Gendang Terinai atau Tarinai adalah salah satu daripada golongan muzik atau kesenian tradisional negeri Perlis. Gendang Terinai turut dikenali sebagai ‘Gendang Keling’ kerana dipercayai berdasarkan kesenian kaum India, akibat pengaruh bentuk gendang panjang India juga serunainya.
Tradisi ini dipercayai berasimilasi apabila orang India masuk ke Tanah Melayu. Pun begitu, daripada legenda orang tua-tua, terdapat cerita bahawa Gendang Keling berasal daripada kisah seorang lelaki yang tersesat dalam hutan ketika mencari kayu api. Ketika lelaki itu mencari jalan pulang, dia terjumpa kayu mati. Apabila dipotongnya pada hujung dan pangkal kayu tersebut, didapati sebelah dalam kayu tersebut berlubang panjang. Dia membawa pulang kayu unik tersebut dan apabila sampai di rumah, lelaki itu mengikatnya dengan belulang lembu. Lantas, terhasillah gendang pengibu dan gendang penganak.
Kemudian, lelaki itu mencari buluh untuk dibuat serunai. Dia mula mengajar rakan-rakannya mengetuk gendang manakala dia bermain serunai. Setelah beberapa kali latihan, mereka mula bermain di khalayak ramai. Orang ramai duduk mengelilingi mereka, dan semenjak itulah terbit nama ‘gendang keling’, iaitu kerana masyarakat yang duduk berkeliling. Semenjak itulah, persembahan mereka mula terkenal dari sebuah kampung ke sebuah kampung di negeri Perils dan menjadi hiburan kepada masyarakat tempatan. Menginjak waktu, mereka menambah alat muzik gong dalam persembahan. Semua lagu yang dimainkan adalah lagu asli Melayu, kerana itulah kesenian ini tergolong dalam elemen muzik Melayu asli.
Pada zaman-zaman awal persembahan Gendang Terinai, para pemain Gendang Terinai duduk di bangsal ketika ada temasya keraian, terutamanya majlis perkahwinan di kampung-kampung. Kemudian, Tari Terinai tercipta, dan Gendang Terinai mengiringi tarian, berdekatan pelaminan. Zaman dahulu, persembahan kumpulan ini ada kalanya berlangsung sehingga lewat malam kerana mengiringi keluarga serta tetangga yang merewang untuk majlis perkahwinan.
Pada tahun 1974 sempena Pertandingan Tarian Terinai, Menteri Besar Perlis ketika itu, Allahyarham Dato’ Jaafar Hasan telah mengumumkan pertukaran nama ‘Gendang Keling’ kepada ‘Gendang Terinai’, kerana muzik ini digunakan untuk persembahan Tarian Terinai. Kesenian ini begitu popular pada suatu ketika dahulu dalam kalangan rakyat hingga ke istana. Ia masih diminati ramai khususnya dipersembahkan dalam majlis-majlis perkahwinan dan keramaian.
Kini, ia menjadi muzik rasmi di istana sempena menyambut pertabalan raja dan hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis. Kumpulan muzik lazimnya terdiri daripada empat orang iaitu dua orang pemukul gendang panjang (‘gendang pengibu’ dan ‘gendang penganak’), seorang meniup serunai dan seorang memukul dua biji gong, ‘gong jantan’ dan ‘gong betina’. Lagu-lagu yang sering dipersembahkan adalah lagu-lagu Melayu asli seperti ‘Mula Pasang’, ‘Kutip Siput’, ‘Gong Panjang’, ‘Kucing Berlaga’, ‘Anak Tiung’, ‘Cinta Sayang’ dan ‘Terinai’.
• Mengiringi majlis perkahwinan
• Menghiburkan tetangga ketika merewang
• Mengiringi Tari Terinai
• Kini menjadi iringan muzik rasmi bagi Majlis Diraja Perlis
• Baju Melayu atau batik
• Songkok
• Serunai
• Dua biji gong (gong jantan dan gong betina)
• Gendang panjang (gendang pengibu dan gendang penganak)
Kumpulan muzik lazimnya terdiri daripada empat orang iaitu dua orang pemukul gendang panjang (gendang pengibu dan gendang penganak), seorang meniup serunai dan seorang memukul dua biji gong, iaitu gong jantan dan gong betina.
1. Pak Romli Mahmud (016-4928879)
2. Pak Nyiang Gendang (017-5779020
https://melayu.library.uitm.edu.my/4123/
Rejab F.I. 2003. Sejarah dan perkembangan Tarian Trinai Perlis. Kuala Lumpur: JKKN.
https://www.scribd.com/document/360627435/Maklumat-tarian-terinai