Etnik Suluk merupakan salah satu kumpulan etnik utama yang terdapat di negeri Sabah, khususnya di kawasan pantai timur meliputi daerah Semporna, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Sandakan serta kawasan pantai barat khusunya di daerah Kudat. Etnik ini berasal dari Kepulauan Sulu di Filipina di mana ia mempunyai sejarah migrasi yang panjang serta hubungan erat dengan masyarakat tempatan di Borneo. Masyarakat Suluk di Sabah terkenal dengan budaya maritim mereka, yang mana kehidupan mereka banyak dipengaruhi oleh aktiviti perikanan dan perdagangan laut. Selain itu, mereka juga dikenali dengan tradisi adat resam yang kaya, termasuk upacara perkahwinan, seni tarian Pangalay, serta keunikan bahasa dan kesusasteraan lisan yang masih diamalkan hingga kini. Agama Islam menjadi teras kepada identiti etnik ini, di mana elemen agama dan adat disepadukan dengan harmoni dalam setiap aspek kehidupan mereka, menjadikan etnik Suluk sebagai salah satu kumpulan etnik yang signifikan dalam landskap kebudayaan di Sabah (Kee Sabariah Kee Mohd Yussof & Asmiaty Amat, 2012).
Adat perkahwinan etnik Suluk di Malaysia, khususnya di Sabah mempunyai kepentingan signifikan yang berakar umbi dalam tradisi budaya, kepercayaan, dan sistem nilai etnik ini. Perkahwinan dilihat sebagai landasan penting dalam pembentukan unit sosial yang lebih kukuh serta melambangkan status sosial, kehormatan, dan kestabilan keluarga.
-
-
Dalam struktur adat Suluk, perkahwinan dikendalikan dengan penuh adat yang merangkumi beberapa fasa utama, bermula dari proses Pag-pasihil (merisik), Pag-pangasawa’ (meminang), Pag-turul taima’ (menyerah hantaran), Pag-tia’un (majlis perkahwinan), dan Tingkuwang (majlis di pihak lelaki).
1. Pag-pasihil (Merisik)
Pada peringkat ini, wakil pihak lelaki akan berkunjung ke rumah keluarga pihak perempuan untuk mendapatkan maklumat mengenai latar belakang calon isteri serta keluarganya. Proses ini dianggap sebagai langkah awal untuk menilai kesesuaian antara kedua-dua belah pihak, termasuk status sosial, keagamaan, dan reputasi keluarga. Sekiranya mendapat maklum balas yang positif, maka pihak lelaki akan meneruskan langkah seterusnya dengan membawa hasrat meminang (Melina Attip, 2024).
2. Pag-pangasawa’ (Meminang)
Pada tahap ini, pihak lelaki akan membawa rombongan meminang yang terdiri daripada keluarga terdekat, ketua keluarga, dan imam sebagai tanda kesungguhan. Mereka akan membawa pelbagai bentuk hadiah simbolik berupa Sinsing Bulawan (cincin tunang), Siga (rokok), kain untuk perempuan, manisan seperti gula-gula dan makanan ringan sebagai pelengkap kepada upacara meminang. Dalam tahap ini akan dilakukan proses yang dikenali sebagai “Susukatan Ungsud” iaitu penentuan hantaran. Pada kebiasaanya, nilai hantaran akan ditetapkan tinggi jika gadis tersebut berasal dari keluarga yang dihormati atau sudah khatam Al-Quran. Elemen ‘Susukatan Ungsud’ ini adalah penting kerana ia mencerminkan kedudukan sosial dan kehormatan keluarga perempuan. Tuntutan hantaran asas yang wajib daripada pihak lelaki adalah Nilai wang hantaran, satu ‘Dublun’ (ibu rantai), satu set barang kemas (rantai emas, gelang emas, cincin emas dan anting-anting emas), satu ekor binatang ternakan (Sapi), satu karung ‘Bugas’ ataupun beras, dan tujuh karton ‘Siga’ (rokok) sebagai syarat asas sahnya perkahwinan. Selain daripada senarai wajib tersebut adalah terpulang kepada pihak lelaki dan bukan menjadi kewajipan (Muskina Anisun, 2024).
