MEK MULUNG
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Mek Mulung merupakan sebuah bentuk teater tradisional Melayu yang unik, menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian, dan muzik tradisional dalam satu persembahan yang harmonis. Walaupun pada pandangan pertama ia tampak mudah dan bersahaja, namun setiap gerakan, lirik lagu, dan naratif yang dibawakan mempunyai makna mendalam serta nilai estetika dan spiritual yang tinggi. Kesenian ini telah diwarisi secara lisan dan amali dari generasi ke generasi, menjadikannya salah satu khazanah warisan budaya tak ketara yang amat berharga di negeri Kedah Darul Aman.


Berasal dari Mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah, nama “Mek Mulung” dipercayai berasal daripada gabungan dua perkataan “Mek”, satu panggilan mesra kepada gadis atau anak dara dalam loghat utara, dan “Mulung” pula merujuk kepada nama sebuah hutan tempat asal persembahan ini mula dipentaskan. Dalam konteks tradisi lisan, Mek Mulung mengangkat kisah rakyat dan legenda dalam bentuk penceritaan dramatik, dilagukan dalam bahasa Melayu Kedah yang sarat dengan peribahasa, sindiran, dan nasihat.


Menurut lagenda yang menjadi naratif asas persembahan ini, kisahnya bermula di kerajaan Ligor, apabila seorang puteri raja yang baru dilahirkan telah diramalkan oleh seorang nujum akan membawa petaka kepada negara dan ayahandanya sendiri. Ketakutan dengan ramalan tersebut, sang raja mengarahkan agar puterinya dibuang jauh dari istana. Beberapa orang inang dan dayang-dayang yang setia menawarkan diri untuk menemani sang puteri, lalu mereka dibawa ke hutan dan ditinggalkan untuk meneruskan kehidupan mereka sendiri.


Dalam kesunyian dan kesengsaraan hutan, sang puteri sering menangis. Para inang cuba sedaya upaya memujuknya, namun gagal. Akhirnya, mereka mencipta sebuah alat muzik seperti gendang dan memalunya dengan irama tertentu. Secara ajaib, tangisan sang puteri terhenti apabila terdengar bunyi pukulan tersebut. Sejak itu, setiap kali sang puteri menangis, para dayang akan memukul gendang sambil menyanyi dan menari untuk menenangkannya. Gerakan, muzik dan cerita yang disampaikan secara spontan akhirnya berkembang menjadi satu bentuk persembahan yang dikenali sebagai “Mek Mulung” — gabungan lagu, lakon dan tari yang menghibur dan menyentuh perasaan.


Apabila sang puteri meningkat dewasa, beliau sendiri menggemari persembahan tersebut dan mula mengetuainya. Mereka mula menjelajah dari satu kampung ke satu kampung, mempersembahkan seni ini sehingga sampai ke negeri Kedah. Walaupun kisah sebenar sang puteri ini tidak diketahui kesudahannya, namun tradisi persembahan yang ditinggalkan menjadi warisan yang terus hidup hingga kini.


Dari segi sejarah pengembangannya, terdapat dua versi utama tentang asal-usul Mek Mulung. Selain versi cerita sang puteri, terdapat satu lagi pendapat menyatakan bahawa Mek Mulung berasal dari Legor (Nakhon Si Thammarat), Siam, dan diperkenalkan ke Kedah semasa era hubungan dan konflik antara Kedah dan Siam pada abad ke-18 hingga ke-19. Tempat pertama yang menyaksikan kemunculan kesenian ini ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, jajahan Kuala Nerang, sebelum ia berkembang ke beberapa kampung lain seperti Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi, dan akhirnya ke Kampung Wang Tepus, yang kini menjadi pusat utama penghidupan semula kesenian ini.

Walaupun sempat mengalami kemerosotan penerimaan di sesetengah tempat seperti Kampung Perik, keunikan persembahan Mek Mulung akhirnya mendapat tempat di hati masyarakat Wang Tepus. Kini, Mek Mulung terus dipersembahkan secara tahunan di kampung tersebut, dengan usaha gigih oleh penggiat seni dan komuniti setempat untuk memastikan ia terus hidup sebagai warisan budaya negeri Kedah.


