ADAT BERENDOI
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Berendoi atau acara naik buai adalah kesenian berunsur Islam yang disertai sekurang-kurangnya empat orang yang berdikir atau menyanyi dalam upacara ‘bercukur’ bayi yang berusia tujuh hari. Berendoi berasal daripada perkataan endoi dalam loghat Melayu Perlis bermaksud buaian untuk menidurkan bayi atau kanak-kanak. Adat ini sebagai tanda kesyukuran keluarga menyambut kelahiran anak. Biasanya endoi iaitu buaian untuk upacara ini dihias indah dan bayi yang telah dicukur rambutnya diletakkan di dalamnya. Selepas itu bermulalah nyanyian berendoi memuji Rasulullah atau yang mengandungi nasihat, semangat dan teladan dengan harapan unsur-unsur tersebut dapat diterapkan kepada bayi yang sedang diendoi itu. Setiap lagu hanya empat rangkap, berbentuk syair seperti berikut;


“Kami mula dengan Bismillah, 

Menyebut kedua Alhamdulillah, 

Pohon nikmat kepada Allah, 

Mendapat syafaat Rasulullah.”

Berendoi diperkenalkan oleh Allahyarham Penghulu Othman dari Bintong, Perlis, yang juga memperkenalkan tarian Canggung semasa pemerintahan Jepun sehingga menjadi tarian identiti negeri berkenaan. Kesenian yang murni ini kemudiannya berkembang pesat di negeri Perlis sekitar tahun 1930-an setelah tertubuhnya Persatuan Maulud dan Berendoi, yang berperanan memperkembangkan kesenian maulud, berendoi, dan berzanji. Adat ini juga berkembang di negeri Kedah khususnya daerah-daerah yang bersempadan dengan Perlis seperti Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kubang Rotan dan Bukit Kerengga.
Antara pengisian majlis Berendoi yang masih kekal sehingga kini ialah:
1. Membelah Mulut dan Cukur Jambul

Acara ini dilakukan oleh kalangan ulama, ketua kampung atau pemimpin setempat, dengan mengoleskan pisang ke mulut bayi. Kemudian dioleskan pula cincin yang dicelup ke dalam susu sambil mendoakan agar bayi tersebut petah bertutur, berbudi bahasa, bersopan santun dan berakhlak mulia. Kemudian, rambut bayi digunting sedikit sahaja sebagai tanda cukur jambul bayi.

2. Berendoi

Endoi iaitu buaian dihias indah berbunga dan berwarna-warni dengan bayi yang telah dicukur rambutnya diletakkan di dalam endoi ini. Bermulalah nyanyian Berendoi memuji Rasulullah atau yang mengandungi nasihat, semangat dan teladan dengan harapan unsur-unsur tersebut dapat diterapkan kepada bayi berkenaan.
3. Berendoi Di Atas Pucuk Pokok Kelapa atau Bernazar
Acara ini adalah sebagai tanda melunaskan nazar atau membayar niat. Sebagai contoh, impian mendapat anak lelaki tercapai setelah sekian lama memperoleh anak perempuan. Sebab mustahil merealisasikan adat ini di atas pucuk pokok kelapa sebenar, maka sebiji kelapa yang berpucuk diletakkan di bawah buaian sebagai simbolik kepada pucuk pokok kelapa sambil diayunkan, dan bagi menggambarkan betapa tingginya harapan dan kesyukuran ibu bapa terhadap kurniaan cahaya mata yang diidamkan.

Setiap persembahan lazimnya diadakan bersama kenduri kesyukuran dan akikah yang menjadikan hidangan berasaskan daging kambing sebagai juadah utama. 

Fungsi dan Peranan

Menyambut kelahiran bayi yang baru lahir.

Panjatan selawat dan doa memohon keberkatan dan kebaikan akhlak pada bayi yang bakal membesar, serta kebahagiaan hidup kepada keluarga.

Mengerjakan perkara sunat seperti tahnik dan akikah terhadap bayi baru lahir.

Aktiviti yang mengakrabkan hubungan antara jiran dan masyarakat.

Busana/ Aksesori

Kumpulan Berendoi terdiri daripada beberapa orang lelaki yang memakai baju Melayu berkain pelekat lengkap bersongkok, atau perempuan yang berbaju kurung atau kebaya labuh seragam dan bertudung.

Peralatan/ Bahan-Bahan

- Air

- Sirih pinang

- Tepak sirih

- Pisang

- Kurma

- Buaian  atau endoi

- Gunting

- Susu

- Cincin


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

-

Tokoh dan Pencapaian

Antara kumpulan yang masih aktif di Perlis adalah kumpulan An Nur. Mereka turut merakam persembahan endoi mereka dan diletakkan dalam laman sesawang.

Sumber Rujukan

https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/750/pengenalan 

https://www.researchgate.net/publication/353072563_BERENDOI_ACARA_NAIK_BUAI_SYAIR_NASIHAT_DAN_KESYUKURAN_dalam_Jurnal_Warisan_Tidak_Ketara


Lokasi
Pautan Google Maps :