Tarian Singa merupakan salah satu warisan budaya masyarakat Cina yang kaya dengan simbolisme, falsafah, dan nilai estetika tinggi. Di Malaysia, Tarian Singa telah menjadi manifestasi seni persembahan yang signifikan dalam konteks perayaan budaya, khususnya ketika sambutan Tahun Baru Cina, upacara pembukaan premis, serta acara khas yang berkait dengan kemakmuran dan kesejahteraan. Secara umumnya, terdapat dua variasi utama Tarian Singa yang popular iaitu Tarian Singa Selatan (Nan Shi) dan Tarian Singa Utara (Bei Shi), yang masing-masing menonjolkan perbezaan dari segi gaya gerakan, bentuk kepala singa, dan iringan muzik.
Salah satu cabang paling memukau dalam seni persembahan ini ialah Tarian Singa Tiang atau lebih dikenali sebagai High Pole Lion Dance. Ia merupakan bentuk evolusi moden Tarian Singa Selatan yang memfokuskan kepada elemen akrobatik dan kemahiran teknikal tinggi. Dalam persembahan ini, penari beraksi di atas tiang-tiang logam setinggi antara 6 hingga 9 kaki, yang tersusun dalam pelbagai formasi mencabar. Gerakan melompat dari satu tiang ke tiang yang lain, berdiri seimbang di atas ruang sempit, serta lakonan mimik muka singa menjadikan persembahan ini bukan sekadar tontonan visual, malah demonstrasi kekuatan fizikal, ketahanan mental, dan kerjasama luar biasa antara penari bahagian kepala dan bahagian ekor.
Tarian Singa Tiang dipercayai berakar umbi daripada zaman Dinasti Ming (1368–1644) dan Qing (1644–1912) di China. Ia berkembang sebagai satu bentuk seni mempertahankan diri yang dipersembahkan oleh ahli-ahli persatuan kung fu tempatan. Ketika masyarakat Cina mula berhijrah ke Asia Tenggara pada abad ke-19, seni ini turut dibawa bersama — khususnya oleh imigran dari wilayah Guangdong dan Fujian. Di Malaysia, tarian ini mengalami perkembangan pesat terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi komuniti Cina seperti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru. Kuala Lumpur, khususnya, telah muncul sebagai pusat kecemerlangan bagi Tarian Singa Tiang dengan wujudnya banyak kumpulan profesional yang telah memenangi pertandingan antarabangsa.
Oleh yang demikian, Tarian Singa Tiang bukan sahaja berfungsi sebagai seni persembahan, tetapi juga sebagai ritual spiritual dan budaya. Dalam kepercayaan tradisional masyarakat Cina, singa merupakan simbol kekuatan, keberanian, dan pelindung daripada roh-roh jahat. Justeru itu, persembahan ini diyakini dapat menghalau bala, membawa tuah, dan menyucikan ruang, menjadikannya amalan penting semasa perayaan atau pembukaan perniagaan.
Secara tradisional, Tarian Singa memiliki fungsi yang sangat penting dalam kepercayaan dan budaya masyarakat Cina. Ia dipercayai mampu menghalau roh jahat, menolak bala, serta membawa tuah dan kemakmuran. Persembahan ini lazim diadakan semasa musim perayaan utama seperti Tahun Baru Cina dan Cap Goh Mei, serta dalam acara penting seperti perkahwinan, pembukaan premis perniagaan baharu, dan upacara memperingati tokoh atau nenek moyang. Fungsi spiritual ini berpaksikan kepercayaan bahawa singa merupakan simbol suci yang memiliki kekuatan kosmik untuk mengimbangi tenaga negatif, sesuai dengan prinsip feng shui dalam kosmologi Cina (Tan, 2000).
