TARIAN SUMAZAU
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Sumazau adalah tarian tradisional ikonik bagi masyarakat etnik Kadazandusun di Sabah. Tarian ini sering dipersembahkan semasa Pesta Kaamatan (Pesta Menuai) yang disambut setiap tahun pada 31 Mei sebagai penghormatan kepada ‘Bambaazon’ (semangat padi) selepas musim menuai. Tarian ini juga dikenali sebagai Sumayau dalam bahasa Dusun yang sangat berkait dengan perkataan ‘Minsayau’ iaitu satu perbuatan menari dengan pergerakan melompat-lompat.


Asal usul tarian ini dikaitkan dengan paparan gerak burung helang yang sedang menguakkan sayapnya diudara, terutamanya di atas padi-padi yang menguning ketika musim menuai tiba. Daripada itu, gerak burung helang itu menjadi sumber inspirasi kepada pola pegerakan tarian Sumazau. Tarian ini akan ditarikan secara berpasangan antaran lelaki dan perempuan yang tidak terhad kepada mana-mana jumlah penari yang ingin menarikannya. 

Fungsi dan Peranan

Tarian Sumazau pada asalnya berfungsi sebagai persembahan tarian ritual pemujaan semangat padi yang dikenali sebagai ritual Magavau atau maga'au. Upacara ini  diadakan sekali setahun pada sambutan perayaan Pesta Kaamatan untuk menandakan rasa kesyukuran terhadap ‘Bambazon’. Walau bagaimanapun, fungsinya kini menjadi lebih luas meliputi pelbagai acara keramaian seperti majlis perkahwinan, sambutan orang kenamaan, dan pelbagai pesta-pesta atu perayaan budaya. Tarian bukan sahaja sebagai sebuah bentuk persembahan tarian semata-mata, tetapi ia menggambarkan keharmonian dan kerjasama serta menghormati alam sekitar dan kepercayaan tradisional masyarakat etnik Kadazandusun.

Busana/ Aksesori

Penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam polos yang dihiasi dengan menggunakan benang merah atau berwarna emas. Pada umumnya, tarian ini mengenakan set busana daripada etnik Kadazandusun Penampang yang dikenali sebagai busana ‘Gaung’ bagi penari lelaki dan busana ‘Sinuangga’ bagi penari wanita (Mazizy J. Lomodi, 2024).


Persalinan busana ‘Sinuangga’ bagi penari wanita mempunyai ciri-ciri baju tanpa lengan dengan kolar berbentuk U yang berwarna hitam bersulamkan benang berwarna merah dan kuning keemasan. Benang ini tidak begitu menyerlah di sepanjang leher baju, lengan baju, atas jahitan tepi. Manakala pada bahagian belakang baju, dicantumkan denganlima hingga tujuh pasang butang Betawi yang tidak dijahit pada baju serta dipadankan dengan skirt yang disebut ‘Tapi’ (Azam et al., 2022).


Busana penari wanita ini akan dihiasi dengan ‘Husob’ iaitu selendang berwarna merah khususnya kain batik yang diletakkan bersilang pada bahu penari. Aksesori pada bahagian pinggang akan menggunakan ‘Hinogot’ atau ‘Himpogot’ yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars) dan set ‘Tangkong’ yang diperbuat daripada tembaga. Pada hiasan leher, kadangkala penari akan menggunakan hiasan mutiara yang bewarna merah atau putih sebagai hiasan tambahan ataupun menggunakan ‘Hamai’ berupa rantai yang diperbuat daripada emas atau perak. Untuk aksesori tangan, penari akan memakai gelang ‘Tinongkos’ atau ‘Gohong’ iaitu, gelang lingkar yang diperbuat daripada tembaga atau perak.  Bagi hiasan kepala, penari hanya menggunakan hiasan bunga berwarna merah atau putih yang dikenali dengan nama ‘Titimbok’ untuk memberikan aura riasan kepada penari wanita.


