KINOMOL DAN LIHING
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Kinomol dan Lihing adalah minuman beralkohol tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah. Kedua-duanya dihasilkan melalui proses penapaian nasi menggunakan beras pulut dengan ragi semulajadi. Walaupun kedua-duanya menggunakan bahan asas yang sama, perbezaan utama antara Kinomol dan Lihing adalah terletak pada tempoh pemeraman. Kinomol adalah hasil daripada penapaian jangka pendek iaitu 1 hingga 2 minggu, manakala Lihing adalah hasil daripada penapaian lebih lama iaitu dalam tempoh 2 hingga 3 bulan untuk menghasilkan minuman dengan kandungan alkohol yang lebih tinggi.

Foto 1: Kinomol

Sumber: Stella Jonnes, 2024


Kinomol biasanya diperam selama beberapa hari antara 1 hingga 2 minggu, menghasilkan cecair berwarna putih yang lebih ringan dan boleh diminum lebih awal. Rasanya lebih segar dan kepekatan alkoholnya lebih rendah berbanding Lihing. Ia sering diminum dalam acara keramaian seperti majlis perkahwinan dan Pesta Kaamatan. Dalam tradisi asal, Kinomol dihasilkan dengan memasukkan campuran nasi dan ragi ke dalam tasTajau (tempayan) yang mulutnya ditutup rapat menggunakan daun pisang atau daun tarap dan diikat dengan rotan atau akar kayu untuk memastikan proses penapaian berjalan dengan baik.


Foto 2: Lihing
Sumber: Ihsan Penulis, 2024

Lihing pula terbentuk apabila Kinomol yang diperam lebih lama, iaitu sekitar 2 hingga 3 bulan atau lebih. Proses ini menghasilkan cecair yang berwarna kekuningan atau keemasan dengan kandungan alkohol yang lebih tinggi. Lihing yang matang sepenuhnya akan bertukar warna menjadi lebih gelap dan mempunyai rasa yang lebih pekat. Kandungan alkoholnya juga meningkat apabila ia disimpan lebih lama, menjadikannya minuman yang bernilai tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan. Sesetengah keluarga menanam bekas penapaian Lihing ini dan hanya membukanya pada hari-hari istimewa seperti perkahwinan atau sambutan besar keluarga mahupun sambutan pesta menuai.

Lihing dan Kinomol bukan sekadar minuman, tetapi juga mempunyai nilai budaya yang tinggi, melambangkan warisan dan amalan turun-temurun masyarakat Kadazan-Dusun yang menghargai proses penghasilan minuman alkohol secara semulajadi dan tradisional.

Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

3 kg beras pulut

Sasad (Ragi) - Ragi semulajadi yang diperbuat daripada nasi yang telah diperam dan dijemur. Ragi ini akan membantu proses penapaian untuk menghasilkan alkohol.

Air 

Daun pisang, daun tarap, atau penutup plastik - untuk menutup mulut bekas penapaian

Tajau (Tempayan) atau balang kaca


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Masak beras dengan sedikit air sehingga ia mencapai tekstur yang sedikit kering. Pastikan nasi tidak terlalu lembut kerana ia akan menghasilkan Lihing dengan rasa yang kurang enak.

2. Setelah nasi dimasak, hamparkan nasi di atas dulang dan biarkan ia sejuk. Pastikan nasi sejuk sepenuhnya sebelum ragi dicampurkan.

3. Apabila nasi sejuk, campurkan ragi yang telah ditumbuk halus ke dalam nasi. Gaul rata dengan tangan atau sudu kayu sehingga semua nasi disalut ragi dengan sempurna. Pastikan proses ini dilakukan dengan bersih dan tangan tidak terkena bahan berasid seperti limau kerana ia boleh mengganggu proses penapaian.

4. Bekas untuk menapai seperti tempayan atau balang kaca perlu dibersihkan dengan rapi dan dikeringkan di bawah sinar matahari. Bekas yang kotor atau basah boleh merosakkan proses penapaian dan mengubah rasa Kinomol dan Lihing.

5. Masukkan campuran nasi dan ragi ke dalam tempayan atau balang kaca dan tekan sedikit untuk memastikan ia padat. Tutup mulut bekas dengan daun pisang atau daun tarap, kemudian ikat dengan kemas menggunakan rotan, akar kayu atau penutup plastik yang diikat dengan gelang getah.

6. Penapaian untuk Kinomol diperam selama 1 hingga 2 minggu pada suhu bilik. Cecair Kinomol akan terbentuk di bahagian bawah bekas. Cecair ini boleh diminum terus atau ditambah sedikit air untuk mengurangkan kepekatannya.

7. Bagi menghasilkan Lihing, biarkan campuran nasi dan ragi ini diperam selama 2 hingga 3 bulan atau lebih lama. Cecair yang terbentuk akan berwarna kekuningan gelap dan mempunyai rasa serta kandungan alkohol yang lebih kuat berbanding Kinomol. 

8. Lihing boleh disimpan selama bertahun-tahun dalam bekas yang kedap udara, dan rasanya akan menjadi lebih baik dengan tempoh masa yang lama. Sesetengah orang menanam bekas ini di dalam tanah untuk memastikan proses pematangan minuman berjalan dengan baik dan membuka bekas tersebut hanya pada hari-hari istimewa.


Tokoh dan Pencapaian

Alice Kinsui. 69 Tahun. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 6 Oktober 2024


Stella Jonnes. 34 Tahun. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 6 Oktober 2024


Sumber Rujukan

-

Lokasi
Pautan Google Maps :