3. Pag-turul Taima’ (Menyerah Hantaran)
Pag-turul Taima’ merujuk kepada peringkat di mana pihak lelaki secara rasmi menyerahkan hantaran yang telah dipersetujui kepada pihak perempuan. Hantaran ini melambangkan kemampuan ekonomi pihak lelaki serta keupayaan untuk menyara kehidupan bakal isteri selepas berumah tangga. Selain itu, terdapat juga simbol kraf yang kenali sebagai ‘Mahligai’ iaitu replika rumah kecil yang dihias cantik dengan makanan tradisional seperti kuih Penjaram, kuih Jah/Jala, Manisan (Gula-Gula dan makanan ringan), serta bunga-bungaan yang melambangkan harapan dan kebahagiaan kehidupan bersama. Namun, dalam dunia moden masa kini, ‘Mahligai’ diolah menjadi bentuk dulang hantaran dengan wang kertas yang dihias menjadi bunga atau menggunakan replika cek. Penghantaran barang-barang ini akan dilakukan dengan penuh adat dan protokol, disertai dengan kehadiran keluarga terdekat sebagai saksi kepada upacara penyerahan (Muskina Anisun, 2024)
4. Pag-tia’un (majlis perkahwinan)
Tahap ini merupakan kemuncak dalam adat perkahwinan Suluk. Majlis perkahwinan biasanya diadakan di rumah pengantin perempuan dengan kehadiran keluarga besar serta jemputan khas dari komuniti setempat. Sehari sebelum majlis perkahwinan dilaksanakan, kedua-dua mempelai akan menjalankan adat ‘Pag-passal’ yang bermaksud berinai di kediaman masing-masing. Setelah itu, keesokan harinya, rombongan pengantin lelaki akan bertandang ke kediaman pengantin perempuan dengan membawa tiga dulang berisi makanan yang dikenali sebagai ‘Dulang Mukmin’ iaitu dulang makanan untuk tetamu yang hadir di rumah pengantin perempuan, ‘Dulang Kajah’ iaitu dulang simbolik kepada permulaan kehidupan baharu pasangan pengantin dan ‘Dulang Pangantin’ adalah dulang santapan khusus kepada kedua-dua pengantin di hari pernikahan (Kee Sabariah Kee Mohd Yussof & Asmiaty Amat, 2012).
Foto 1: Dulang Kajah
Sumber: Sabri Munaf, 2024
Pada kebiasaanya, Pag-tia’un di adakan seharian di mana majlis akad nikah akan diadakan bermula daripada jam dua petang iaitu di antara waktu selepas Zohor dan sebelum Asar. Signifikan, ketetapan masa pernikahan ini adalah untuk memudahkan proses ‘Pag-batal’ iaitu tanda simbolik membatalkan air Wudhu pengantin lelaki ke atas mempelai perempuan. Adat Pag-batal ini mempunyai protokol yang tertentu iaitu, pengantin lelaki yang telah sah dinikahkan akan diiring masuk ke dalam bilik pengantin perempuan oleh imam. Pengantin perempuan akan duduk membelakang pengantin lelaki lalu tiga batang rokok akan dijatuhkan dari atas dahi pengantin perempuan.
Foto 2: Pag-batal
Sumber: Sabri Munaf, 2024
Setelah itu, pengantin lelaki akan mengangkat dan memusingkan pengantin perempuan sebanyak tiga kali yang dikenali sebagai ‘Pusingan maka-tuh’. Pada pusingan yang terakhir, muka pengantin perempuan akan dihadapkan ke muka pengantin lelaki, dan ibu jari sebelah kanan lelaki akan diletakkan ke dahi pengantin perempuan sebagai simbolik sempurnanya adat Pag-batal (Sabri Munaf, 2024). Barulah majlis bersanding dilakukan sebelah Malam bermula selepas Maghrib sehingga larut malam.
Foto 3: Adat ‘Pusingan maka-tuh’
Sumber: Sabri Munaf, 2024
5. Tingkuwang (Majlis di Pihak Lelaki)
Selepas tiga hari majlis perkahwinan di pihak perempuan, adat etnik Suluk turut merangkumi majlis persadningan di pihak lelaki yang dikenali sebagai Tingkuwang. Pada tahap ini, pasangan pengantin akan diraikan semula di rumah pengantin lelaki. Majlis ini bertujuan untuk memperkenalkan pengantin perempuan kepada keluarga besar lelaki serta sebagai simbol penerimaan dan permulaan kehidupan berumahtangga di kediaman suami. Biasanya, majlis ini lebih sederhana dan diadakan dengan penuh keakraban dalam kalangan keluarga terdekat.
Muskina binti Anisun. (33 tahun). Kampung Sri Aman, Simunul, 91308 Semporna, Sabah. 8 Oktober 2024.
Melina binti Attip. (52 tahun). Kampung Bubul Lama, Jalan Haji Jaafar, 91308 Semporna, Sabah. 8 Oktober 2024.
Sabri bin Munaf (30 tahun). Kampung Bugaya, 91308 Semporna, Sabah. 9 Oktober 2024.
Kee Sabariah Kee Mohd Yussof & Asmiaty Amat. (2012). Suluk. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds). Murut & Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.