MENORA PERLIS
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Menora, atau turut dikenali sebagai ‘Nora’, merupakan sejenis drama tari tradisional yang berasal dari Selatan Thailand dan turut berkembang dalam kalangan masyarakat berketurunan Siam di utara Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri Perlis. Menora mempunyai sejarah panjang yang berakar daripada kisah mitos puteri raja bernama Srimala yang sangat mengagumi gerak tari burung mitos Kinaree serta irama muzik yang mengiringi tarian tersebut.


Tradisi persembahan Menora pada asalnya dipimpin dan dikendalikan sepenuhnya oleh kaum lelaki. Setiap penari utama perlu melalui satu tahap pengiktirafan dikenali sebagai Khrop Sert iaitu satu upacara istiadat yang melayakkan seseorang lelaki bergelar ‘Tuk Menora Sejati’ sebagai simbol kepada penerimaan rasmi sebagai ketua kumpulan dan pewaris seni Menora yang sah. Upacara ini lazimnya dijalankan apabila seseorang itu mencecah usia 21 tahun, menandakan kematangan serta kesediaan dalam memikul tanggungjawab seni dan spiritual.


Di Malaysia, Kumpulan Menora Pho Chum Praditsin merupakan antara kumpulan yang masih aktif mempersembahkan seni tradisi ini, terutamanya di sekitar negeri Perlis. Kumpulan ini diasaskan oleh Mendiang Endin Chum, dan kini diketuai oleh generasi keempat warisan keluarga tersebut, iaitu Menora Phian. Kelangsungan kumpulan ini menjadi bukti nyata bagaimana seni Menora terus diwarisi secara turun-temurun dalam kalangan masyarakat Siam di Malaysia.


Secara kebiasaannya, persembahan Menora dalam konteks keagamaan di Perlis diadakan pada bulan Jun, Julai dan September, selaras dengan kalendar keagamaan masyarakat Thai. Walau bagaimanapun, Menora juga sering dipersembahkan di luar konteks ritual keagamaan, sebagai hiburan budaya dalam pelbagai acara seperti Hari Keputeraan Raja, Hari Kemerdekaan, Pesta Angin Timur, dan Pesta Songkran. Malah, kumpulan ini turut menerima undangan persembahan ke luar negara, terutamanya di wilayah Songkla, Thailand, menandakan jalinan budaya serantau yang berterusan.


Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, Menora memainkan peranan yang signifikan dalam kehidupan spiritual, sosial dan budaya masyarakat Siam di Malaysia, khususnya di negeri Perlis. Fungsi utama Menora boleh dibahagikan kepada dua kategori utama: fungsi ritual keagamaan dan fungsi hiburan masyarakat.


Dalam konteks keagamaan, Menora berfungsi sebagai medium persembahan spiritual dalam upacara pemujaan atau penyucian yang dikenali sebagai "Wai Khru" (upacara penghormatan kepada guru), "Khrop Khru" (ritual pemeteraian spiritual), serta dalam ritual penyembuhan tradisional yang melibatkan kepercayaan terhadap roh-roh penjaga atau entiti halus. Persembahan ini dipercayai dapat menenangkan semangat, membawa tuah, dan menyembuhkan penyakit melalui hubungan simbolik dengan dunia spiritual. Dalam upacara sebegini, Menora bukan sekadar hiburan, tetapi dianggap sebagai alat komunikasi antara manusia dan alam ghaib.


Di samping itu, Menora turut memainkan fungsi sosial dan hiburan, terutama dalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan hari kebesaran, dan festival budaya. Persembahan ini sering kali menjadi acara kemuncak yang menyatukan komuniti, menghidupkan suasana perayaan, dan memperkukuh identiti etnik dalam kalangan masyarakat Siam di Malaysia. Menora bukan sahaja menjadi persembahan hiburan semata-mata, malah berperanan dalam memindahkan nilai-nilai moral, sejarah mitos dan tradisi lisan kepada generasi baharu.


Lebih daripada itu, Menora juga menjadi wadah pendidikan budaya dan identiti etnik Siam serta sebagai simbol kelangsungan warisan seni persembahan di Perlis khususnya. Dalam konteks moden, seni Menora bukan sahaja dipelihara dalam komuniti asalnya tetapi turut diperkenalkan dalam program kesenian sekolah, festival budaya antara bangsa dan platform warisan UNESCO, sekali gus membuka ruang bagi pemuliharaan dan apresiasi lintas budaya.