Lebih daripada sekadar persembahan ritual, tarian ini juga berperanan sebagai medium penguatan identiti budaya masyarakat Cina di Malaysia, terutamanya dalam komuniti bandar dan luar bandar. Menurut Wong dan Tan (2015), Tarian Singa menjadi elemen penting dalam proses pemeliharaan warisan tak ketara (intangible heritage) yang diperturunkan secara generasi, dan turut berfungsi sebagai ruang pendidikan tidak formal bagi golongan muda untuk memahami nilai, disiplin, dan struktur sosial masyarakat mereka.
Dalam konteks moden dan kontemporari, Tarian Singa Tiang atau High Pole Lion Dance telah berkembang menjadi satu bentuk seni persembahan profesional dan kompetitif. Pertandingan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Tarian Singa Dunia (World Lion Dance Championship) yang dianjurkan di Malaysia dan negara serantau telah membuka ruang untuk pengiktirafan bakat serta kemahiran tinggi kumpulan tarian dari seluruh dunia. Setiap pasukan dinilai dari aspek ketepatan gerak, keselarasan, kreativiti lakonan singa, kesukaran lompatan akrobatik, serta nilai artistik dan teknikal. Elemen-elemen ini menunjukkan bagaimana tarian ini bukan sekadar ritual, tetapi juga satu bentuk seni persembahan profesional yang kompleks dan teknikal.
Dalam Tarian Singa Tiang, busana dan aksesori bukan sahaja berperanan sebagai elemen estetik, tetapi juga berfungsi untuk menyokong keselamatan fizikal, ekspresi dramatik dan pemaknaan simbolik.
Busana Dalaman Penari
Penari yang berada di dalam kostum singa memakai pakaian longgar dan fleksibel yang biasanya diperbuat daripada fabrik kapas atau bahan menyerap peluh. Ia bertujuan memberikan keselesaan dan kebebasan pergerakan ketika melompat dan berpusing. Namun kini, lazimnya penari lebih selesa menggunakan T-Shirt cotton yang dicetak dengan nama kumpulan persembahan masing-masing. Selain itu, penari akan memakai pelindung lutut dan siku (knee & elbow pads) yang diperbuat daripada “Busa” berkualiti tinggi atau bahan getah untuk mengurangkan impak kecederaan sewaktu pergerakan lasak seperti melompat dari tiang ke tiang. Di samping itu, penari akan memakai kasut akrobatik khas (high-grip shoes) beralas getah bagi memastikan cengkaman maksimum pada permukaan tiang yang licin dan sempit. Kasut ini direka dengan “Sol Antiselit” dan ringan agar pergerakan lebih tangkas dan selamat.
Kostum Singa
Kostum singa biasanya diperbuat daripada kain baldu berwarna terang (seperti merah, kuning, hijau atau hitam) yang melambangkan elemen-elemen keberanian, kebijaksanaan dan kuasa spiritual. Kostum tersebut akan dihiasi dengan bulu sintetik dan sisipan sisik bercorak untuk mencipta rupa yang menyerupai haiwan Singa. Bulu ini juga memantulkan cahaya ketika bergerak agar menghasilkan kesan visual yang dramatik ketika menari. Sementara itu, kaca-kaca kecil dijahit pada dahi singa yang dikatakan berperanan untuk menghalau roh jahat, menurut kepercayaan tradisi Taoisme. Manakala tanduk dan janggut panjang di kepala singa merujuk kepada karakter dalam cerita rakyat Cina, termasuklah legenda tiga pahlawan utama dalam Romance of the Three Kingdoms:
Merah (Guan Yu): Melambangkan kesetiaan dan keberanian
Kuning (Liu Bei): Melambangkan kebijaksanaan dan keadilan
Hitam (Zhang Fei): Melambangkan kekuatan dan ketegasan
Setiap warna membawa makna tersendiri dan pemilihan warna bukan sekadar pilihan estetik tetapi mencerminkan watak atau semangat yang ingin dizahirkan oleh kumpulan persembahan.