Fungsi dan Peranan

Seni persembahan Mek Mulung memainkan peranan yang signifikan dalam pemeliharaan warisan budaya kerana ia bukan sahaja sebagai bentuk hiburan tradisional, tetapi sebagai medium pendidikan budaya dan peneguhan identiti komuniti setempat. Keunikan persembahan ini terletak pada keistimewaanya menggabungkan pelbagai unsur seni seperti lakonan, nyanyian, tarian, dan muzik  dalam satu bentuk naratif dramatik yang menyerlahkan jati diri masyarakat Melayu Kedah.


Dari segi fungsi hiburan, Mek Mulung berfungsi sebagai persembahan untuk menyampaikan mesej sosial daripada variasi persembahan. Ia menjadi pentas santai rakyat yang menyatukan komuniti pelbagai lapisan usia untuk menikmati cerita rakyat, gelak tawa, dan irama tradisional yang menghidupkan suasana desa. Gabungan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik menjadikan Mek Mulung sebagai bentuk kesenian yang lengkap dan holistik.


Lebih daripada sekadar hiburan, Mek Mulung juga berfungsi sebagai alat pendidikan budaya. Setiap persembahan mengandungi naratif legenda, mitos dan cerita rakyat yang sarat dengan pengajaran moral, nilai hidup, dan sejarah tempatan. Generasi muda yang menonton Mek Mulung bukan sahaja terhibur, tetapi turut mempelajari tentang struktur sosial, kepercayaan, dan adat resam nenek moyang mereka. Dengan kata lain, pentas Mek Mulung adalah ‘sekolah budaya’ yang menyampaikan ilmu secara halus melalui seni penceritaan dan persembahan visual.


Dalam konteks pemeliharaan warisan, Mek Mulung berperanan sebagai penanda identiti kebudayaan negeri Kedah, khususnya bagi komuniti Wang Tepus dan kawasan sekitarnya. Ia menjadi simbol jati diri yang menghubungkan generasi kini dengan akar sejarah dan tradisi silam. Usaha mempersembahkan dan memulihara Mek Mulung juga memperkukuh kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga seni warisan agar tidak lenyap ditelan arus moden.


Busana/ Aksesori

Aspek kostum atau pakaian dalam persembahan Mek Mulung memainkan peranan penting dalam membezakan watak, melambangkan status sosial, serta memperkuatkan identiti visual setiap karakter. Setiap pelakon dan penari memakai pakaian yang dirancang khusus berdasarkan peranan masing-masing, yang bukan sahaja memperindah persembahan, tetapi juga menyampaikan makna simbolik tertentu.


Watak utama, Pak Mulung (raja), biasanya mengenakan sepersalinan baju Melayu lengkap, terdiri daripada baju dan seluar tradisional, bersamping songket, bertengkolok (penutup kepala), serta sibai, iaitu selampai yang menutupi bahu dan dada. Tambahan pula, bengkung diikat di pinggang, manakala sebilah keris disisipkan sebagai simbol kuasa dan ketokohan. Pakaian ini menyerlahkan kedudukan raja sebagai figura utama dalam naratif Mek Mulung dan memperlihatkan keagungan serta kedaulatan watak tersebut.


Watak-watak peran pula tampil dengan pakaian yang lebih santai dan bersifat rakyat marhaen. Mereka lazimnya mengenakan kain pelekat, baju ‘singlet’, atau pakaian harian yang ringkas, disertai dengan kain bulat sebagai ikat pinggang. Namun, elemen yang paling signifikan dalam kostum watak peran ialah penggunaan topeng muka. Topeng ini menjadi penanda visual utama yang membezakan watak serta mewakili identiti dan ekspresi yang unik, sama ada lucu, bijak, atau jenaka.


Tok Wak, iaitu watak nujum atau dukun, kebiasaannya berpakaian ringkas, memakai kain biasa dan topeng berwarna hitam, yang melambangkan peranan beliau sebagai tokoh mistik yang mempunyai hubungan dengan alam ghaib. Kostumnya menggambarkan unsur kesederhanaan tetapi penuh misteri.


Watak inang, yang berperanan sebagai pengasuh atau pengiring kepada puteri, memakai kain panjang bersama sehelai penutup kepala yang melambangkan sifat lemah-lembut dan sopan wanita istana. Sementara itu, para penari lelaki yang melakonkan watak wanita akan mengenakan baju kebaya labuh, menyerupai pakaian wanita tradisional. Pemakaian ini dilakukan secara teliti agar sesuai dengan nilai estetik dan keaslian watak, walaupun dibawa oleh pelakon lelaki.