Busana/ Aksesori


Busana dan aksesori yang dikenakan oleh penari Menora mencerminkan pengaruh estetika klasik dengan gabungan unsur kerohanian dan keanggunan yang menjadi identiti tersendiri bagi seni ini. Pakaian lengkap penari Menora bukan sahaja berfungsi sebagai perhiasan pentas, malah membawa simbolik ritual yang penting. Antara elemen utama dalam busana Menora adalah seperti berikut:


1. Kecopong (Cha-da/Seert)

Merupakan mahkota tinggi yang dipakai di kepala penari. Ia biasanya diperbuat daripada logam ringan dan dihiasi dengan motif ukiran serta manik-manik berkilauan. Kecopong ini menyerupai hiasan kepala yang digunakan untuk memperlihatkan status watak sebagai makhluk agung, dewa, atau bangsawan.


2. Baju Manik Menora (Sap Suang)

Baju ini diperbuat daripada jaring kain halus yang dipenuhi manik-manik pelbagai warna. Beratnya boleh mencecah antara 4 hingga 8 kilogram, bergantung kepada saiz dan reka bentuknya. Ia melambangkan kemewahan dan keagungan serta memberikan efek visual yang memukau apabila penari bergerak.


3. Kuku Emas (Kuk Tan)

Merupakan aksesori penting yang dipakai di hujung jari penari. Kuku logam yang panjang dan runcing ini memperindah pergerakan tangan serta menekankan gerak tari yang lembut dan berirama. Ia juga melambangkan sifat burung mitos Kinaree, yang menjadi inspirasi asal Menora.


4. Gelang Tembaga (Tamp-Lai)

Gelang ini dipakai pada lengan dan pergelangan tangan penari. Diperbuat daripada tembaga atau logam berkilat, ia menghasilkan bunyi gemerincing halus apabila penari bergerak, menambahkan dimensi bunyi dalam persembahan.


5. Kain Gantung Depan (Pha Hoi/Na Pha)

Kain ini digantung di bahagian pinggang ke hadapan dan dihiasi dengan motif tradisional Thai atau Siam. Ia menyerupai kain cawat dan berfungsi sebagai elemen pelengkap dalam pakaian rasmi persembahan.


6. Seluar 

Digunakan sebagai pakaian asas yang dipakai di bahagian bawah. Seluar ini boleh terdiri daripada pelbagai warna mengikut keselesaan pemanggung ketika membuat persembahan. Namun, pada kebiasaanya, seluar berwarna putih sering digunakan kerana ia melambangkan kesucian dan keseimbangan dalam konteks keagamaan dan ritual.




Selain daripada elemen visual, terdapat juga pantang larang yang diamalkan oleh kumpulan Menora tertentu seperti Kumpulan Pho Chum Praditsin. Menurut ketua kumpulan tersebut, penari dilarang makan dan minum sebaik sahaja mereka mengenakan busana dan aksesori Menora. Larangan ini kekal sehingga tamatnya persembahan. Pantang larang ini dipercayai dapat menjaga kesucian spiritual persembahan dan memelihara disiplin penari dalam menjalani tanggungjawab seni dan ritual.


Bagi solekan penari Menora pula melibatkan penggunaan warna-warna terang yang menyerlah di bawah cahaya pentas. Bahagian mata, kening dan bibir biasanya ditonjolkan agar ekspresi wajah dapat dilihat dengan jelas oleh penonton, terutama ketika mempersembahkan watak-watak mitos dan dramatik.


Peralatan/ Bahan-Bahan


Dalam setiap persembahan Menora, muzik memainkan peranan penting sebagai pengiring yang memperkuat naratif, gerakan tari, dan suasana ritual. Muzik Menora dimainkan oleh sekumpulan pemain muzik tradisional, biasanya terdiri daripada enam hingga lapan orang yang berperanan mencipta suasana dramatik sepanjang persembahan. Walaupun kebanyakan pemain muzik ini melibatkan diri secara sambilan, kemahiran mereka dalam mengendalikan alat muzik tradisional adalah tinggi dan diwarisi secara turun-temurun. Oleh itu, terdapat enam jenis alat muzik utama yang digunakan dalam persembahan Menora:




1. Geduk

Geduk ialah alat muzik daripada kategori membranofon, iaitu sejenis gendang berbentuk barrel. Ia diperbuat daripada blok kayu keras dan dilitupi kulit kerbau yang direntang tegang pada salah satu mukanya. Bahagian tengah badannya mengandungi cincin besi yang menyambung kepada dua kaki kayu untuk memastikan geduk berada dalam kedudukan condong ke arah pemain. Kedudukan ini membantu menghasilkan gema yang lebih kuat dan dalam. Geduk ini dipalu menggunakan dua batang kayu pemalu yang diperbuat daripada kayu liat dengan hujung bulat. 


