Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN SUMAZAU
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
5
Video
ada
Pelawat Hari ini
378
Jumlah Pelawat
746
Pengenalan dan sejarah
Sumazau adalah tarian tradisional ikonik bagi masyarakat etnik Kadazandusun di Sabah. Tarian ini sering dipersembahkan semasa Pesta Kaamatan (Pesta Menuai) yang disambut setiap tahun pada 31 Mei sebagai penghormatan kepada ‘Bambaazon’ (semangat padi) selepas musim menuai. Tarian ini juga dikenali sebagai Sumayau dalam bahasa Dusun yang sangat berkait dengan perkataan ‘Minsayau’ iaitu satu perbuatan menari dengan pergerakan melompat-lompat.
Sumazau pada asalnya berfungsi sebagai persembahan tarian ritual pemujaan semangat padi yang dikenali sebagai ritual Magavau atau maga'au. Upacara ini diadakan sekali setahun pada sambutan perayaan Pesta Kaamatan untuk menandakan rasa kesyukuran terhadap ‘Bambazon’. Walau bagaimanapun, fungsinya kini menjadi lebih luas meliputi pelbagai acara keramaian seperti majlis perkahwinan, sambutan orang kenamaan, dan pelbagai pesta-pesta atu perayaan budaya. Tarian bukan sahaja sebagai sebuah bentuk persembahan tarian semata-mata, tetapi ia menggambarkan keharmonian dan kerjasama serta menghormati alam sekitar dan kepercayaan tradisional masyarakat etnik Kadazandusun.
Penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam polos yang dihiasi dengan menggunakan benang merah atau berwarna emas. Pada umumnya, tarian ini mengenakan set busana daripada etnik Kadazandusun Penampang yang dikenali sebagai busana ‘Gaung’ bagi penari lelaki dan busana ‘Sinuangga’ bagi penari wanita (Mazizy J. Lomodi, 2024).
Persalinan busana ‘Sinuangga’ bagi penari wanita mempunyai ciri-ciri baju tanpa lengan dengan kolar berbentuk U yang berwarna hitam bersulamkan benang berwarna merah dan kuning keemasan. Benang ini tidak begitu menyerlah di sepanjang leher baju, lengan baju, atas jahitan tepi. Manakala pada bahagian belakang baju, dicantumkan denganlima hingga tujuh pasang butang Betawi yang tidak dijahit pada baju serta dipadankan dengan skirt yang disebut ‘Tapi’ (Azam et al., 2022).
Busana penari wanita ini akan dihiasi dengan ‘Husob’ iaitu selendang berwarna merah khususnya kain batik yang diletakkan bersilang pada bahu penari. Aksesori pada bahagian pinggang akan menggunakan ‘Hinogot’ atau ‘Himpogot’ yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars) dan set ‘Tangkong’ yang diperbuat daripada tembaga. Pada hiasan leher, kadangkala penari akan menggunakan hiasan mutiara yang bewarna merah atau putih sebagai hiasan tambahan ataupun menggunakan ‘Hamai’ berupa rantai yang diperbuat daripada emas atau perak. Untuk aksesori tangan, penari akan memakai gelang ‘Tinongkos’ atau ‘Gohong’ iaitu, gelang lingkar yang diperbuat daripada tembaga atau perak. Bagi hiasan kepala, penari hanya menggunakan hiasan bunga berwarna merah atau putih yang dikenali dengan nama ‘Titimbok’ untuk memberikan aura riasan kepada penari wanita.
Persalinan ‘Gaung’ yang dipakai oleh penari lelaki, ciri-cirinya adalah berlengan panjang dengan kolar cekak musang yang berwarna hitam lengkap dengan sulaman benang berwarna merah dan kuning keemasan yang tidak begitu menyerlah di sepanjang kolar, bahu, lengan baju, belakang baju dan pergelangan tangan serta dicantumkan dengan lima hingga tujuh butang Betawi yang dijahit pada bahagian depan baju. Pemakaian ‘Gaung’ dipadankan dengan seluar panjang yang disebut ‘Souva’ (Azam et al., 2022).
Busana penari lelaki tidak sarat dengan hiasan, sebaliknya hanya menggunakan tanjak yang dikenali dengan nama ‘Sigar’ yang diperbuat daripada kain bersulam dengan pelbagai motif, berukuran segi empat sama yang dilipat dan dililit mengikut teknik tertentu. Pada bahu penari lelaki akan disangkutkan sejenis aksesori daripada Daun Silad Kering pada paras pinggang yang didikat menggunakan ‘Ongkot’ ataupun kain berwarna emas mahupun merah disekitar pinggang penari lelaki.
Lazimnya, alat muzik yang mengiringi tarian ini adalah gendang dan lima jenis gong iaitu ‘Naananagon’, ‘Haahambatan’,’Kuukulimpon’, ‘Tootongan’, dan ‘Taatavag. Paluan gong dan gendang ini akan digabungkan menjadi iringan kepada persembahan tarian Sumazau.
Tarian Sumazau tidak mempunyai ragam dan pola gerak yang kompleks. Tarian ini ditarikan dengan mengangkat kedua-dua tangan ke paras bahu, di mana tangan dikibar-kibarkan seperti sayap burung mengikut rentak muzik yang perlahan dan lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadapan dengan langkah-langkah kecil, sementara tumit diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Gerakan tangan diselaraskan keluar dan diayunkan naik turun, menyerupai burung yang sedang terbang. Setiap penari bergerak dengan jarak yang rapat antara satu sama lain, tetapi tanpa bersentuhan, menambahkan keharmonian dalam persembahan.
Berikut
adalah ragam asas tarian Sumazau:
Nama Ragam |
Deskripsi |
Pangkis |
Pekikan suara yang
dikeluarkan oleh penari lelaki untuk memberikan tanda bermulanya persembahan
tarian dan penanda untuk perubahan
ragam. |
Sumihok |
Enjutan setempat secara
yang dilakukan pada kaki kanan dan kaki kiri akan menapak serentak pada
setiap enjutan. |
Mengambai |
Pergerakan membuka depaan
tangan seperti seekor burung helang yang sedang terbang. |
Mingkun |
Formasi bulatan atau
berselang seli antara lelaki dan wanita dengan perbuatan memegang salah satuh
bahu rakan penari secara bersilang antara lelaki dan perempuan. |
Mazizy J. Lomodi. (30 Tahun). Kampung Limbanak, 89650 Penampang, Sabah. 12 Oktober 2024.
Sumber Rujukan
Azam, E. A., Bukhari, N. a. M., & Samsudin, N. H. (2022). Terminografi Busana Kadazan Penampang. Jurnal Pengajian Melayu, 33(2), 179–196. https://doi.org/10.22452/jomas.vol33no2.10
Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Hussin, H., Baptis, J. J., & -Kitingan, J. P. (2018). Enriching the soundscape and dancescape of Sabah through Sumazau. Journal of Southeast Asian Studies, 23(2), 181–204. https://doi.org/10.22452/jati.vol23no2.9
Hussin, H. (2008). Performing Rice Farming Rituals by Penampang Kadazan of East Malaysia: Between Sacred Ritual and Secular Performance. JATI - Journal of Southeast Asian Studies, 13, 173–190. http://eprints.um.edu.my/9152/
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!