIDs seperti Paracetamol, Ibuprofen, atau Diclofenac pula membantu mengurangkan rasa sakit dan pedih. Walau bagaimanapun, dalam kes Neuralgia Pasca Herpetik (kayap kronik), rawatan moden sering kurang berkesan untuk melegakan kesakitan jangka panjang sehingga menyebabkan sebahagian pesakit mencari rawatan alternatif bagi menambah keselesaan.
Oleh yang demikian, masyarakat Melayu sejak dahulu mengamalkan pelbagai bentuk rawatan tradisional kayap untuk mengurangkan kesakitan dan mencegah kayap daripada merebak. Rawatan ini melibatkan petua-petua penggunaan bahan semula jadi yang mudah diperolehi di rumah dan terapi tubuh. Antara yang terkenal ialah penggunaan daun senduduk, daun keladi candik, daun semambu, daun sirih, dan daun duit-duit. Sesetengah pengamal juga menggunakan bawang putih, kunyit atau baking soda sebagai sapuan luaran untuk mengeringkan ruam dan mengurangkan gatal. Selain bahan dapur dan herba ini, kaedah berbekam turut diamalkan dalam sesetengah masyarakat untuk mengeluarkan “darah kotor” dan dipercayai membantu mempercepatkan penyembuhan.
Dengan adanya pelbagai pendekatan ini, jelas bahawa rawatan kayap dalam masyarakat Melayu bukan sekadar berasaskan aspek perubatan fizikal, tetapi juga melibatkan pemahaman budaya dan kepercayaan setempat. Walaupun rawatan moden telah terbukti secara saintifik dalam merawat gejala dan mencegah komplikasi, rawatan tradisional tetap diamalkan sebagai pelengkap kerana sifatnya yang lebih dekat dengan alam semula jadi dan diwarisi turun-temurun sebagai sebahagian daripada identiti perubatan tradisional Melayu.
Rawatan kayap secara tradisional bukan sahaja tertumpu kepada aspek perubatan fizikal, tetapi juga berperanan dalam memberi keselesaan, mencegah komplikasi, serta mempercepatkan pemulihan. Antara fungsi utama rawatan kayap tradisional ialah:
Meredakan Simptom
Rawatan kayap secara tradisional lazimnya melibatkan penggunaan ramuan herba yang dipercayai mempunyai sifat penyejuk dan antiradang. Amalan ini berfungsi untuk mengurangkan keradangan pada kulit serta memberikan kelegaan terhadap simptom utama seperti kesakitan, rasa pedih, dan kegatalan yang timbul akibat kerosakan pada saraf dan ruam yang merebak di permukaan kulit. Dari perspektif masyarakat Melayu, fungsi ini penting bukan sahaja untuk mengawal tahap ketidakselesaan pesakit, tetapi juga bagi memulihkan keseimbangan tubuh yang dianggap terganggu akibat jangkitan tersebut.
Mempercepatkan Pemulihan
Rawatan kayap seperti sapuan ramuan herba atau penggunaan mandian berasaskan tumbuhan perubatan dipercayai dapat mempercepatkan proses pengeringan ruam serta lepuh berair yang timbul akibat jangkitan kayap. Proses ini bukan sahaja membantu mengurangkan ketidakselesaan pesakit, tetapi juga mempercepatkan tempoh pemulihan keseluruhan dengan memendekkan fasa akut penyakit. Secara tidak langsung, keberkesanan rawatan tradisional ini dilihat menyokong pemulihan kulit yang terjejas, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan sekunder serta parut yang berpanjangan.
