ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU KOTA BELUD: ADAT PERKAHWINAN

Adat Resam

Gambar

3

Video

tiada

Pelawat Hari ini

203

Jumlah Pelawat

4490

Pengenalan dan sejarah

Etnik Bajau di Sabah terbahagi kepada dua rumpun iaitu rumpun Bajau Laut dari Pantai Timur Sabah meliputi daerah Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan Manakala, rumpun Bajau Sama pula menduduki kawasan Pantai Barat Sabah meliputi daerah Kota Belud, Tuaran, Papar, Petagas, Putatan dan Tanjung Aru. Kedua rumpun Etnik Bajau ini adalah beragama Islam dan kaya dengan amalan adat dan warisan. Walaupun begitu, dalam adat pekahwinan, kedua-dua rumpun ini mempunyai struktur yang berbeza dan kompleks mengikut amalan budaya mereka yang diwariskan secara turun temurun. Dalam konteks masyarakat Bajau Kota Belud, adat perkahwinan ini masih kukuh diamalkan sehingga kini sebagai lambang jati diri budaya dengan mempamerkan nilai-nilai kesopanan, penghormatan, dan semangat kekeluargaan yang menjadi tunjang kepada kehidupan sosial mereka (Muhd Hadhari Atong, 2024).

Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Adat perkahwinan etnik Bajau Kota Beldu dilaksanakan dengan penuh adat istiadat yang teratur dan melibatkan tujuh tahap yang dimulai dengan upacara Tilau-Tilau Idaan (Merisik), Mendo (Meminang), Seruan (Pertunangan), Norong/Malad (Serahan Hantaran), Madak/Mandi Badak (Majlis Berinai), Majlis nikah dan bersanding, Ngendo’ (Majlis Sambut Menantu) dan  Ngedede’ (Menghantar kedua pasangan pengantin ke rumah pihak perempuan) (Mahali, 2024).


1. Tilau-Tilau Idaan (Merisik)

Dalam tradisi masyarakat etnik Bajau, ibu bapa pihak lelaki akan memilih calon menantu mereka. Bagi memastikan pilihan tersebut sesuai atau sebaliknya, mereka akan membuat upacara ‘Ngederasi’ iaitu merasi atau menilik nasib berpandukan kitab ‘Tajul Muluk’. Jika hasil ngederasi tersebut sesuai dengan calon pilihan, maka persiapan untuk Tilau-Tilau Idaan (merisik) akan dilakukan. Jika berlaku sebaliknya, calon akan digantikan dengan pilihan yang lain sehingga sesuai dengan anak lelaki mereka. Susulan daripada itu, pihak keluarga lelaki akan menghantar saudara terdekat atau ketua keluarga besar untuk melakukan Tilau-Tilau Idaan kepada si gadis. Proses ini bertujuan untuk mengetahui jika si gadis telah bertunang atau sedang dirisik orang lain.Jika sudah bertunang, proses merisik akan ditamatkan, tetapi jika sebaliknya, itu bermakna si gadis mash berpeluang untuk disunting.


2. Mendo (Meminang)

Sebaik selesai proses Tilau-Tilau Idaan (merisik), rombongan pihak lelaki sekali lagi akan bertandang ke rumah pihak perempuan untuk melakukan proses peminangan. Rombongan kali ini kebiasaanya lebih ramai berbanding merisik yang terdiri daripada keluarga terdekat pihak lelaki dan begitu juga daripada pihak perempuan. Ketua rombongan lelaki akan diketuai oleh seorang wakil yang telah dilantik bergelar ‘Ngentan Bisoro’ untuk menjadi pengucaptama dalam upacara meminang. Selain itu, Ngentan Bisoro  akan menyampaikan hajat pihak lelaki dan mengisahkan latar belakang beliau menggunakan bahasa-bahasa puitis menerusi penyampaian yang dikenali sebagai ‘Manuk-Manuk’. 


Ketika upacara Mendo ini dilakukan, pihak perempuan tidak akan memberikan jawapan serta merta untuk menerima pinangan atau menolaknya. Tempoh untuk memberikan jawapan peminangan ini selalunya mengambil masa seminggu atau dua minggu mengikut budi bicara si gadis yang dipinang. Namun, jika kedua-dua pihak telah bersetuju, Ngetan Bisoro akan membuat langkah berikutnya dengan membincangkan intipati penting dalam langkah awal perkahwinan etnik Bajau iaitu ‘Barian/Berian’ yang merujuk kepada perundingan nilai hantaran. Simbolik nilai hantaran ini akan ditunjukkan melalui ‘Tigur’ iaitu rokok daun yang disusun menandakan nilai hantaran yang perlu disediakan oleh pihak lelaki.


