Pulut Ikan Kering adalah hidangan popular yang biasa dijadikan sarapan oleh masyarakat negeri Perlis. Ia sering dihidangkan sewaktu majlis kenduri dan gotong-royong. Bahan asas sajian tradisional ini ialah beras pulut, ikan kering dan kelapa parut. Pulut ikan kering ini juga dipanggil pulut ikan masin atau pulut nyok oleh orang tempatan. Makanan ini merupakan sejenis hidangan pulut tawar biasa yang digaul bersama dengan isi kelapa putih dan juga ikan goreng atau ikan kering.
Hidangan ini sangat sinonim di kampung-kampung bersawah bendang. Selain Perlis dan negeri-negeri utara tanah air, negeri Kelantan dan Terengganu turut menyajikan hidangan sama sewaktu sarapan, dan kebiasaannya pulut ikan kering ini disajikan bersama secawan kopi ‘o’ panas. Makanan ni memang ‘makanan kampung’ yang terlihat mudah tetapi mengenyangkan kerana sifat kanji yang terdapat dalam pulut itu sendiri.
● Kulineri khas Perlis dan negeri-negeri utara
● Kosmologi masyarakat yang hidup di bendang
-
Bahan-bahan:
· 1 cawan beras pulut
· 1/4 cawan air
· 2 ekor ikan gelama masam / ikan tamban
· 1 biji bawang besar dihiris
· 2 tangkai cili kering dipotong
· 4-5 tangkai cili api dipotong
· 1/4 cawan kelapa parut
· 1/2 sudu teh garam
· Secubit gula
Cara penyediaan:
1. Pulut dibersihkan dan dikukus.
2. Goreng ikan masin sehingga garing.
3. Goreng bawang, cili kering dan cili padi.
4. Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam dan kukus dalam 5 minit.
5. Apabila pulut siap dikukus, campurkan sedikit garam dan gula, dan boleh dihidangkan.
-
https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/744/pengenalan