Mengelakkan Komplikasi
Dalam konteks amalan perubatan tradisional Melayu, rawatan kayap diyakini mampu mengurangkan risiko berlakunya komplikasi ini dengan mengekang perkembangan penyakit pada peringkat awal. Secara khusus, rawatan tersebut bertujuan menghalang ruam daripada terus merebak, terutamanya dalam kes kayap ular, yang secara tradisi dianggap berbahaya sekiranya ruam bercantum mengelilingi tubuh. Dengan itu, fungsi rawatan tradisional bukan sahaja bersifat meredakan simptom semasa, tetapi juga dilihat sebagai langkah pencegahan terhadap implikasi jangka panjang yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit
Rawatan tradisional kayap dalam masyarakat Melayu menggunakan pelbagai bahan semula jadi, khususnya tumbuhan ubatan dan bahan dapur yang dipercayai mempunyai sifat penyejuk, antiradang, dan antiseptik. Walaupun sebahagiannya masih memerlukan bukti saintifik untuk mengesahkan keberkesanannya, amalan ini telah diwarisi turun-temurun sebagai ikhtiar untuk mengurangkan kesakitan dan mempercepatkan pemulihan. Antara ramuan yang sering digunakan termasuklah:
Daun Sireh
Daun sireh sering digunakan kerana sifat antiradang dan antiseptiknya. Ekstrak daun sirih dipercayai mampu mengurangkan kegatalan serta menghapuskan mikrob pada kulit. Ia juga dikenali sebagai penawar semula jadi untuk pelbagai masalah kulit seperti jerawat dan alergi.
Daun Senduduk Bulu (Melastoma malabathricum)
Daun senduduk juga sering digunakan kerana sifatnya yang cepat menyembuhkan luka. Hal ini kerana, ia mengandungi flavonoid, tanin, dan saponin yang bersifat antiradang. Ekstrak daun ini mempunyai sifat antibakteria dan antikulat semula jadi yang berfungsi menghalang jangkitan sekunder pada lepuh atau ruam kayap, sekali gus mempercepatkan proses pemulihan.
Bawang Putih
Bawang putih mengandungi sebatian semula jadi yang bersifat antiseptik dan antiradang. Penyapuan ekstraknya dipercayai dapat meredakan kesakitan pada kawasan kulit yang dijangkiti kayap. Walaupun lebih terkenal sebagai rawatan tradisional panau, ia turut digunakan untuk kayap dalam sesetengah amalan perubatan kampung.
Kunyit
Kunyit, sama ada dalam bentuk serbuk atau parutan kunyit hidup, telah lama digunakan sebagai rawatan kulit tradisional. Kandungan kurkumin di dalamnya dipercayai membantu meredakan kerengsaan, mengurangkan keradangan, dan mempercepatkan pemulihan kulit akibat kayap.
Daun Cili dan Kapur Makan
Kombinasi ini dipercayai mempunyai kesan panas dan penyejuk secara serentak, yang berfungsi mengurangkan rasa gatal serta mempercepatkan proses pengeringan ruam. Selain itu, campuran tersebut juga diyakini membantu memudarkan kesan kayap dalam tempoh beberapa hari, sekali gus memberikan kelegaan kepada pesakit.
Daun Duit-Duit
Daun duit-duit mengandungi sebatian aktif seperti asiaticoside dan madecassoside yang bersifat antiradang. Ia membantu mengurangkan bengkak, kemerahan, serta kerengsaan pada kulit yang dijangkiti kayap. Selain itu, ekstrak daun ini terkenal dengan sifat penyembuhan luka kerana mampu merangsang pembentukan kolagen dan mempercepatkan proses regenerasi kulit. Ini menjadikannya sesuai untuk mengeringkan ruam kayap dan mengurangkan risiko parut.
Daun Delima dan Bedak Sejuk
Daun delima yang ditumbuk bersama bedak sejuk tanpa pewangi digunakan khusus bagi kayap setompok. Ekstrak daun delima mengandungi sebatian bioaktif seperti tanin, flavonoid, dan alkaloid yang mampu menghalang pertumbuhan bakteria dan kulat pada kulit. Ini membantu mencegah jangkitan sekunder pada ruam kayap dan ramuan ini dipercayai dapat mengeringkan kayap dalam masa tiga hari.
Campuran Daun Bunga Melur, Daun Delima, Daun Setawar dan Daun Mambu:
Apabila ditumbuk bersama dan digunakan sebagai tampalan atau pes, campuran empat jenis daun ini diyakini memberi kesan sinergi: ia menyejukkan kulit, mengeringkan lepuh, mengurangkan rasa sakit dan gatal, serta mempercepatkan proses penyembuhan. Dalam amalan tradisional, ramuan ini turut disertai dengan pantang larang makanan tertentu (seperti makanan bergoreng atau “gatal”) bagi mempercepatkan kesan pemulihan.