Lazimnya, berian/barian dibahagikan kepada tiga perkara, iaitu (i) mas kahwin; (ii) hantaran; dan (iii) hak waris (Mahali, 2014). Mas kahwin adalah pemberian khusus untuk gadis yang dipinang berupa wang ataupun sesuatu yang bersifat material. Hantaran pula mengandungi semua perbelanjaan yang akan digunakan semasa majlis perkahwinan itu kelak dan hak waris yang diberi berdasarkan ‘Pikulan’ iaitu merujuk kepada nilai setara wang mewakilkan item asas hantaran tradisional yang perlu dibayar oleh lelaki.

Jadual 1: Nilai Setara Pikulan

Bil.

Adat Istiadat

Jumlah Pikulan

Nilai

1

Kuda (satu ekor, sihat dan besar, betina/jantan)

2 pikul

RM40

2

Kerbau (satu ekor, sihat dan besar, betina/jantan)

2 pikul

RM40

3

Tawag/Gong (satu pasang)

2 pikul

RM40

4

Pedati (satu laras)

1 pikul

RM20

5

Rentaka (satu laras)

1 pikul

RM20

6

Karis (satu bilah)

1 pikul

RM20

7

Bujak/Lembing (satu bilah)

1 pikul

RM20

8

Selapa’ (satu set lengkap)

1 pikul

RM20

9

Pelit

4 pikul

RM80

Jumlah Pikulan

15 pikul

RM300

Sumber: Mahali (2024)

3. Seruan (Pertunangan)

Majlis Seruan ini lazimnya akan dilaksanakan secara kecil-kecilan melibatkan ahli keluarga terdekat kedua belah bakal pengantin. Seruan sangat penting dan dilaksanakan dengan teliti, kerana tahap ini adalah penentuan tarikh dan bulan yang sesuai mengadakan majlis perkahwinan. Menurut tradisi, ramalan tarikh perkahwinan dilakukan berdasarkan ‘Bintang Dua Belas’ iaitu pada kebiasaanya merujuk kepada pemilihan hari Jumaat; bulan yang baik adalah Syaaban, Zulkaedah, Zulhijjah, Rabiulakhir dan Syawal. Tempoh pertunangan dalam tradisi etnik Bajau pada kebiasaanyaa antara satu ke lima bulan sahaja, namun ia bukanlah muktamad kerana bergantung kepada kemampuan dan ketersediaan kedua-dua bakal mempelai.


4. Norong dan Malad (Serahan Hantaran)

Adat Norong  dan Malad akan dilakukan oleh rombongan pihak lelaki dalam dua cara. Norong pertama dilakukan ketika  dalam tempoh tiga bulan atau paling lewat sebulan sebelum perkahwinan berlangsung melibatkan semua hantaran yang telah dipersetujui. Manakala norong  kedua pula merujuk kepada serahan badan haiwan yang dilakukan dua atau sehari sebelum majlis pernikahan dilakukan. Hari norong  ini dikenali sebagai Malad yang lazimnya dilakukan pada waktu pagi sebelum waktu solat Zohor.


5. Madak/Mandi Badak (Malam Berinai)

Upacara Madak/Mandi Badak merupakan acara wajib yang dilakukan oleh kedua belah pihak di kediaman masing-masing. Amalannya sering dilakukan pada malam sebelum majlis pernikahan dan persandingan dilaksanakan. Acara akan dimulai dengan Mandi Badak iaitu ada bersiram yang dilakukan selepas waktu Maghrib bertujuan untuk membangkitkan pemanis wajah kedua mempelai. Setelah itu, proses berinai dilakukan dengan iringan berzanji untuk mendoakan keselamatan serta kesejahteraan mempelai. Sebaik selesai, diadakan acara merenjis pengantin oleh kaum keluarga dan sanak saudara sebagai tanda kesyukuran dan meraikan bakal pengantin yang akan berubah status kelak keesokan harinya. Majlis akan diraikan dengan iringan muzik tradisional etnik Bajau dan nyanyian-nyanyian pantun.

Foto 1: Suasana Madak/Mandi Badak
Sumber: Muhd Hadhari Atong, 2024

6. Majlis Nikah dan Bersanding
Majlis nikah akan dimulakan dengan upacara ‘Kedatuan’ iaitu mengusung pengantin lelaki di atas usungan dan diringi oleh pengiring-pengiring berkuda menuju ke rumah pengantin perempuan. Namun kini, amalan itu kadangkala digantikan dengan mengusung pengantin menggunakan kenderaan seperti lori ataupun jentera pengangkut yang memudahkan pengantin lelaki diusung. Rombongan lelaki akan membawa ‘Damak’ iaitu buah tangan untuk diberikan kepada tetamu keluarga pihak perempuan. Ketibaan pengantin akan disambut dengan das tembakan sebagai tanda ketibaan rombongan pengantin lelaki.