GENDANG URUMEE MELAM
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

​Urumee Melam merupakan alat seni pergendangan tradisional yang berakar umbi daripada warisan budaya masyarakat Tamil di India Selatan, khususnya dari wilayah Tamil Nadu. Ia tergolong dalam keluarga alat membranofon, iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui getaran membran atau kulit yang direntangkan. Urumee Melam mempunyai badan berbentuk silinder yang diperbuat daripada kayu atau logam, dan kedua-dua hujungnya dilitupi dengan kulit haiwan. Ia dimainkan dengan menggunakan tangan dan kayu pemukul, dan biasanya disangkut pada badan pemain dengan tali atau kain bagi membolehkan ia dimainkan secara bergerak. Teknik pukulan yang digunakan membolehkan pemain menghasilkan ritma kompleks dan nada bergulung yang berterusan, menjadikannya berbeza daripada kebanyakan alat pergendangan lain.


Alat gendang ini diperkenalkan ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 melalui gelombang penghijrahan masyarakat India yang datang untuk bekerja di sektor perladangan dan pembinaan. Sejak itu, Urumee Melam telah menjadi sebahagian penting dalam upacara keagamaan Hindu di Malaysia, terutamanya dalam sambutan Thaipusam, Pongal, dan perarakan kavadi. Irama dan pukulan yang mengasyikkan daripada gendang ini sering kali mencipta suasana rohani yang mendalam, menyatukan komuniti, serta menyemarakkan semangat keagamaan dalam kalangan penganut.


Kini, Urumee Melam tidak hanya dihargai oleh masyarakat India, tetapi juga diminati oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang ingin memahami, menghargai dan memelihara keunikan warisan budaya ini. Ia menjadi contoh nyata bagaimana seni muzik tradisional bukan sahaja mampu menghubungkan manusia kepada kepercayaan dan akar budayanya, tetapi juga sebagai jambatan perpaduan dan kefahaman antara komuniti.


Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, Urumee Melam digunakan dalam upacara keagamaan dan perayaan rakyat. Pada zaman dahulu, alat ini turut berperanan sebagai alat komunikasi di medan perang, di mana ritma yang dimainkan berfungsi menyampaikan mesej tertentu, menaikkan semangat para pejuang, dan menyatukan pasukan di tengah-tengah kekacauan.


Dalam konteks keagamaan, Urumee Melam amat sinonim dengan upacara pemujaan dewa-dewa Hindu seperti Dewa Murugan, Dewa Kali dan Dewa Ayyappan. Bunyi gendangnya dipercayai mampu membangkitkan tenaga ilahi, memberi semangat rohani kepada para penganutnya serta membawa pembersihan batin dan pengusiran roh jahat. Persembahan ini sering dikaitkan dengan keadaan trans, di mana penganut akan memasuki keadaan rohaniah yang mendalam melalui irama dan getaran gendang.


Selain itu Urumee Melam memainkan peranan penting dalam pelbagai adat istiadat seperti sambutan perayaan Thaipusam iaitu mengiringi perarakan kavadi dan penziarah yang menunaikan nazar;  perayaan Pongal yang disambut sebagai pesta menuai, iringan gendang menambahkan kemeriahan dan rasa syukur; Perkahwinan tradisional India; serta Upacara sembahyang di kuil yang berfungsi sebagai iringan muzik yang menambahkan suasana kesucian dan pengabdian.


Dalam konteks kontemporari, fungsi dan peranan Urumee Melam telah berkembang daripada peranan keagamaan kepada menjadi sebahagian daripada persembahan untuk Festival kebudayaan antara kaum, Persembahan seni di sekolah, universiti dan acara rasmi, serta Pameran seni dan warisan budaya negara. Persembahan-persembahan ini secara tidak langsung dapat membantu memperkenalkan warisan budaya India kepada masyarakat pelbagai kaum, seterusnya meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap seni tradisional. Ini sekaligus menjadikannya sebagai medium diplomasi budaya dan alat perpaduan nasional dalam kerangka masyarakat majmuk Malaysia.


Busana/ Aksesori

Walaupun tumpuan utama adalah pada permainan alat muzik, penampilan pemuzik juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keaslian persembahan tradisional, terutamanya dalam konteks upacara keagamaan dan perayaan kebudayaan. Di Malaysia, pemain muzik Urumee Melam lazimnya mengenakan pakaian tradisional lelaki India yang dikenali sebagai:


Jippa – sejenis baju panjang tradisional berlengan panjang atau pendek, selalunya diperbuat daripada kain kapas atau sutera mengikut kesesuaian acara. Warna jippa boleh terang atau putih polos, bergantung kepada konteks persembahan.