2. Canang

Canang merupakan alat idiofon yang terdiri daripada sepasang gong kecil berbentuk bulat mempunyai saiz yang berbeza untuk menghasilkan dua nada yang berlainan. Canang ini diikat menggunakan tali ke dalam kotak kayu berlubang bagi menghasilkan gema yang dipalu menggunakan pengetuk berbalut kain pada bahagian bonjolan. Ia dimainkan secara berselang-seli dan konsisten, memberikan ritma berlapis yang menyokong melodi utama.


3. Serunai atau Pi Nai

Serunai atau disebut Pi Nai adalah alat muzik dari kategori aerofon (alat tiupan). Panjangnya sekitar 14 inci, dengan enam lubang di bahagian badannya untuk kawalan nada. Di bahagian atas terdapat ‘reed’ yang diperbuat daripada daun mengkuang kering dan tiub keluli kecil. Pemain Serunai atau Pi Nai perlu mempunyai teknik pernafasan yang baik kerana alat ini memerlukan tiupan yang berterusan dan terkawal. Hal ini kerana, ia berperanan sebagai alat melodi utama dalam muzik Menora untuk menyerlahkan suasana dramatik dan beremosi.


4. Gedombak

Gedombak tergolong dalam kumpulan membranofon yang berfungsi sebagai alat sokongan ritma, menambah tekstur bunyi dan memperkaya dinamika persembahan muzik. Namun ia lebih kecil dan berbentuk seperti labu. Hanya satu permukaan gendang ini ditutup dengan kulit (biasanya kulit kambing), manakala satu lagi dibiarkan terbuka. Teknik permainannya melibatkan memukul permukaan berkulit dengan jari sambil tangan yang lain menekap bahagian terbuka untuk mengawal gema.


5. Kesi (Ching)

Kesi atau dikenali juga sebagai Ching adalah sepasang piring tembaga tebal yang tergolong dalam keluarga idiofon. Alat ini sangat penting dalam muzik Menora kerana ia menandakan rentak dan menentukan struktur tempo persembahan. Kesi ini dimainkan dengan cara diketuk atau ditangkupkan bersama. Jika ditangkup, bunyinya pendek dan tajam; jika disentuhkan pada tebingnya, ia menghasilkan bunyi berdering dan memanjang yang jelas dan menonjol.


6. Cerek

Cerek merupakan alat idiofon tradisional yang diperbuat daripada buluh kering yang diraut kemas dan panjangnya kira-kira 14 inci dan lebar 1.5 inci. Ia dimainkan secara berpasangan dengan diketuk antara satu sama lain untuk menghasilkan bunyi. Bunyi yang terhasil bergantung kepada ketebalan dan kekuatan buluh, dan ia biasanya digunakan untuk menambah lapisan bunyi tambahan dalam muzik Menora yang kompleks.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Selalunya persembahan Menora ini dijalankan di waktu malam, bermula pada pukul 8.00 atau 9.00 malam hinggalah ke tengah malam atau subuh pagi esok, bergantung kepada jalan cerita yang hendak dipersembahkan itu.


Sebelum memulakan persembahan, pemimpin kumpulan itu akan mengadakan acara ritual persembahan. Tujuannya untuk mendapatkan perlindungan keselamatan bagi mengadakan persembahan itu. Alat-alatan yang digunakan semasa upacara ialah lilin yang diletakkan di dalam piring yang berisi sirih dan pinang. Sambil membaca mentera, ia juga menyembah mahkota tinggi yang dipanggil Cha-Da iaitu kecopong. 


