AMBUYAT
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Foto 1: Ambuyat

Sumber: Ihsan Penulis, 2024


Ambuyat atau turut dikenali sebagai ‘Linut’ adalah makanan tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat etnik Bisaya, Kadazan-Dusun, Murut dan Brunei di Sabah. Ambuyat diperbuat daripada tepung sagu yang dihasilkan daripada batang pokok rumbia atau dalam bahasa tempatan dikenali sebagai ‘Ampulung’. Teksturnya yang berwarna putih, likat, dan sedikit melekit seperti gam menjadikan hidangan ini unik dan berbeza daripada makanan lain. Ambuyat biasanya dimakan menggunakan sejenis garfu buluh tradisional yang dipanggil ‘Candas’, yang digunakan untuk menggulung ambuyat sebelum dicelupkan ke dalam pelbagai jenis sos seperti tempoyak, sambal belacan, atau kuah ikan singgang (Hajijah Lamiri, 2024).


Ambuyat terkenal kerana rasa tawarnya yang neutral, menjadikannya sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis lauk dan sos yang lazat. Di Sabah, hidangan ini sering dihidangkan semasa majlis keramaian atau acara khas seperti perkahwinan dan sambutan perayaan. Selain menjadi lambang warisan budaya, Ambuyat juga menggambarkan kreativiti masyarakat tempatan dalam memanfaatkan sumber alam semula jadi dengan mengubah kanji sagu menjadi hidangan yang mudah disediakan dan mengenyangkan. Kini, Ambuyat bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat setempat, tetapi juga dilihat sebagai simbol keunikan kulinari tradisional di Sabah yang menarik minat pelancong untuk mencubanya.


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

3 cawan tepung sagu

1 cawan air panas


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Didihkan air dalam periuk sehingga mencapai suhu yang sangat panas. Air yang mendidih adalah penting untuk memastikan tepung sagu berubah menjadi tekstur likat yang diingini.

2. Sediakan tepung sagu dalam mangkuk besar.

3. Tuangkan air panas perlahan-lahan ke atas tepung sagu sambil dikacau dengan sudu atau senduk kayu. Pastikan anda menuang air sedikit demi sedikit sambil terus mengacau.

4. Kacau sehingga tepung sagu bertukar menjadi adunan yang likat dan berwarna jernih. Teruskan mengacau sehingga tiada lagi ketulan tepung sagu yang tidak larut.

5. Sedia untuk dihidangkan menggunakan Candas (garfu buluh khas) untuk mencelupkannya ke dalam pelbagai jenis kuah seperti sambal belacan, tempoyak, kuah ikan singgah, atau kuah asam pedas.


Tokoh dan Pencapaian

Hajijah binti Lamiri. ( 46 tahun). Kampung Laut, Jalan Tanjung Pagar, 89607 Papar, Sabah. 8 Oktober 2024

Sumber Rujukan

-

Lokasi
Leaflet | © OpenStreetMap contributors