Latok adalah sejenis rumpai laut dari spesies Caulerpa Lentillifera yang juga dikenali sebagai "anggur laut" kerana bentuknya yang menyerupai biji anggur kecil berwarna hijau. Latok sangat popular sebagai makanan tradisional bagi masyarakat etnik Bajau Laut di kawasan perairan Pantai Timur Sabah meliputi daerah Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan dan di kawasan Utara Sabah iaitu daerah Kudat. Latok biasanya dihidangkan sebagai ulam bersama nasi, ikan bakar, atau dimakan mentah dengan campuran perahan limau kasturi, cili kampung, mangga muda ataupun sambal belacan mengikut citarasa masing-masing (Hussain Sutani, 2024).
Foto 1: Latok
Sumber: Ihsan Penulis, 2024
Latok bukan sahaja digemari kerana rasa unik dan kesegarannya, tetapi juga kerana teksturnya yang rangup serta sensasi "meletup" dalam mulut apabila dimakan. Masyarakat Bajau Laut mempercayai bahawa memakan latok dapat menyumbang kepada kesihatan yang baik dan umur yang panjang kerana kandungan vitamin A, C, kalsium, magnesium, serta asid lemak omega-3 yang tinggi (Syakilla et al., 2022). Selain itu, menurut Fakhrulddin et al., (2021), khasiat latok kaya dengan antioksidan, anti-radang, serta membantu mengawal paras gula dalam darah, menjadikannya pilihan makanan yang sihat bagi mereka yang ingin menambah nutrisi dalam diet harian.
-
-
● 350 gram Latok segar
● 1 jug air sejuk atau air ais
● 6 biji limau kasturi
● 6 biji cili padi
● 2 biji mangga muda
● ½ sudu kecil garam
● ¼ sudu kecil serbuk perasa
● Sambal belacan (pilihan)
1. Basuh latok dengan air bersih dan rendamkan dalam air sejuk atau air ais selama 10-15 minit. Langkah ini penting untuk mengekalkan tekstur rangup dan rasa segar latok.
2. Setelah direndam, toskan latok dan letakkan di dalam mangkuk bersih.
3. Sediakan bahan campuran dengan memerah jus limau kasturi, cili padi yang dihiris, mangga muda yang dipotong halus, garam dan serbuk perasa. Kemudian, gaulkan semua bahan sehingga sebati
4. Jika ingin mencicah latok dengan sambal belacan, tumbuk cili padi dan belacan dengan campuran sedikit garam dan serbuk perasa lalu diperahkan dengan jus limau kasturi. Sambal belacan boleh diletakkan di atasnya atau hidangkan secara berasingan.
5. Letakkan latok di atas pinggan hidangan dan sedia untuk dimakan bersama nasi putih, ikan bakar, atau dijadikan ulam dalam pelbagai hidangan.
Hussain Sutani, 47 tahun, Kampung Panji, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.
Fakhrulddin, I. M., Harah, Z. M., Shiamala, R. D., & Azrie, A. M. (2021). Effect of salinity, light and fertilizer on Caulerpa lentillifera under culture conditions. In AIP Conference Proceedings. 2347(1). AIP Publishing.
Syakilla, N., George, R., Chye, F. Y., Pindi, W., Mantihal, S., Wahab, N. A., & Matanjun, P. (2022). A review on nutrients, phytochemicals, and health benefits of green seaweed, caulerpa lentillifera. Foods, 11(18), 2832. https://doi.org/10.3390/foods11182832