Selepas sahaja upacara ini, muzik lagu pengenalan dimainkan. Alat-alat muzik yang menyertai muzik pengenalan ialah serunai, canang, geduk dan gedombak yang panjangnya permainan muzik ini adalah lebih kurang 10 minit. Berikutan dengan upacara itu diadakan pula upacara membaca mentera secara nyanyian. Pada masa ini muzik dimainkan untuk mengiringinya. Sewaktu pembacaan ini, watak-watak utama yang mengambil bahagian akan bersiap-siap di belakang tirai. Dalam upacara ini dinyanyikan juga sebahagian kecil cerita asal usulnya mendatari menora. Pemimpinnya akan mengetuai pembacaan mentera itu. Apabila pemimpin itu menyanyi setiap baris, ianya diikuti oleh ahli-ahli muzik yang lain sebagai korus. Upacara ini memakan masa hampir-hampir 30 minit. Dengan cara korus juga akan mengingati asal usul mendatari itu.


Apabila tamatnya upacara mentera secara nyanyian, persembahan Menora yang sebenarnya dimulakan. Ianya dimulai dengan nyanyian pelakon lelaki dan pelakon perempuan. Nyanyian mengenai cerita yang akan dipersembahkan. Nyanyian dimulakan oleh pelakon perempuan dan diikuti oleh pelakon lelaki. Nyanyiannya lambat dan saling sambut menyambut. Kedua-dua pelakon itu berada di belakang tirai. Pada masa ini muzik dimainkan mengiringi kedua-dua penyanyi itu.


Selepas itu, pelakon lelaki keluar perlahan-lahan melalui tirai menggayakan tarian yang lemah lembut. Dia diikuti oleh pelakon perempuan juga menggayakan tarian yang sama. Mereka keluar dan melakukan berbagai tarian di tengah-tengah medan yang dikelilingi oleh pemain-pemain muzik. Berbagai bentuk tarian yang digayakan. Antara ragam tarian menora yang dipersembahkan adalah:


1. Gerak Tari Burung Kinaree

2. Gerak Tari Masuk

3. Tarian Penjuru Besar (Jalan Angsa)

4. Tarian Penjuru Kecik (Gerak Tari Gajah)

Selepas nyanyian dan tarian ini diadakan pula adegan yang berbentuk drama. Dalam adegan ini rakan akan memainkan peranannya disamping hero dan heroin. Kemudian di selang-selikan dengan nyanyian dari tarian hingga tamatnya cerita itu.


Tokoh dan Pencapaian

Tin @ Pin A/L Endin Kla. Kumpulan Kesenian Menora Siam Perlis, Kampung Alor Bemban, 02500 Chuping, Perlis. 20 Februari 2025.


Yoothikya a/p Nam. Kumpulan Kesenian Menora Siam Perlis, Kampung Alor Bemban, 02500 Chuping, Perlis. 20 Februari 2025.


Sumber Rujukan

Sooi-Beng, T. (1988). The Thai “Menora” in Malaysia: Adapting to the Penang Chinese community. Asian Folklore Studies, 47(1), 19. https://doi.org/10.2307/1178249


Nasuriddin, M. G. (2009). Traditional Malay theatre. In Dewan Bahasa dan Pustaka eBooks. http://ci.nii.ac.jp/ncid/BB05371022


Kershaw, R. (1982). A little drama of ethnicity: Some sociological aspects of the Kelantan Manora. Asian Journal of Social Science, 10(1), 69–95. https://doi.org/10.1163/156853182x00056


Ilias, B., Ahmad, M. N., & Zubir, H. A. (2012). Menora performance: A research in bukit yong village, pasir puteh, kelantan, Malaysia. International Proceedings of Economics Development & Research, 51(12), 51-55.


Matusky, P., & Beng, T. S. (2017). The Music of Malaysia: the classical, folk and syncretic traditions. 

https://openlibrary.org/books/OL28824570M/Music_of_Malaysia

Senan, N., Ibrahim, R., Nawi, N. M., Yantob, I. T. R., & Herawan, T. (2012). A Review on Feature Selection and Classification Techniques for Traditional Malay Music. Computer Science, 1, 1462-1468.


Wiflihani, P. H., Silitonga, P. H., & Hirza, H. (2020, August). Music in “Gobuk Melayu" Ritual Traditions: Study of Performance Aspects, Forms and Structures. CONVASH 2019: Proceedings of the 1st Conference of Visual Art, Design, and Social Humanities by Faculty of Art and Design, CONVASH 2019, 2 November 2019, Surakarta, Central Java, Indonesia (p. 56). European Alliance for Innovation.


Lokasi