Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
KANJET
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
0
Video
tiada
Pelawat Hari ini
8
Jumlah Pelawat
96
Pengenalan dan sejarah
Dalam bahasa suku Kenyah yang merupakan sebuah etnik Orang Ulu di Sarawak, Kanjet bermaksud tarian. Justeru Kanjet adalah tarian yang begitu identikal kepada suku kaum Kenyah. Selain Kanjet, tarian ini juga disebut Tuut, Saga Ngarang atau Nyivan dalam bahasa Kayan-Kenyah. Ringkasnya, kesemua istilah terebut semuanya merujuk kepada maksud yang sama iaitu tarian atau menari.
Kanjet boleh dipersembahkan untuk pelbagai tujuan dan acara termasuklah upacara ritual, majlis selamat datang atau sebagai hiburan semata-mata. Tarian ini mempunyai pergerakan yang lemah gemalai memaparkan kesopanan dan sifat-sifat harmoni, anggun dan unik. Gerak tarinya ternyata penuh dengan keseimbangan dan keindahan, terutamanya dalam mengekspresikan sifat kepahlawanan dan keharmonian dalam kehidupan harian etnik berkenaan.
Kanjet lahir dan berkembang menerusi sejarah kebudayaan etnik Orang Ulu itu sendiri yang mengamalkan budaya memburu kepala musuh atau mengayau. Tarian ini juga begitu kuat dipengaruhi oleh fenomena alam sekitar selain keyakinan terhadap mimpi dan pengaruh dalam sistem kepercayaan tradisi. Upacara sebelum dan selepas mengayau contohnya, telah melahirkan gerak tari yang menggambarkan pergerakan dan ketangkasan pahlawan ketika mengayau sedang dilakukan. Justeru, para penari lelaki sering mempamerkan ketangkasan dan kelincahan serta kegagahan dalam persembahan manakala penari wanita lebih banyak menyerlahkan kelembutan dan kehalusan dalam gerak tarinya.
-
Busana bagi penari lelaki adalah pakaian perang diperbuat daripada kulit haiwan yang terpilih. Turut dipakai semasa persembahan Kanjet ialah sebuah topi perang yang dihiasi dengan manik serta dilengkapi dengan parang, perisai perang dan tikar. Busana bagi penari perempuan pula terdiri daripada sehelai baju, sarong dan selendang yang berhiaskan motif-motif tradisional Orang Ulu. Penari wanita juga lengkapi dengan topi, rantai manik, gelang tangan, tali pinggang, perhiasan telinga panjang dan kalung daripada bulu ekor burung kenyalang.
-
Tarian ini dipersembahkan dalam pelbagai gaya dan koreografi serta situasi juga tempat. Kanjet seringkali dipersembahkan oleh enam hingga lapan orang penari wanita. Pada keseluruhannya terdapat 15 jenis Kanjet tradisional yang ditarikan secara solo, berkumpulan mahupun secara berpasangan lelaki dan wanita.
-
Sumber Rujukan
Jeffery Jalong (2012). Kanjet: Seni Tarian Tradisional Orang Ulu Sarawak. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Kuala Lumpur
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!