Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN INANG TUA DI PERLIS
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
1
Video
ada
Pelawat Hari ini
20
Jumlah Pelawat
399
Pengenalan dan sejarah
Tarian Mak Inang Tua, pernah menjadi fenomena popular di negeri Perlis dan Kedah pada era 1940-an hingga 1950-an. Tarian ini dikatakan berasal dari istana-istana Melayu pada zaman dahulu, dipersembahkan untuk menghibur kerabat diraja dan tetamu kehormat. Mak Inang, seorang dayang istana yang dikaitkan dengan tarian ini, dipercayai mencipta gerakan-gerakannya. Inang, yang bermaksud ‘pengasuh’, merujuk kepada pengasuh anak-anak raja di istana pada masa itu. Tarian ini dipersembahkan secara berpasangan, dengan penari wanita menggunakan selendang sebagai prop utama.
Pada tahun 1994, Tarian Mak Inang Tua telah disusun semula oleh Allahyarham Razali bin Ismail. Gerak tari yang dihasilkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap interaksi, gurau senda, dan usik-mengusik dalam kalangan masyarakat negeri utara. Setiap gerakan diberi nama khas seperti ‘gerak ghasuk’, ‘gerak sauk’, dan ‘gerak melayah’. Lagu Mak Inang Tua, yang mengisahkan perasaan kerinduan seseorang terhadap pasangannya, harus dinyanyikan dengan loghat utara. Keindahan gerakan tari dan lagu Mak Inang Tua melambangkan keunikan kehidupan bermasyarakat. Tarian ini turut mencerminkan budi pekerti yang wajar menjadi teladan kepada masyarakat. Tarian ini telah berkembang keluar dari istana dan menjadi kegemaran orang ramai.
Kini, tarian ini dianggap sebagai tarian rakyat. Persembahannya dilakukan di atas pentas yang didirikan di dalam kampung atau di tengah sawah. Tarian ini ditarikan bersama dengan tarian rakyat yang lain, lazimnya dipersembahkan selepas musim menuai padi atau dalam majlis-majlis perkahwinan.
Dipersembahkan dalam majlis keramaian anjuran pihak kerajaan dan swasta untuk tontonan masyarakat awam dan para pelancong.
• Penari wanita biasanya memakai baju kebaya labuh dengan aksesori kerongsang di dada. Cucuk sanggul dan bunga hiasan memperindah riasan di kepala. Selendang dipakai di bahu bagi mencantikkan lagi pergerakan tarian.
• Penari lelaki pula memakai songkok dengan kain samping berdagang luar atau dalam. Para penari wanita memakai kasut manakala capal dipakai oleh penari lelaki.
• Penari wanita akan menggunakan selendang sebagai props sepanjang persembahan
• Rebana
• Biola
• Gendang
• Jumlah pasangan yang selalu dipersembahkan kebiasaannya antara 4 hingga 6 pasangan, namun ianya juga boleh disesuaikan mengikut keluasan pentas. Semakin besar pentas, semakin ramai yang akan menari mengikut keperluan.
• Pergerakan tarian banyak tertumpu kepada bahagian tangan yang diangkat selaras bahu baik oleh penari lelaki mahupun penari wanita.
• Tarian dimulakan dengan variasi tangan di depan dan berpusing ke kiri dan kanan, tangan ke atas mengambil balik lalu depa ke hadapan. Ianya dilakukan berulang kali dan lazimnya dimulakan dengan tarian silat daripada penari lelaki beberapa langkah kemudian melakukan variasi tadi.
• Setelah itu penari lelaki menarik kain panjang penari perempuan dan meletakkan ke atas bahu sambil terus menari serta bangun. Sesuatu yang menarik dalam tarian ini adalah penari lelaki 'mengacan' atau bergurau dengan penari perempuan secara 'menyelauk' (menghulur) tangan ke arah penari perempuan, manakala penari perempuan pula menepis tangan penari lelaki.
• Begitulah berulang-ulang kali dilakukan oleh tiap-tiap pasangan penari tersebut. Satu variasi lagi yang dilakukan oleh penari lelaki ialah duduk sambil melompat katak kemudian dituruti oleh penari perempuan. Setelah itu penari bangun dan menari semula seperti variasi pertama sehinggalah tarian tersebut ditamatkan.
• Tarian Mak Inang Tua telah dikreadi semula oleh Encik Razali Bin Ismail yang lebih dikenali sebagai (Tok Ram) pada tahun 1994. Beliau mencipta tarian tersebut melalui berkisarkan kehidupan bermasyarakat, pergaulan dan senda gurauan bersama pasangan, aksi memikat dan usik-mengusik.
• Tarian ini ditarikan di dalam istana suatu ketika dahulu. Apabila ditarikan di seluruh Kedah dan Perlis, tarian ini dijadikan sebagai tarian rakyat.
Sumber Rujukan
https://pkbu.unimap.edu.my/
https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/692/pengenalan
https://ecentral.my/tarian-inang/
https://www.scribd.com/document/382604818/Asal-Usul-Tarian-Inang-docx
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Siti Rohayu binti Muhamad
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis
Kompleks JKKN Perlis
Persiaran Wawasan Kangar
01000 Kangar
PERLIS
019-504 0015
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!