Veshti – kain panjang putih yang disarungkan dan dililit di bahagian pinggang hingga ke buku lali, menyerupai kain pelikat atau kain seluar. 


Tunde / Angavastram – sehelai kain panjang yang dililit atau diselempangkan pada bahu atau pinggang

Gaya pemakaian ini bukan sahaja memberi keselesaan semasa persembahan yang lasak dan penuh tenaga, tetapi juga menonjolkan nilai kesopanan dan kebersihan spiritual yangg selaras dengan sifat keagamaan Urumee Melam. Pemuzik turut memakai Gelang tangan tembaga atau perak, Bindi atau Vibhuti di dahi sebagai tanda keagamaan, Kalung atau rantai leher, Anklet (kaki) dalam konteks tarian atau persembahan penuh.


Sementara itu, walaupun pemuzik lelaki Urumee Melam tidak memakai solekan dalam bentuk kosmetik seperti penari, namun penandaan keagamaan seperti Vibhuti (garis putih daripada abu suci) atau Kumkum (titik merah) pada dahi adalah perkara yang lazim. Ini bukan sahaja menunjukkan penghormatan terhadap tradisi agama Hindu, tetapi juga menzahirkan kesiapan rohani sebelum melakukan persembahan yang dianggap suci.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Urumee merupakan gendang berkepala dua (double-headed drum) yang berbentuk seperti jam pasir (hourglass-shaped). Reka bentuk ini membolehkan pemain memainkan kedua-dua belah gendang secara serentak menggunakan tangan atau kayu pemukul, menghasilkan irama berlapis yang dinamik dan bertenaga. Badan gendang urumi diperbuat daripada kayu nangka (jack wood) yang terkenal kerana kekuatannya dan keupayaannya menghasilkan resonans bunyi yang baik. Kayu nangka juga digunakan dalam pembuatan alat muzik klasik India lain seperti mrdangam, menjadikan ia pilihan utama untuk ketahanan dan kualiti akustik.


Kedua-dua permukaan gendang (kepala kiri dan kanan) dilitupi dengan kulit lembu yang direntangkan dengan rapi di sekeliling gelang logam nipis. Di Malaysia, kualiti kulit yang digunakan adalah menggunakan kulit kambing. Tradisi lama menggunakan tali kulit yang dijalin dalam corak bentuk V di sekeliling badan gendang untuk mengikat dan menegangkan kedua-dua permukaan. Walau bagaimanapun, dalam versi moden, tali nilon digunakan sebagai alternatif kerana lebih tahan cuaca dan mudah dijaga. Tali ini juga membantu memudahkan penyesuaian ketegangan (tuning) pada permukaan gendang.


Ciri menarik dalam rekabentuk urumi ialah kehadiran gelung-gelung kecil daripada tali atau logam yang diikat pada setiap pasangan tali. Gelung ini boleh digerakkan ke atas atau ke bawah bagi melaraskan ketegangan kulit gendang, sekaligus menyesuaikan bunyi yang dihasilkan. Ini sangat berguna, terutamanya dalam musim lembap atau hujan, di mana kulit gendang cenderung menjadi kendur dan menjejaskan kualiti bunyi. Sementara itu, gendang ini dimainkan secara melintang, disangkut dengan tali kain di bahu, membolehkan pemain memukulnya sambil berdiri atau berjalan.

Pemain urumi menggunakan dua jenis kayu pemukul yang diperbuat daripada rotan bengkok. Kepala kiri dipukul menggunakan pemukul kecil, manakala kepala kanan digesek atau digosok dengan pemukul yang lebih besar, menghasilkan bunyi “mengeluh” atau “moaning” yang ikonik dan berfungsi dalam mencetuskan keadaan trans dalam ritual tertentu. Menariknya, pemukul rotan di Asia Tenggara biasanya lebih panjang dan lebih nipis berbanding versi India, bagi memudahkan penghasilan bunyi khas ini.

Untuk membantu dalam penghasilan nada dan kelancaran geseran, permukaan kepala gendang turut dilumurkan dengan minyak. Di India, minyak jarak (castor oil) digunakan, manakala di Malaysia, pemain urumi cenderung menggunakan minyak yang diperoleh daripada biji serangkotai, yang dikenali secara tempatan sebagai "Mye" atau "ink". Jika tiada sumber minyak tersebut, getah buah nangka juga digunakan sebagai alternatif.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Urumee di Malaysia terbahagi dalam tiga saiz berbeza — tinggi (high pitch), sederhana (medium pitch), dan rendah (bass). Gendang bersaiz sederhana biasanya memainkan peranan utama dalam seksyen urumi dan juga dalam keseluruhan ensambel. Gendang tinggi dan rendah pula bertindak sebagai pengiring sokongan, menghasilkan kombinasi irama yang kaya dan berlapis.