Keseluruhan pakaian dalam Mek Mulung bukan sahaja mencerminkan hierarki sosial dan fungsi watak, tetapi juga berfungsi sebagai alat bantu naratif visual, yang memperkuatkan persembahan dan membantu penonton memahami jalan cerita serta peranan setiap watak secara intuitif.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Salah satu elemen penting yang menghidupkan persembahan Mek Mulung ialah penggunaan alat-alat muzik tradisional yang menjadi pengiring utama dalam nyanyian, tarian, dan lakonan. Muzik bukan sahaja berperanan sebagai latar bunyi, tetapi juga membentuk emosi dan dinamika naratif, membantu membezakan babak dan suasana dalam penceritaan.


Antara alat muzik utama yang digunakan dalam persembahan Mek Mulung termasuklah;


Semborong – satu unit alat muzik utama yang berperanan sebagai gendang besar.

Ibu Semborong – dua unit gendang pengiring yang menghasilkan variasi irama.

Anak Semborong – satu unit gendang kecil yang memperkayakan tekstur bunyi.

Gong – satu unit, digunakan untuk menandakan permulaan atau penutup sesuatu babak serta perubahan suasana dramatik.

Serunai – alat tiupan yang menghasilkan melodi utama; berfungsi sebagai pembuka persembahan (bertabuh) dan menghidupkan mood penceritaan.

Cerek – dua hingga tiga pasang alat bunyi logam kecil yang membantu menambah rentak dan warna irama.

Pada zaman dahulu, terdapat juga alat muzik tambahan seperti canang dan kesi, yang digunakan untuk memperkaya lapisan bunyi dan menambah kepelbagaian ritma. Walau bagaimanapun, penggunaan alat ini kini semakin jarang disebabkan oleh faktor ketersediaan dan perubahan dalam struktur persembahan. Gabungan alat muzik ini menghasilkan irama yang dinamik dan berlapis, menandakan kepelbagaian emosi dalam persembahan — dari suasana gembira, sedih, romantik, hinggalah kepada suasana dramatik atau mistik.

Begitu juga dengan nyanyian kerana ia adala nadi utama dalam persembahan Mek Mulung yang menjadi penggerak naratif dan penyampai emosi watak. Ia dimainkan secara berselang-seli dengan lakonan dan tarian, menjadikan persembahan ini bersifat muzik-drama tradisional yang lengkap dan bersepadu.
Lagu-lagu dalam Mek Mulung biasanya dinyanyikan secara solo atau beramai-ramai, dengan iringan muzik langsung. Setiap lagu mempunyai fungsi tertentu – sama ada untuk memperkenalkan watak, memulakan babak, menyampaikan dialog, atau menyampaikan mesej tersirat kepada penonton. Antara lagu tradisional yang sering dipersembahkan termasuk:

Timang Welo – lagu pembuka atau lagu buaian yang menenangkan.
Lagu Berjalan – digunakan dalam adegan peralihan atau pengembaraan.
Anak Udang – lagu berunsur jenaka atau kiasan dalam babak ringan.
Raja Beradu – lagu yang dimainkan dalam adegan istirahat atau peralihan emosi watak raja.
Selain lagu tradisional, sesetengah kumpulan Mek Mulung turut mengadaptasi lagu rakyat popular seperti Dondang Sayang sebagai strategi untuk menarik minat penonton moden dan memberi suntikan segar kepada persembahan. Adaptasi ini menunjukkan kebolehan Mek Mulung untuk berkembang dan berinovasi, tanpa meninggalkan akar tradisinya.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Struktur Persembahan Mek Mulung

Mek Mulung lazimnya dipersembahkan di dalam sebuah bangsal terbuka yang dibina secara ringkas tanpa dinding dan lantai. Bangsal ini hanya terdiri daripada tiang, bumbung dan para (pelantar), dengan reka bentuk yang membolehkan penonton mengelilingi pemain dari pelbagai arah. Para yang menjadi tempat meletakkan semua peralatan 'jamu' mestilah didirikan menghadap ke arah timur, yakni ke arah matahari terbit, selaras dengan kepercayaan spiritual dan simbolisme permulaan kehidupan. Di bahagian tengah bangsal, tikar tradisional dihamparkan sebagai alas duduk untuk pelakon dan pemuzik.