Persalinan ‘Gaung’ yang dipakai oleh penari lelaki, ciri-cirinya adalah berlengan panjang dengan kolar cekak musang yang berwarna hitam lengkap dengan sulaman benang berwarna merah dan kuning keemasan yang tidak begitu menyerlah di sepanjang kolar, bahu, lengan baju, belakang baju dan pergelangan tangan serta dicantumkan dengan lima hingga tujuh butang Betawi yang dijahit pada bahagian depan baju. Pemakaian ‘Gaung’ dipadankan dengan seluar panjang yang disebut ‘Souva’ (Azam et al., 2022).


Busana penari lelaki tidak sarat dengan hiasan, sebaliknya hanya menggunakan tanjak yang dikenali dengan nama ‘Sigar’ yang diperbuat daripada kain bersulam dengan pelbagai motif, berukuran segi empat sama yang dilipat dan dililit mengikut teknik tertentu. Pada bahu penari lelaki akan disangkutkan sejenis aksesori daripada Daun Silad Kering pada paras pinggang yang didikat menggunakan ‘Ongkot’ ataupun kain berwarna emas mahupun merah disekitar pinggang penari lelaki.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Lazimnya, alat muzik yang mengiringi tarian ini adalah gendang dan lima jenis gong iaitu ‘Naananagon’, ‘Haahambatan’,’Kuukulimpon’, ‘Tootongan’, dan ‘Taatavag. Paluan gong dan gendang ini akan digabungkan menjadi iringan kepada persembahan tarian Sumazau.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian Sumazau tidak mempunyai ragam dan pola gerak yang kompleks. Tarian ini ditarikan dengan mengangkat kedua-dua tangan ke paras bahu, di mana tangan dikibar-kibarkan seperti sayap burung mengikut rentak muzik yang perlahan dan lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadapan dengan langkah-langkah kecil, sementara tumit diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Gerakan tangan diselaraskan keluar dan diayunkan naik turun, menyerupai burung yang sedang terbang. Setiap penari bergerak dengan jarak yang rapat antara satu sama lain, tetapi tanpa bersentuhan, menambahkan keharmonian dalam persembahan.


Berikut adalah ragam asas tarian Sumazau:

Nama Ragam

Deskripsi

Pangkis

Pekikan suara yang dikeluarkan oleh penari lelaki untuk memberikan tanda bermulanya persembahan tarian dan  penanda untuk perubahan ragam.

Sumihok

Enjutan setempat secara yang dilakukan pada kaki kanan dan kaki kiri akan menapak serentak pada setiap enjutan.

Mengambai

Pergerakan membuka depaan tangan seperti seekor burung helang yang sedang terbang.

Mingkun

Formasi bulatan atau berselang seli antara lelaki dan wanita dengan perbuatan memegang salah satuh bahu rakan penari secara bersilang antara lelaki dan perempuan.

Tokoh dan Pencapaian

Mazizy J. Lomodi. (30 Tahun). Kampung Limbanak, 89650 Penampang, Sabah. 12 Oktober 2024.

Sumber Rujukan

Azam, E. A., Bukhari, N. a. M., & Samsudin, N. H. (2022). Terminografi Busana Kadazan Penampang. Jurnal Pengajian Melayu, 33(2), 179–196. https://doi.org/10.22452/jomas.vol33no2.10


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Hussin, H., Baptis, J. J., & -Kitingan, J. P. (2018). Enriching the soundscape and dancescape of Sabah through Sumazau. Journal of Southeast Asian Studies, 23(2), 181–204. https://doi.org/10.22452/jati.vol23no2.9


Hussin, H. (2008). Performing Rice Farming Rituals by Penampang Kadazan of East Malaysia: Between Sacred Ritual and Secular Performance. JATI - Journal of Southeast Asian Studies, 13, 173–190. http://eprints.um.edu.my/9152/


Lokasi