Sebelum persembahan bermula, gendang urumi akan disangkut di bahu pemain menggunakan tali kain, membolehkan ia dimainkan secara berdiri atau sambil berjalan, terutamanya dalam konteks perarakan keagamaan seperti Thaipusam. Pemain urumi menggunakan dua jenis kayu pemukul dalam persembahan mereka — satu batang rotan kecil yang dikenali sebagai ahdi kucci untuk memukul sebelah kiri gendang, manakala dua batang rotan melengkung dikenali sebagai ellukucci digunakan untuk sebelah kanan. Teknik pukulan dan gesekan ini membolehkan penghasilan bunyi yang dinamik, bergema dan unik, termasuk bunyi “mengeluh” yang menjadi ciri khas urumi melam dan sering dikaitkan dengan unsur trans atau keadaan spiritual dalam kalangan penganut Hindu.


Persembahan biasanya melibatkan beberapa orang pemain urumi dengan pelbagai saiz gendang — tinggi, sederhana dan rendah. Gendang bersaiz sederhana biasanya menjadi pemimpin irama utama, manakala gendang tinggi dan rendah memberikan sokongan lapisan ritma yang berbeza. Iringan alat muzik tradisional lain seperti thavil dan nadaswaram menjadikan persembahan lebih bertenaga dan memukau. Keseluruhan irama ini bukan sahaja menghidupkan suasana, tetapi juga membangkitkan semangat komuniti, menzahirkan kesatuan budaya dan keagamaan.


Antara lagu yang dimainkan dalam persembahan Urumee Mellam ini adalah;


Lagu-lagu Devosi Hindu (Devotional Songs)

Nyanyian bersifat pemujaan atau penyembahan, dinyanyikan semasa persembahan atau semasa trans berlaku, antaranya:


“Murugan Potri” – pujian kepada Dewa Murugan

“Om Muruga”, “Vel Vel”, dan “Arohara” – seruan rohani yang diulang-ulang dalam bentuk chanting semasa perarakan

“Thevaram” dan “Thiruppugazh” – nyanyian Tamil suci yang digunakan dalam pemujaan


Lagu Iringan Kavadi / Thaipusam

Semasa perarakan kavadi, sesetengah kumpulan Urumee Melam mungkin menggunakan lagu-lagu tradisional Tamil yang membangkitkan semangat seperti:

“Kavadi Chindu” – lagu rakyat berkisar kisah pemujaan kepada Murugan

“Saravana Bhava”, “Kanda Sashti Kavasam” – lagu perlindungan dan kekuatan rohani


Lagu-lagu Rakyat Tamil (Folk Songs)

Kadangkala, dalam acara kebudayaan atau perayaan komuniti, kumpulan Urumee Melam mungkin mempersembahkan lagu-lagu rakyat Tamil seperti:

“Aattam Paatu” – lagu iringan tarian

“Kummi Paatu” – lagu dalam bentuk berbalas pantun, digunakan dalam majlis perkahwinan 

“Dappaankuthu”  – genre moden percussive dance music dari Tamil Nadu yang kadang-kadang diserap dalam persembahan moden urumee


Tokoh dan Pencapaian

Shobanbabu a/l Munian. Persatuan Pemuzik Urumee Melam Malaysia, No.13-1 Jalan PJS 5/28 A, Petaling Jaya Commercial Centre, 46150 Petaling Jaya,Selangor Darul Ehsan. 28 Februari 2025

Sumber Rujukan

Fadzil, S., Ross, V., & Azizol, A. (2017, December). Symbolic Roles of Music in Kavadi Rituals. In 7th International Conference on Postgraduate Education, UniversitiTeknologi MARA (Vol. 1, pp. 1342-1348).


Lai, G. (2019). FROM FOLK MUSICIANS TO POPULAR ICONS: REFASHIONING A STRUGGLING TAMIL FOLK MUSIC TRADITION IN SINGAPORE. THE INTERNATIONAL COUNCIL FOR TRADITIONAL MUSIC STUDY GROUP ON PERFORMING ARTS OF SOUTHEAST ASIA, 147.


Sykes, J. (2015, September). Sound studies, religion and urban space: Tamil music and the ethical life in Singapore. In Ethnomusicology Forum (Vol. 24, No. 3, pp. 380-413). Routledge.


Rajathurai, Y. (2007). Hindu Caste Music in the Malaysian Thaipusam Festival.


Lokasi