Secara tradisi, semua pelakon Mek Mulung adalah lelaki, termasuk yang melakonkan watak-watak wanita. Antara watak penting dalam persembahan ini termasuk Pak Mulung sebagai raja, dan Mek Mulung sebagai puteri utama. Mek Mulung biasanya diiringi oleh inang pengasuh, manakala watak Awang Pengasuh pula berperanan sebagai pengiring dan bomoh dalam naratif. Antagonis atau musuh kepada Pak Mulung lazimnya terdiri daripada watak Raja Gergasi atau raja-raja dari negeri lain yang digambarkan sebagai dengki dan berniat jahat terhadap Pak Mulung.


Persembahan Mek Mulung turut diiringi oleh ahli muzik yang memainkan alat tradisional serta berperanan sebagai penyanyi latar. Mereka akan menyahut seruan atau dialog tertentu yang diucapkan oleh pelakon. Menurut kepercayaan setempat, jika seruan tersebut tidak disambut oleh pemuzik atau pemain lain, maka persembahan dikatakan akan mengalami "mati maklat", iaitu satu keadaan di mana persembahan terhenti secara rohani kerana diganggu oleh entiti halus seperti jin atau hantu.


Persembahan bermula dengan lagu pengenalan yang dikenali sebagai "bertabuh", yang dimulakan dengan tiupan serunai, diikuti oleh alunan pelbagai alat muzik lain. Segmen ini berperanan sebagai pembuka tirai dan bentuk penghormatan kepada penonton, di samping meletakkan pemain dalam 'angin', iaitu keadaan emosi dan spiritual yang seimbang untuk memulakan persembahan dengan baik. Sesi bertabuh ini lazimnya berlangsung selama 5 hingga 10 minit, dan kemudiannya diikuti oleh nyanyian bertabik.


Selepas nyanyian bertabik, persembahan diteruskan dengan tarian pembukaan. Penari akan memulakan gerakan semasa duduk di atas lantai, membuka persembahan dengan gerakan sembah, sebelum bangun dan melangkah dalam bentuk bulatan simbolik. Tarian biasanya diakhiri dengan susunan duduk dalam formasi sambil memberi sembah. Terdapat tujuh jenis tarian utama yang dipersembahkan dalam Mek Mulung, iaitu:


Tarian Sembah

Tarian Gambang

Tarian Puteri Mabuk

Tarian Menora

Tarian Sirama

Tarian Puteri Masuk Bilik Air

Tarian Sedayung

Setelah tamat satu babak, pencerita atau narator akan menyampaikan hikayat atau kisah utama, yang biasanya disampaikan oleh watak Pak Mulung. Semua perubahan babak atau peralihan suasana dalam cerita dilakukan melalui nyanyian beramai-ramai, yang diiringi dengan pantun-pantun tradisional sebagai medium penyambung antara naratif dan persembahan dramatik.

Persediaan Sebelum Persembahan
Setiap persembahan Mek Mulung tidak dimulakan sewenang-wenangnya, sebaliknya didahului dengan satu ritual tradisional yang dikenali sebagai 'upacara buka panggung'. Upacara ini merupakan sebahagian daripada kepercayaan spiritual masyarakat setempat dan berperanan penting dalam menjamin kelancaran serta keselamatan persembahan secara keseluruhan.

Tujuan utama upacara ini adalah untuk memohon restu dan perlindungan daripada gangguan makhluk halus, serta untuk menenangkan semangat tempat dan entiti spiritual yang dipercayai mendiami ruang persembahan. Ia juga berfungsi sebagai bentuk penghormatan terhadap alat muzik dan seni tradisional itu sendiri, yang dianggap memiliki ‘roh’ atau semangat. Antara bahan-bahan penting yang digunakan dalam upacara buka panggung ialah:

Sirih dan pinang, yang dijampi dan digunakan untuk memperasapi kawasan persembahan dan semua alat muzik.
Kemenyan, dibakar untuk mewujudkan suasana yang bersih dari gangguan halus.
Minyak kelapa, yang disapu khas pada permukaan gendang sebagai medium pengaktif tenaga spiritual.
Salah satu adat yang perlu dipatuhi ialah pantang melangkah alat muzik yang telah diperasap dengan sirih dan kemenyan, kerana ia dipercayai boleh menjejaskan keharmonian dan ‘semangat’ persembahan. Jika pantang ini dilanggar, dipercayai gangguan seperti ‘mati maklat’ (persembahan terhenti secara ghaib) boleh berlaku.