Aksesori Ikonik Kostum Singa
Loceng kecil dijahit pada bahagian ekor atau badan kostum singa. Bunyi loceng ini dianggap membangkitkan aura mistik, sekaligus memberi isyarat kehadiran “roh singa” dalam persembahan. Mata singa yang bergerak (berkelip atau berputar) dikawal dari dalam oleh penari bahagian kepala. Gerakan ini memberikan kesan realistik dan ekspresi emosi seperti marah, takut, gembira atau berjaga-jaga. Mulut yang boleh dibuka dan ditutup bagi melambangkan interaksi singa dengan penonton, menambahkan elemen dramatik dalam persembahan.
Alat Muzik Tradisional dalam persembahan Tarian Singa Tiang lazimnya dimainkan secara langsung dan berpaksikan tradisi muzik rakyat Cina Selatan, menggunakan tiga alat utama, iaitu:
Gendang (Shigu, 鼓)
Merupakan instrumen utama persembahan. Ia menandakan rentak, tempo, dan perubahan emosi dalam setiap babak pergerakan singa. Pukulan gendang sering mencerminkan ekspresi singa dari pergerakan perlahan ketika mengintai sehingga detik dramatik sewaktu lompatan akrobatik. Alat muzik ini diperbuat daripada kulit haiwan yang direntang pada bingkai kayu besar dan dimainkan dengan sepasang kayu pemukul khas.
Gong (Bo, 鑼)
Gong logam besar yang menghasilkan bunyi gema dalam digunakan untuk menandakan kemunculan singa, transisi dramatik atau kemuncak persembahan. Bunyi gong juga melambangkan tenaga langit dan bumi yang mencetuskan keseimbangan spiritual menurut falsafah Taoisme.
Simbal (Luo, 鈸)
Simbal dimainkan dengan teknik memukul dua permukaan cakera logam, mencipta kesan bunyi dinamik yang seiring dengan pergerakan pantas dan lompatan. Alat muzik ini biasanya digunakan untuk memberi penekanan dramatik pada gerakan mata, mulut, dan ekspresi kostum singa.
Kesemua alat ini dimainkan dalam keselarasan kompleks yang dikenali sebagai "tao lu" (套路) iaitu satu bentuk koreografi muzik yang disesuaikan dengan setiap babak persembahan.
Tarian ini lazimnya dipersembahkan oleh dua orang penari sepasang di mana mereka akan saling bekerjasama dalam satu kostum singa tersebut. Penari di bahagian kepala bertanggungjawab terhadap ekspresi wajah singa seperti mata berkelip dan mulut terbuka-tutup. Manakala penari di bahagian belakang pula mengawal imbangan tubuh serta menggerakkan ekor singa. Penari ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong kestabilan penari hadapan terutamanya ketika melakukan aksi akrobatik di atas tiang.
Dalam konteks persembahan tarian Singa Tiang di Malaysia, satu bentuk persembahan yang memerlukan koordinasi tinggi, kemahiran akrobatik, dan pemahaman mendalam terhadap struktur persembahan yang tersusun perlu dilakukan. Setiap persembahan merangkumi beberapa fasa utama yang membentuk perjalanan dramatik dan visual seekor ‘singa’ yang dimainkan dalam bentuk persembahan tarian. Berikut merupakan perincian bagi setiap fasa:
Persiapan dan Pengaturan Persembahan
Sebelum persembahan bermula, ruang pentas atau kawasan persembahan akan dipersiapkan dengan teliti. Tiang-tiang logam tahan karat dengan ketinggian yang berbeza (antara 1.5 hingga 3 meter) akan dipasang secara kukuh pada platform yang stabil dan rata. Susunan tiang tersebut lazimnya membentuk laluan yang mencabar seperti zig-zag, bentuk bulatan, atau grid tertentu bagi memberi kesan dramatik kepada aksi akrobatik yang akan dipersembahkan.