Pokok Keladi Candik (Keladi Merbah)
Air daripada batang pokok keladi ini digunakan sebagai sapuan pada kawasan kayap. Dalam kepercayaan masyarakat, sapuan ini mampu menyebabkan kayap mudah mengelupas dan kering pada keesokan harinya kerana Air atau getah yang diperoleh daripada batang keladi candik dipercayai dapat mempercepatkan proses pengeringan ruam kayap. Apabila disapu pada kulit, ia membantu lepuh cepat kering dan mudah mengelupas.
Serbuk Penaik (Baking Soda)
Serbuk penaik dicampurkan bersama tepung jagung untuk dijadikan pes, kemudian disapu pada kawasan kulit yang dijangkiti. Kaedah ini dipercayai dapat mempercepatkan pengeringan lepuh kayap. Walau bagaimanapun, sifatnya yang agak menghakis menjadikan penggunaannya perlu berhati-hati kerana boleh menjejaskan lapisan kulit.
Setiap ramuan rawatan kayap disediakan dengan cara tertentu bagi memastikan keberkesanan dan keselesaan penggunaannya. Berikut adalah kaedah penyediaan berdasarkan bahan-bahan utama yang digunakan:
Daun Sirih
Ambil beberapa helai daun sirih yang segar lalu cuci hingga bersih
Rebus daun sireh dalam periuk berisi air hingga mendidih.
Sejukkan air rebusan, kemudian gunakan sebagai air mandian atau cucian pada ruam.
Daunnya pula ditumbuk sehingga lumat lalu tampalkan terus pada kawasan kayap.
Biarkan mengering untuk satu ketika, lalu bilas dengan air bersih
Buat 2-3 kali sehari sehingga kayap mengering
Daun Senduduk Bulu
Petik beberapa helai daun senduduk bulu yang segar.
Cuci dengan air bersih bagi menghilangkan kotoran.
Tumbuk hingga lumat sehingga mengeluarkan air.
Ambil pes daun tersebut dan tampalkan pada kawasan kayap.
Tutup dengan kain bersih atau balutan nipis untuk mengekalkan kelembapan.
Biarkan selama beberapa jam, kemudian bersihkan dengan air suam.
Bawang Putih
Kupas beberapa ulas bawang putih segar.
Cuci bersih, kemudian tumbuk hingga halus.
Campurkan dengan sedikit air bersih untuk membentuk pes. Sesetengah orang meletakkan garam bukit sehingga cairan bawang putih keluar dengan likat.
Sapukan lapisan nipis pada kawasan kayap.
Biarkan seketika (10–15 minit) dan bilas dengan air bersih.
Kunyit Hidup
Ambil sepotong kunyit hidup, cuci hingga bersih.
Parut atau tumbuk kunyit sehingga halus.
Campurkan dengan sedikit kapur makan hingga menjadi pes.
Sapukan nipis pada kawasan kayap.
Biarkan beberapa jam sebelum dibersihkan.
Ulang perbuatan ini sebanyak dua kali sehari iaitu selepas subuh dan sebelum maghrib.
Daun Cili dan Kapur Makan
Petik beberapa helai daun cili segar.
Cuci dan ramas bersama sedikit kapur makan hingga bercampur rata.
Ambil ramuan tersebut dan sapukan pada kawasan kayap.
Biarkan ia menyejuk dalam tempoh masa 7 hingga 10 miniti. Elakkan meletakkan kapur terlalu lama agar tidak menambahkan keradangan pada kayap.
Lakukan dua kali sehari untuk hasil yang lebih baik.
Daun Duit-Duit
Petik beberapa helai daun duit-duit segar.
Cuci bersih, kemudian tumbuk hingga lumat.
Ambil daun tumbuk beserta airnya, lalu sapukan pada kayap.