Lazimnya, upacara ini dijalankan secara ringkas di rumah pemain utama atau ketua kumpulan sebelum bergerak ke lokasi persembahan. Ia menjadi amalan wajib setiap kali persembahan diadakan, tanpa mengira lokasi, sebagai sebahagian daripada tradisi turun-temurun yang tidak boleh diabaikan.

Sembah Guru
Selain daripada upacara buka panggung yang diadakan sebelum setiap persembahan, satu lagi ritual penting dalam tradisi Mek Mulung ialah upacara Sembah Guru. Berbeza dengan buka panggung yang bersifat rutin dan ringkas, Sembah Guru merupakan upacara tahunan yang lebih besar dan bersifat sakral, biasanya diadakan sekali setahun sebagai penghormatan kepada guru seni dan roh-roh penjaga tradisi.

Upacara Sembah Guru berlangsung selama tiga malam berturut-turut, dan dianggap sebagai satu kewajipan dalam kalendar kesenian kumpulan Mek Mulung. Ia bukan sekadar satu bentuk penghormatan simbolik, tetapi juga diterima sebagai satu bentuk ikrar kesetiaan, perjanjian rohani dan permohonan perlindungan daripada bencana, khususnya buat ketua kumpulan dan ahli persembahan. Dikatakan bahawa jika upacara ini tidak dijalankan, para pemain khususnya ketua kumpulan adalah berisiko ditimpa malapetaka atau gangguan dari alam ghaib.

Upacara ini lazimnya dimulakan dengan majlis kenduri, yang melibatkan penyembelihan seekor kambing sebagai korban simbolik. Hidangan daripada hasil sembelihan akan dijamu kepada ahli kumpulan dan komuniti terlibat. Selepas itu, persembahan Mek Mulung akan dimulakan sebagai sebahagian daripada ritual rohani.

Pada malam pertama, persembahan dijalankan secara sederhana, dengan lakonan yang hanya mencakupi permulaan cerita. Lakonan akan disambung pada malam kedua, dan kemuncaknya berlangsung pada malam ketiga, di mana jalan cerita ditamatkan. Pada malam terakhir ini juga, segala ramuan persembahan kepada kuasa ghaib disediakan, termasuk alat muzik, makanan, kemenyan dan bahan jamuan spiritual yang dipercayai akan menenangkan makhluk halus dan roh penjaga.

Salah satu elemen penting dalam malam terakhir ialah fenomena yang dikenali sebagai ‘melupa’, di mana terdapat ahli kumpulan yang dipercayai berada dalam keadaan trans atau kerasukan akibat pengaruh roh atau semangat guru. Pada ketika inilah, orang-orang sakit akan dibawa masuk ke dalam bangsal untuk menerima rawatan secara spiritual. Ritual ini dipercayai mampu memulihkan penyakit melalui kuasa kesenian dan getaran persembahan yang berhubung terus dengan alam ghaib.

Pelakon Mek Mulung
Dalam struktur persembahan Mek Mulung, watak utama dikenali sebagai Raja atau Pak Mulung, yang menjadi tumpuan utama dalam naratif dramatik. Watak ini biasanya dibantu oleh beberapa watak sokongan, termasuk Peran Tua, Peran Muda, dan Peran Kiau — tiga watak komedi yang berfungsi untuk menceriakan suasana persembahan serta menyampaikan sindiran sosial secara halus. Selain itu, terdapat juga Tok Wak, iaitu seorang tokoh ahli nujum yang mewakili unsur kebijaksanaan serta ramalan, seorang Inang sebagai pengasuh atau pengiring kepada watak puteri, dan beberapa penari latar.

Salah satu keunikan utama dalam Mek Mulung ialah semua pelakon adalah lelaki, termasuk yang melakonkan watak perempuan. Amalan ini bersesuaian dengan tradisi persembahan Melayu lama seperti Mak Yong dan Menora, di mana peranan wanita sering dibawa oleh pelakon lelaki dalam konteks tertentu.
Dari sudut penghasilan persembahan, tiada skrip bertulis digunakan dalam Mek Mulung. Sebaliknya, cerita atau hikayat disimpan dalam bentuk ingatan kolektif dan disampaikan secara lisan, menjadikan setiap persembahan bersifat spontan dan segar. Pelakon akan menggunakan ingatan terhadap jalan cerita utama sebagai panduan, dan improvisasi memainkan peranan penting dalam membina dialog serta aksi lakonan.