Di samping itu, peralatan muzik seperti gendang besar (shigu), gong (bo), dan simbal (luo) akan disusun berhampiran kawasan persembahan. Penyusuan alat muzik ini penting kerana muzik akan dimainkan secara langsung dan menjadi pemandu utama kepada rentak, emosi, serta transisi dalam persembahan. Pemain muzik juga perlu berlatih bersama penari bagi memastikan gerakan dan irama berada dalam keserasian yang tinggi. Persediaan ini juga merangkumi pemanasan badan penari dan semakan keselamatan peralatan termasuk kostum dan kelengkapan teknikal.
Permulaan Persembahan
Fasa awal persembahan bermula dengan upacara menitik mata singa, iaitu satu tradisi penting dalam kepercayaan budaya Cina. Dalam upacara ini, mata pada kepala singa akan dititiskan dakwat merah menggunakan berus khas oleh tokoh dihormati (seperti pemilik premis atau tetamu kehormat) sebagai simbol pemberian “roh” atau “nyawa” kepada singa. Ia turut mengandungi unsur spiritual untuk memohon keberkatan dan menolak bala.
Setelah selesai, persembahan rasmi dimulakan dengan pukulan gendang yang perlahan dan ritmik sebagai tanda kemunculan singa. Penari akan membuat kemunculan dramatik ke dalam ruang persembahan, membawa kepala dan badan kostum singa sambil diiringi oleh bunyi gendang dan simbal yang semakin rancak. Gerakan awal ini menggambarkan singa yang baru “dihidupkan” dengan bergerak secara hati-hati, menjelajah kawasan, dan menilai suasana sekeliling. Kadangkala, penari akan membuat ucapan atau pengenalan ringkas kepada khalayak penonton sebagai pembuka cerita dan pengenalan watak.
Pendakian Tiang dan Aksi Akrobatik
Selepas singa ‘berkenalan’ dengan ruang persembahan, tarian akan memasuki fasa aksi utama iaitu pendakian tiang dan aksi akrobatik. Penari akan mula memanjat tiang pertama secara berperingkat dan berhati-hati. Aksi-aksi akrobatik yang dilakukan termasuk melompat dari satu tiang ke tiang yang lain sama ada berdiri tegak di atas dua kaki, membuat putaran 360 darjah, melompat dalam posisi duduk, atau berpusing di hujung tiang yang sempit.
Keupayaan teknikal yang tinggi amat diperlukan dalam fasa ini kerana segala pergerakan dilakukan pada ketinggian yang mencabar. Dalam masa yang sama, penari di bahagian kepala akan mengawal gerakan mata, mulut, dan telinga kostum singa bagi mewujudkan mimik emosi seperti rasa ingin tahu, keterujaan atau reaksi terhadap halangan. Setiap gerakan diselaraskan dengan irama muzik, di mana rentak dan tempo berbeza menandakan perubahan mood dan fasa gerakan. Contohnya, pukulan tiga bintang untuk gerakan perlahan, lima bintang untuk pergerakan dramatik dan tujuh bintang untuk aksi puncak atau kejutan.
Interaksi dan Elemen Tambahan
Fasa ini memberi ruang kepada penari untuk berinteraksi dengan penonton dan menyuntik elemen naratif dalam persembahan. Singa akan turun dari tiang dan bergerak ke arah penonton seperti mengambil “Angpau” (sampul merah) yang ditawarkan oleh hadirin sebagai simbolik pembawa rezeki.
Kadangkala, persembahan akan menyelitkan babak cerita yang dramatik seperti singa melawan raksasa ataupun melawan halangan (yang diwujudkan dengan prop), sekaligus bermain dengan unsur magis seperti asap dan cahaya. Penari juga boleh kadangkala membaling buah limau atau sayur-sayuran ke arah penonton sebagai simbol keberkatan dan kesuburan. Dalam masa yang sama, penari mengekalkan perwatakan singa yang bermain-main, menari, melompat secara rawak atau bersembunyi dengan menampilkan sisi lucu dan mesra singa sebagai pelindung masyarakat. Elemen tambahan ini menjadikan persembahan lebih menarik, tidak statik, dan menyuntik interaktiviti antara seni dan komuniti.