Balut kawasan tersebut dengan kain bersih semalaman.
Buka balutan pada keesokan hari dan bersihkan.
Daun Delima dan Bedak Sejuk
Ambil beberapa helai daun delima segar, cuci bersih.
Tumbuk daun hingga halus.
Campurkan dengan sedikit bedak sejuk tanpa pewangi sehingga menjadi pes.
Tampalkan pes ini pada kawasan kayap (khusus untuk kayap setompok).
Biarkan beberapa jam, kemudian bersihkan.
Buat 2 kali sehari untuk hasil yang lebih baik.
Campuran Daun Bunga Melur, Delima, Setawar dan Semambu
Sediakan pucuk atau daun segar daripada keempat-empat tumbuhan ini.
Basuh dengan bersih.
Tumbuk bersama hingga lumat.
Campurkan dengan sedikit bedak sejuk untuk membentuk pes pekat.
Sapukan pes tersebut pada kawasan kayap setiap 2–3 jam sekali.
Ulangi rawatan ini setiap hari sehingga ruam kering.
Pokok Keladi Candik
Potong batang pokok keladi candik segar.
Biarkan air atau getahnya keluar.
Sapukan air tersebut terus pada kawasan kayap.
Biarkan kering secara semula jadi.
Ulangi sekali sehari sehingga kayap mula mengelupas.
Serbuk Penaik (Baking Soda)
Ambil sedikit serbuk penaik dan campurkan dengan tepung jagung.
Tambahkan air secukupnya untuk membentuk pes pekat.
Sapukan pes tersebut pada lepuh kayap.
Biarkan hingga kering, kemudian bersihkan dengan air.
Sebatian ini jangan dibiarkan terlalu lama agar tidak menjadi kulit kemerahan dan keradangan.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Abascal, K. (2005). Herbs for treating herpes zoster infections. Alternative & Complementary Therapies, 11(3), 131–134. https://doi.org/10.1089/act.2005.11.131
Ahmad, K., & Ariffin, M. F. M. (2014). Terapi ruqyah berasaskan al-Quran: Analisis signifikannya dalam rawatan penyakit. Jurnal Darul Quran, 18, 87–125.
Ahmad, S. (2002). Traditional medicine in Southeast Asia with special reference to Malaysia and Indonesia. In Geography, culture and education (pp. 51–64). Springer Netherlands. https://doi.org/10.1007/978-94-017-2925-6_6
Ariff, K. M., & Beng, K. S. (2006). Cultural health beliefs in a rural family practice: A Malaysian perspective. Australian Journal of Rural Health, 14(1), 2–8. https://doi.org/10.1111/j.1440-1584.2006.00756.x
Cleveland Clinic. (n.d.). Varicella-Zoster virus (chickenpox & shingles). Cleveland Clinic. Retrieved September 3, 2025, from https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/varicella-zoster-virus
Hello Doktor. (2021, December 30). Ubat kayap cara kampung: Mana satu yang berkesan? Hello Doktor. Retrieved September 3, 2025, from https://hellodoktor.com/sihat-bergaya/masalah-kulit/ubat-kayap-cara-kampung/
Hijikata, Y., Yasuhara, A., & Sahashi, Y. (2005). Effect of an herbal formula containing Ganoderma lucidum on reduction of herpes zoster pain: A pilot clinical trial. The American Journal of Chinese Medicine, 33(4), 517–523. https://doi.org/10.1142/S0192415X05003065
Ramli, K., & Yusoff, S. H. (2019). Perubatan Nabi: Kefahaman terhadap sunnah dan praktis perawat. ‘Abqari Journal, 17(1), 97–106.
Sirap Limau. (2020, May 15). Cara merawat kayap: Petua tradisional untuk hilangkan kayap. Sirap Limau. Retrieved September 3, 2025, from https://siraplimau.com/cara-merawat-kayap/
Yarnell, E., & Abascal, K. (2005). Herbs for treating herpes zoster infections. Alternative & Complementary Therapies, 11(3), 131–134. https://doi.org/10.1089/act.2005.11.131
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