Tambahan pula, Mek Mulung tidak mempunyai seorang pengarah khusus. Setiap ahli kumpulan telah memahami peranan masing-masing melalui latihan berulang dan pengalaman terdahulu. Keutuhan persembahan banyak bergantung kepada kerjasama dan komunikasi dalaman kumpulan, serta kecekapan ahli dalam membaca suasana persembahan secara intuitif.

Dari segi pengucapan, Mek Mulung menggunakan Bahasa Melayu harian dalam loghat Kedah, dan kadangkala diselitkan dengan loghat Melayu Patani. Watak-watak peran, khususnya, memainkan peranan penting dalam menyelitkan unsur jenaka, sindiran, dan komentar sosial melalui dialog spontan yang sering berkait dengan isu-isu harian, menjadikan persembahan lebih dekat dengan penonton dan relevan dengan konteks semasa.
Bentuk Cerita
Cerita-cerita yang dipersembahkan dalam teater tradisional Mek Mulung kebanyakannya berasaskan kepada kisah-kisah legenda, mitos, dan hikayat lama yang dipercayai oleh masyarakat sebagai benar-benar pernah berlaku pada zaman silam. Naratif-naratif ini mengandungi unsur pengajaran, nilai moral dan simbolisme budaya yang tinggi, justeru menjadikan Mek Mulung bukan sahaja sebagai medium hiburan, tetapi juga sebagai alat penyampai ilmu dan nilai kehidupan secara lisan.

Walaupun unsur jenaka merupakan salah satu elemen penting dalam persembahan Mek Mulung, khususnya yang dibawa oleh watak-watak peran, ia tidak mengganggu atau memesongkan keaslian jalan cerita utama. Sebaliknya, elemen humor digunakan secara berimbang untuk menceriakan suasana, memecahkan ketegangan dramatik, dan menjadikan persembahan lebih dekat dengan realiti sosial penonton. 
Antara cerita-cerita popular yang sering dijadikan teks lakon oleh kumpulan Mek Mulung termasuk:
Lakon Afrit – mengisahkan konflik kuasa antara manusia dan makhluk ghaib, memuatkan unsur spiritual dan kepercayaan tradisional.
Batak Putih – sebuah cerita kepahlawanan dan pengembaraan yang sarat dengan nilai keberanian dan kesetiaan.
Cahaya Bulan – naratif bersifat romantik dan mistik yang melibatkan pertemuan antara dunia nyata dan dunia kayangan.
Malim Bongsu – kisah pengembaraan seorang putera yang berusaha menuntut bela dan menegakkan keadilan.
Dewa Muda – sebuah cerita epik yang memperlihatkan perjuangan dan pengorbanan seorang tokoh demi bangsa dan negara.
Penceritaan dalam Mek Mulung bersifat lisan dan improvisasi serta sering disesuaikan dengan konteks serta kreativiti para pelakon. Oleh itu, walaupun jalan cerita utama dikekalkan, persembahan boleh berbeza dari satu malam ke satu malam yang lain.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Zahari, Z., & Yusoff, M. Y. M. (2020). Persembahan Tradisional Mek Mulung di Malaysia: Perubahan Struktur Persembahan. Jurnal Melayu Sedunia, 3(1), 100-121.


Kadir, Z. A. (2014). Mek Mulung: kesenian perantaraan manusia dan kuasa ghaib warisan Kedah Tua. ITBM. Kuala Lumpur, Malaysia


Zainudin, K. A., & Samsudin, M. E. (2024). Deskripsi Pergerakan Tarian Berjalan Dalam Dimensi Horizontal dan Vertikal Persembahan Teater Tradisional Mek Mulung: Description of Dance Movements In the Walking Dance Within Horizontal and Vertical Dimensions of Traditional Mek Mulung Theater Performance. Jurnal Melayu Sedunia, 7(1), 140-164.


Jamalludin, N. I. (2019). The Origin, Evolution and Future of Mek Mulung: A State Heritage Status and Beyond (Doctoral dissertation, King's College London).


Chee, T. L. (2006). Alat Muzik dan Lagu dalam Muzik Mek Mulung. Wacana Seni Journal of Arts Discourse, 5, 69-115.


Kerya, M. Y., Mohd Ishak, F., & Wan Ismail, W. R. (2015). Gaya bahasa dalam teater tradisional Mek Mulung. Dalam ICOMHAC2015 eproceedings, 16-17 Disember 2015, Century Helang Hotel, Pulau Langkawi.


Lokasi
Pautan Google Maps :