Penutup Persembahan (Cai Qing – Makan Sayur)
Fasa terakhir adalah penutup yang penuh simbolik dan dianggap sebagai kemuncak persembahan. Singa akan menghampiri satu susunan sayur hijau (selalunya sawi atau selada) yang telah diletakkan bersama angpau merah. Aksi "makan sayur" atau Cai Qing (採青) dilakukan dengan gaya dramatik. Singa akan memerhatikan sayur tersebut dengan tindakan mengibas kepala, menggigit sayur lalu “memakan” dan akhirnya melontarkan sebahagian daripadanya kepada penonton.
Aksi ini melambangkan keberkatan, perlindungan, dan kemakmuran yang bakal dilimpahkan kepada penonton dan tempat tersebut. Pukulan gong yang kuat dan panjang menjadi tanda penutupan dan penari akan turun dari tiang secara berhati-hati sebelum tunduk memberi penghormatan kepada penonton. Persembahan diakhiri dengan suasana meriah dan penuh tepukan sebagai tanda kejayaan dan tuah telah dibawa oleh singa. Menurut Tan (2000), Cai Qing berasal dari budaya agraria masyarakat Cina yang mengaitkan hasil bumi hijau dengan keberkatan daripada “Tu Di Gong” (Dewa Tanah) yang menjadikannya satu ritual penting dalam tarian singa.
Simon Ang Leong Yew. Persatuan Tarian Singa & Naga Jalan Alor, Jalan Alor, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur. 28 Februari 2025
Beng, T. S. (2007). The lion dances to the fore: Articulating Chinese identities in Penang and Medan. 国立民族学博物館調査報告, 65, 63-78.
Bunnell, T. (2014). Book review: The Other Kuala Lumpur: Living in the Shadows of a Globalising Southeast Asian City. Urban Studies, 52(1), 195–197. https://doi.org/10.1177/0042098014555615
Han-Qiao, Y. (2007). On modernization development of lion dance and dragon dance as national traditional sports in view of culture structure. Beijing Tiyu Daxue Xuebao. http://en.cnki.com.cn/Article_en/CJFDTOTAL-BJTD200707010.htm
Hardwick, P. A. PANEL: SUSTAINABILITY OF THE PERFORMING ARTS IN SOUTHEAST ASIA: CURRENT CONCERNS AND NEW DIRECTIONS—PART I CELESTIAL HORSES IN THE LION CITY: MALAY IDENTITY AND THE SUSTAINABILITY OF KUDA KEPANG IN SINGAPORE. the ICtM Study Group on perforMInG ArtS of SoutheASt ASIA, 81.
Matusky, P., Beng, T. S., Pugh-Kitingan, J., & Hood, M. INTERCULTURALISM AND THE MOBILITY OF THE PERFORMING ARTS.
McGuire, C. (2015). The Rhythm of Combat: Understanding the role of music in performances of traditional Chinese martial arts and lion dance. MUSICultures, 42(1). https://journals.lib.unb.ca/index.php/MC/article/download/24252/28044
Tan, C. B. (2004). Chinese Overseas: Comparative cultural issues. Hong Kong University Press. Dalam http://ci.nii.ac.jp/ncid/BA70260214
Tan, S. B. (1989). The Performing Arts in Malaysia: state and society. Asian Music, 21(1), 137. https://doi.org/10.2307/834076
Ying, L. F., & Chiat, L. F. (2016). Dramatizing 1Malaysia in contemporary Chinese lion dance. Asian Theatre Journal, 33(1), 130-150.
Zhi, L. H. (2021). Music Accompaniment in Kun Seng Keng Lion Dance During Genting World Lion Dance Championship From 1994-2018 (Master's thesis, University of Malaya (Malaysia)).